WALAUPUN ramai beranggapan kita masih jauh terkebelakang dalam industri pertahanan, namun negara ini memiliki pelbagai potensi besar untuk dibangunkan sekali gus menjadi pemangkin penting pertumbuhan dan kebolehsaingan ekonomi jika ia dilakukan secara strategik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai keyakinan tinggi terhadap potensi industri ini memandangkan persekitaran ekonomi negara yang liberal, usahawan bertenaga dan universiti mempunyai pelbagai kemampuan.
Justeru, Kementerian Pertahanan akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara pada tahun ini sebagai usaha berterusan kerajaan menyokong sektor pertahanan negara.
Dalam masa sama, pelbagai langkah drastik diambil kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan negara daripada sebarang ancaman. Tugas berat ini selain bertanggungjawab mempertahankan keselamatan negara, juga mempertingkatkan kecekapan pengurusan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari masa ke masa selari peredaran zaman.
Dan untuk itu, inisiatif Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan perpaduan dilaksanakan bermula 5 Disember 2022 sehingga 14 Mac 2023. Ia melibatkan tiga fasa utama iaitu jangka pendek 100 hari (5 Disember 2022-14 Mac 2023), jangka sederhana (April 2023-Disember 2025) dan jangka panjang (2026-2030). Ia digarap berdasarkan dasar-dasar semasa kerajaan seperti Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Antirasuah Nasional dan MyDigital.
Berikut adalah program atau inisiatif yang telah dilaksanakan bagi Fasa 1:
Bantuan Sara Hidup (BSH)
Sehingga Disember lalu, seramai 8,348 veteran ATM menerima BSH. Semenjak pentadbiran kerajaan perpaduan, seramai 1,301 veteran diluluskan permohonan BSH walaupun sasaran awal hanya 500 orang.
Baik pulih rumah veteran ATM
Kos siling untuk program baik pulih ialah RM17,000 manakala program bina baharu dalam lingkungan RM65,000 di Semenanjung serta RM75,000 di Sabah dan Sarawak. Program bina baharu ini dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Reka bentuk rumah adalah berdasarkan Skim Rumah Mesra Rakyat SPNB dengan keluasan 850 kaki persegi.
Bagi 2022, sebanyak 152 rumah berjaya dibaik pulih manakala 31 buah dibina baharu. Implikasi kewangan yang terlibat ialah sebanyak RM4.57 juta. Bagi 2023, JHEV diperuntukkan RM5.74 juta di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ini.
Sehingga 1 Mac lalu, 121 permohonan baik pulih dan 24 permohonan bina baharu rumah veteran diluluskan.
Pingat Jasa Malaysia (PJM)
Sehingga 15 Mac 2023, seramai 1,477 veteran dianugerahkan pingat ini, iaitu melebihi sasaran asal 777 penerima.
Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)
Insentif ini terbuka kepada 1,000 anak-anak kelahiran baharu veteran ATM. Bagi 2023, kementerian menyasarkan satu kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) termeterai sebelum Mac. Setakat ini seramai 405 orang anak veteran layak untuk ditawarkan insentif ini.
Aset Strategik ATM
Tentera Darat Malaysia (TDM)
Sebanyak sembilan kenderaan perisai Gempita bagi kelompok terakhir diterima menjadikan jumlah keseluruhan adalah 259 buah. Bagi meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam tugas operasi, TDM menerima 1,000 unit VHF section set. Peralatan ini merupakan set radio taktikal bagi kegunaan sebuah seksyen infantri yang dibekalkan melalui syarikat Mindmatics Sdn. Bhd. menggunakan teknologi terkini dari Amerika Syarikat.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
Op Perkasa adalah Inisiatif terkini TLDM di mana kapal KD Perkasa dilaksanakan re-hull yang in-lieu kepada rutin refit termasuk penukaran sepenuhnya sistem kuasa gerak, kuasa elektrik serta hotel services, selain turut merangkumi sistem-sistem bersangkutan. Projek ini sudah menghampiri peringkat akhir untuk ujian di laut dan kapal dirancang siap pada pertengahan bulan ini.
KD Perkasa merupakan salah sebuah kapal dari Skuadron Pembinasa Laju (FAC) yang disifatkan sebagai workhorse dalam memenuhi keperluan operasi dan eksesais armada TLDM.
TLDM memperkenalkan pendekatan konsep program keusangan (OP) bagi menggantikan pelaksanaan rutin refit. Pendekatan ini menjadikan selenggaraan menyeluruh kapal dapat dilaksanakan dengan kos lebih rendah, iaitu sekitar RM48 juta.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
F/A-18D Hornet
Pesawat yang pertama selesai diselenggarakan pada 5 Januari lalu sebagai proof of concept (POC) bagi program Local Plan Maintenance 12 Years (LPM12Y). Program ini dapat mengekalkan kesiagaan semasa aset jet pejuang ini selain meningkatkan jangka hayat pesawat serta kompetensi juruteknik dan memperkasakan inisiatif bersama industri pertahanan tempatan.
A400M
Sejak beroperasi pada 2015, dua pesawat kini selesai menjalani program retrofit untuk meningkatkan keupayaan pesawat dari spesifikasi penerimaan awal ke konfigurasi New Standard Operating Clearance 2.5 (NSOC 2.5). Ini secara tidak langsung membolehkan pesawat melakukan hantaran udara dengan lebih sistematik, penerjunan statik dan bebas serta penerbangan low level flight (LLF).
Pos Kawalan Sempadan
Semenjak 5 Disember lalu, sebanyak tiga pos kawalan di sempadan berjaya disiapkan. Dua pos merupakan Pos Sempadan Terkoordinasi di sempadan Malaysia-Thailand, iaitu Pos Batu 34 dan Pos Batu 36 di Padang Terap, Kedah. Satu lagi adalah Pos Tapak Megah di Kapit, Sarawak, iaitu di sempadan Malaysia-Kalimantan. Pembinaan pos-pos ini bertujuan membendung aktiviti jenayah rentas sempadan serta mengawal persempadanan negara.
Industri Pertahanan Tempatan
Satu sesi ramah mesra bersama pemain industri pertahanan dilaksanakan pada 6 Mac lalu bertujuan menghargai pemain industri selaku komponen penting pertahanan negara. Pada sesi ini, Menteri Pertahanan mengambil kesempatan beramah mesra bersama 60 wakil pemain industri tempatan serta menyampaikan beberapa mesej penting berkaitan inisiatif Kementerian Pertahanan yang sedang berlangsung seperti penubuhan Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (MIDES), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN).
Pameran Udara & Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023
Acara LIMA 2023 merupakan pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik. Kali ini majlis pelancaran disempurnakan oleh Mohamad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Pengersi Alpine Integrated Solution, Tan Sri Mohd. Khairul Adib pada 16 Januari lalu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC). – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










