DALAM usaha membentuk sebuah masyarakat madani, wanita perlu terus diberi peluang dan pengiktirafan lebih daripada sekadar menuntut kesamarataan kerana Islam telah hadir mengangkat darjat dan kedudukan kaum Hawa untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki sejak berkurun lamanya. Allah SWT berfirman dalam ayat 195 surah Ali-Imran yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dalam kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan kerana sesetengah kamu adalah keturunan daripada sesetengahnya yang lain.”
Adapun begitu, setiap jantina dianugerahkan keistimewaan serta tanggungjawab tersendiri yang menjadikan mereka unik di antara satu sama lain. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Wanita itu adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya.”
Menuju ke arah transformasi negara yang lebih holistik, tidak dinafikan kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja meningkat saban tahun asbab pelbagai insentif menarik disediakan khusus untuk wanita, selain skim-skim bantuan ditawarkan oleh kerajaan terutama buat mereka yang mahu berkecimpung dalam sektor pekerjaan awam dan swasta serta perkhidmatan dalam negara. Saya malah sukacita dengan wujudnya polisi yang mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berada dalam jawatan pembuat keputusan di sektor kerajaan dan swasta.
Pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah bagi syarikat-syarikat bumiputera misalnya, melibatkan golongan srikandi yang bukan sahaja berkelayakan dan bersahsiah tinggi, malah mampu membawa paradigma baharu lebih segar buat kepimpinan sesebuah organisasi. Malangnya, satu struktur galas yang baharu kini terbina dalam sistem profesional kerana penglibatan wanita hanya ditumpukan kepada pengurusan tertinggi tetapi keciciran pula dalam pengurusan pertengahan.
Hal ini terjadi kerana segelintir masyarakat dan sebahagian besar pembuat polisi termasuk pemegang taruh beranggapan wanita perlu diberi keutamaan daripada lelaki dalam sektor pekerjaan profesional tetapi langsung gagal memahami fitrah dan naluri wanita yang turut mendambakan pembinaan sebuah rumah tangga dan keluarga yang harmoni dan damai.
Belanjawan 2023 yang baru dibentangkan menyaksikan iltizam kerajaan dalam menyalurkan bantuan dan sokongan kepada semua lapisan masyarakat khususnya wanita di bumi bertuah ini. Terbaharu, usahawan wanita dan belia dijanjikan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Peruntukan RM300 juta dikhaskan bagi menyokong perniagaan mikro dan penjaja kecil dalam kalangan wanita.
SOSIAL
Cabaran ekonomi yang makin menghambat pasti akan menjejaskan banyak pihak terutama keluarga yang mempunyai isi rumah lebih daripada seorang. Oleh itu, kerajaan menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah untuk menerima subsidi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) daripada RM5,000 kepada RM7,000. Bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM500 juga bakal diberikan kepada para ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada 2023.
Sokongan secara berperingkat bagi menangkis kos sara hidup turut diberikan kepada ibu bekerja seperti galakan bekerja semula selepas tempoh cuti bersalin. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhasrat untuk meminda aktanya bagi membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja. Geran ini akan memanfaatkan lebih 130,000 wanita untuk kembali bekerja selepas bersalin. Tambahan, pendapatan diterima pada 2023 sehingga 2028 akan diberikan pengecualian cukai bagi menggalakkan golongan wanita ini kembali bekerja setelah lama bercuti.
Pembinaan lebih banyak pusat sokongan sosial setempat bagi mengurus isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga juga tersenarai sebagai salah satu misi kerajaan yang perlu kita dukung bersama. Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) sewaktu siri jelajah program Heal Her di seluruh negara awal tahun ini menerima lambakan respons positif atas penganjuran bengkel advokasi psikososial oleh ahli-ahli perubatan pakar di seluruh negara – membuktikan keperluan bantuan pengurusan emosi dan mental bagi wanita.
Adapun inisiatif sedia ada banyak dihasilkan bagi mengetengahkan bakat dan menolak daya saing wanita, banyak dasar lain juga perlu disesuaikan bagi membolehkan pembangunan sebuah negara yang sakinah, melibatkan pemerkasaan jati diri wanita. Mengambil langkap sederap, kerajaan sewajarnya lebih komited dengan mengutamakan perancangan bagi menamatkan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita termasuk menghapuskan keganasan dan eksploitasi seksual terhadap kaum ini.
Penglibatan penuh dan berkesan wanita dalam industri sosial, politik dan ekonomi perlulah bergerak seiring dengan pengukuhan wanita dalam kerangka kekeluargaan dan pendidikan. Meskipun wanita sedang menerajui kemasukan dalam institusi pendidikan tinggi, mereka turut perlu dikukuhkan dengan nilai keilmuan bersulamkan sifat malu unggul bagi membina sebuah masyarakat lebih sejahtera sekali gus bersama mengatasi masalah sosial dan susila yang kian meruncing.
Antara contoh kepincangan yang lunak diceritakan media masa kini adalah gejala budaya songsang lesbian, gay, biseksual, transeksual dan queer (LGBTQ) yang semakin menular baik di kaca televisyen, tempat awam, bahkan yang berlaku langsung di hadapan mata. Tuntasnya, kerajaan perlu tegas dalam memastikan wanita dilindungi daripada segala ancaman yang boleh menganggu gugat kesihatan dan keselamatan jiwa terutama apabila ruang peribadi mereka di tempat kerja berkemungkinan dicerobohi jantina lain selain berpotensi menerima jangkitan HIV yang mudah disebarkan walaupun setelah mengikat tali pernikahan.
Belanjawan seterusnya perlu mengambil kira inti pati segala masalah yang timbul hasil perbuatan jahat manusia lalu menjamin laporan serta penyata tahunan negara bebas dan sifar nilai kebobrokan akhlak. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; aktivis hak asasi manusia; Setiausaha Kehormat Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Pengarah Komunikasi Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










