Chaturanga: Dari perang kepada sukan

Chaturanga: Dari perang kepada sukan

CATUR yang kita kenali pada hari ini berasal daripada permainan chaturanga di India. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, apabila seorang anak saudara mengajak bermain catur, saya berterus-terang memberitahunya tidak tahu permainan itu.

Catur sebenarnya satu permainan penuh teknikal yang memerlukan upaya strategi pemain. Sesungguhnya amat baik jika kanak-kanak diajar bermain catur kerana dapat turut mengasah ketajaman minda dan kemampuan membuat perancangan dalam pelbagai situasi.

Berbalik kepada anak saudara tadi, dia menyangka permainan catur berasal dari negara orang putih. Maka, saya menggunakan peluang yang hadir untuk berkongsi maklumat tentang asal usul permainan tradisional itu yang kini terkenal di seluruh dunia.

Sejarawan secara umum mengakui hakikat permainan catur yang kita kenali pada hari ini berasal daripada permainan chaturanga di India.

Nama permainan itu menggabungkan kata chatur yang bermakna ‘empat’ dan anga bermaksud ‘tangan.’ Istilah Sanskrit chatur dengan makna ‘empat’ juga sudah diserap dan digunakan orang Melayu sejak zaman dahulu.

Dalam permainan catur yang berasal dari India, ‘empat tangan’ pada namanya merujuk kepada empat jenis batalion tentera, iaitu pasukan infantri yang tidak menggunakan kenderaan, pasukan tentera berkuda, tentera yang menunggang gajah dan pasukan menaiki rata iaitu pedati ditarik kuda. Gambaran ini mungkin segera mengingatkan kita kepada kisah peperangan yang disajikan dalam epik Mahabharata.

Perang hebat antara pasukan tentera Pandava dan Kaurava merupakan komponen penting dalam karya klasik berkenaan. Lima orang adik-beradik Pandava sering menjadi mangsa penindasan dan manipulasi sepupu mereka seramai 100 orang yang digelar Kaurava. Kekalahan dalam perjudian memaksa Pandava dibuang negeri selama 12 tahun.

Selepas itu, golongan Kaurava masih tidak mahu memulangkan harta dan kerajaan Pandava. Maka, tercetuslah perang besar di Kurukshetra yang menyaksikan kemusnahan dan korban jiwa di kedua-dua pihak.

Kisah perang dalam epik Mahabharata dan Bhagavad Gita terkenal di seluruh dunia.

Salah satu formasi tentera yang ditampilkan dalam Mahabharata ialah akshauhini yang memanfaatkan 21,870 rata (pedati), 21,870 gajah, 65,610 kuda dan 109,350 infantri. Strategi perang itulah yang dikatakan menjadi asas kepada permainan catur yang kita nikmati sehingga hari ini sama ada sekadar untuk mengisi masa lapang atau menyertai pertandingan secara profesional.

CHECKMATE

Kita tentu tahu, pemain catur melaungkan kata checkmate apabila berjaya memerangkap pergerakan buah catur mewakili raja. Kata itu tidak berasal dari India dan bukan juga dari Eropah atau Amerika. Permainan chaturanga yang menjadi budaya dan amalan di istana sejak era Empayar Gupta di India menjadi asas kepada permainan chess (Eropah), xiangqi (China), janggi (Korea), shogi (Jepun), sittuyin (Myanmar), shatranj (Arab), makruk (Thailand) dan shakhmaty (Rusia).

Dalam kalangan bangsawan di Persia, catur digunakan untuk mendidik para putera diraja tentang strategi perang. Buah catur raja dinamakan shah. Apabila seorang pemain berjaya mengepung dan menghalang pergerakan shah pihak lawan, mereka melaungkan shah mat yang kemudian berubah menjadi checkmate sepertimana kita amalkan sekarang.

Walaupun sejarawan mengakui permainan catur bermula di India, perlulah diakui ia mengalami perubahan dan penambahbaikan apabila disebarkan oleh orang Arab ke Eropah. Evolusi dan perubahan yang dialami permainan ini sejak awal masih dikaji dan diperkatakan sejarawan menggunakan pelbagai teori dan pendekatan.

Nama buah catur yang digunakan juga mengalami perubahan mengikut kehendak setempat. Misalnya, raja, mantri, gaja, ashva, rata dan padati dalam versi India berubah menjadi shah, vazir, pil, asp, rokh dan piadeh (Persia) serta king, queen, bishop, knight, rook dan pawn (Eropah).

Cara dan syarat permainan juga mengalami perubahan yang amat banyak sejak mula-mula diperkenalkan di India. Misalnya, pada zaman dahulu, satu pusingan permainan catur boleh berlangsung selama beberapa hari.

Kemudian, peraturan dan syarat permainan diubah apabila catur dibawa keluar dari istana dan mula menjadi permainan dalam kalangan orang biasa. Setiap negara dan peradaban juga melakukan perubahan dan penambahbaikan yang membawa kepada catur yang memiliki piawai antarabangsa sekarang.

Buku berkaitan cara bermain catur juga mula ditulis untuk memuatkan syarat permainan. Antara buku terawal ialah tulisan pemain catur Sepanyol, Luis Ramirez de Lucena pada 1497. Kalau di India dan Persia catur menjadi permainan golongan bangsawan, di Eropah pula ia menarik minat golongan atasan seperti pemuzik dan borjuis yang menganggap permainan itu menggambarkan kedudukan sosial seseorang.

Kelab catur mula tumbuh seperti cendawan. Buku panduan bermain catur serta majalah khas tentang catur juga mula diterbitkan. Teknik dan isu permainan catur sering ditulis dan dibincangkan di akhbar.
Lama-kelamaan, catur menjadi sejenis permainan sukan profesional. Pertandingan catur moden yang pertama diadakan pada 1851 di London.

Sehingga kini, catur moden menjadi antara permainan profesional yang dihormati dan dipandang tinggi. Hal ini tidaklah menghairankan kerana pemain perlu memiliki keupayaan menyusun strategi dengan amat teliti.

Pemain catur Malaysia seperti Yeoh Li Tian, 23, dan Poh Yu Tian, 14, berjaya mengharumkan nama negara di persada anarabangsa walaupun kurang mendapat liputan seperti pemain badminton dan bola sepak.

Li Tian menang pingat emas pada Sukan SEA (2019) dan merupakan pemain catur nombor satu negara serta berada dalam kedudukan 100 pemain terbaik Asia. Yu Tian pula membantu Malaysia mendapat tempat ke-72 daripada 188 negara pada Kejohanan Catur Berpasukan Dunia di Chennai, India (2021). – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×