PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam menasihatkan mana-mana syarikat produksi dan stesen televisyen supaya tidak keterlaluan menayangkan adegan merokok kepada khalayak penonton.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, adegan tersebut sememangnya tidak bersesuaian bagi siaran televisyen kerajaan dan swasta yang terdiri daripada pelbagai lapisan penonton.
“Kita seolah-olah menggalakkan golongan muda menghisap rokok. Kalau di stesen televisyen milik kerajaan memang kelihatan kurang manis.
“Namun, bagi saya dalam isu drama bersiri Projek: High Council yang disiarkan di Astro tidak menjadi masalah kerana memang cerita tersebut memerlukan karakter sebegitu sebab kisah pelajar nakal yang memang selalu merokok dan terlibat dengan dadah.
“Bagi saya, pengarah perlu terjemahkan adegan sedemikian. Saya puji ia adalah drama yang bagus,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Public Health Malaysia yang menegur drama High Council kerana memaparkan adegan merokok secara terbuka dan keterlaluan dalam kalangan pelajar sekolah berasrama penuh.
Ditanya adegan merokok yang tidak bersesuaian seperti di halaman rumah dalam drama itu, Yusof berkata, produksi perlu memastikan setiap adegan yang dipaparkan bersesuaian untuk tontonan umum.
“Mungkin ada kesilapan berlaku dan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan. Walaupun platform penstriman seperti Viu dan Netflix tidak tertakluk kepada peraturan itu, tetapi perlu fikir sebab ia ditayangkan di negara kita.
“Saya faham pengkarya ingin menunjukkan realiti tetapi bukan dilakukan secara bebas,” katanya.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, berbeza bagi filem yang ditayangkan di pawagam, adegan merokok tidak menjadi satu masalah besar kerana ia memaparkan karakter manusia.
“Kalau potong adegan merokok ia akan nampak janggal dan nilai seni itu hilang. Filem memang dibenarkan cuma jangan terlalu banyak sahaja,” katanya. – UTUSAN










