PENDEDAHAN terbaharu mengenai kumpulan militan berkaitan dengan Islamic State (IS) atau Daesh, Al Malaka yang dikesan mula bertapak di negara ini mencetus kegusaran awam. Namun, kapasiti antiterorisme negara kekal dominan dan berkeupayaan tinggi dalam menangani sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Daya kapasiti benteng pencegahan unsur ekstremis dan ancaman terorisme negara merupakan antara terbaik di dunia, satu pencapaian dan fakta yang kerap tidak disedari awam dan sering kali tidak diberikan penghargaan dan kesedaran setimpal dengan kepentingan strategik dan tanggungjawab dipikul.
Barisan pasukan antiterorisme negara terdiri daripada integrasi pasukan profesional merentasi pelbagai dimensi dan skop fokus meliputi seluruh spektrum pengesanan, pencegahan, mitigasi dan pelaksanaan strategi.
Platform komuniti perisik negara dibarisi Angkatan Tentera Malaysia dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan lain menjadi tunjang kepada keefisienan kapasiti antikeganasan negara.
Ini menghasilkan rangkaian dan kerjasama bersepadu dalam meneliti bentuk dan skop ancaman, merangka langkah khas dan strategik dalam mematahkan sebarang percubaan dan aktiviti berbahaya kumpulan-kumpulan ekstremis.
Kejayaan berterusan terus ditempa dengan pelbagai operasi dalam mencegah percubaan atau plot kumpulan pengganas atau penyebar fahaman ektremis dalam melaksanakan agenda mereka dalam negara. Ini dicerminkan dalam usaha pengesanan dan pencegahan awal melalui keupayaan cegah rintang dan integrasi sumber serta maklumat yang diperoleh daripada jalinan kerjasama kukuh dengan rakan strategik penting luar negara juga institusi dan rangkaian penguatkuasaan undang-undang global.
Ini memerlukan sistem dan struktur kepercayaan dan pengiktirafan tinggi dalam kebolehan dan kepakaran struktur penguatkuasaan dalam Malaysia yang membolehkan prospek kerjasama rapat disalurkan dan maklumat perisikan sensitif dan kritikal untuk dikongsi dalam usaha bersama bagi mencegah ancaman yang berkait dan berpunca dari sumber luar.
CIA
Keupayaan dan kebolehan barisan antikeganasan negara di pelbagai peringkat, daripada skop perisikan dan pencegahan sehinggalah kepada keupayaan pasukan khas elit di ATM dan PDRM menjadi simbol kebanggaan dan penanda aras bertahap global yang menjadi ruang rujukan negara lain. Keupayaan ini merupakan antara yang terbaik dunia walaupun tidak disedari dan diberikan tumpuan dan penghargaan meluas dalam negara.
Orang awam sering dibuai dengan kehebatan pasukan khas dan elit negara lain terutama di Amerika Syarikat dengan pengaruh filem yang mempamerkan nama-nama seperti Navy SEALs, badan perisikan seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan sebagainya menjadi sumber pilihan dan inspirasi.
Namun, kebolehan unit negara sendiri kekal setara, malah lebih berdaya saing dalam skop tertentu dengan pasukan elit terbaik dunia. Integrasi dan kesepaduan sumber, kapasiti, maklumat, kepakaran dan kebolehan spesifik dan kolektif oleh semua agensi dan unit berkaitan dalam menangani ancaman bukan tradisional khususnya keganasan membolehkan keselamatan negara dan orang awam terus dilindungi.
Ini memerlukan skop rangkaian dan jalinan koordinasi kompleks serta menyeluruh meliputi kepakaran dan tahap kesiapsiagaan tinggi yang sentiasa peka, pantas dan proaktif dalam kapasiti antikeganasan dan jenayah terancang yang mengancam keselamatan awam dan negara.
Dalam konteks pengaruh dan ancaman Al Malaka baru-baru ini, pihak berkuasa sejak awal mengetahui dan memantau pergerakan dan aktiviti kumpulan tersebut sebelum dilaporkan dalam media.
Skop utama dalam memenangi perang minda dan psikologi terhadap keganasan serta mencegah usaha kumpulan pengganas adalah untuk menakluki hearts and minds golongan terdedah dan mudah dipengaruhi menjadi medan kritikal.
Kepakaran Malaysia dalam skop pemulihan anggota ekstremis dan pengganas menjadi sumber pengiktirafan global dengan pelbagai negara lain termasuk Barat menagih kapasiti dan keupayaan kita dalam aspek ini. Ia merupakan salah satu elemen utama dalam strategi antikeganasan termasuk ekstremisme agama. Ia bertujuan menyalurkan laluan pemulihan dan integrasi semula anggota ekstremis dan radikal kepada kehidupan awam.
BIOTERORISME
Program sebegini sekali gus mengurangkan risiko penyebaran propaganda militan dan kumpulan radikal yang mengancam kestabilan sosial dan awam. Inisiatif ini bersasar kepada menangani kemelut akar umbi radikalisme yang dicetus oleh kefahaman dan persepsi agama atau kepercayaan dan pegangan salah dan tersasar dengan memperbetulkan konteks dan perspektif yang tepat.
Malaysia juga terus berwaspada dengan perubahan ancaman digital di alam siber dan juga dampak terhadap infrastruktur kritikal negara. Skop ancaman lain termasuk bioterorisme dan percaturan taktik licik serta pergerakan kumpulan militan lebih kecil yang menyukarkan operasi pengesanan. Namun, barisan perisikan dan benteng operasi kukuh yang dimiliki negara terus teguh dalam mematahkan setiap percubaan untuk meresapi benteng yang dipasang oleh barisan antikeganasan negara.
Kejayaan dan hasil usaha kerja keras hero tempatan ini masih kurang dihargai dan disedari ramai, yang kerap menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi di sebalik tirai dan tinjauan umum. Kurangnya kesedaran dan penghargaan awam mengenai kepakaran, kejayaan dan keupayaan barisan antikeganasan kita mewujudkan persepsi yang kurang berkeyakinan terhadap kebolehan dan kepakaran pasukan negara, dan seterusnya mencipta ruang untuk kumpulan lain mengambil peluang untuk meresapi kepercayaan dan sentimen awam.
Usaha mencegah dan membanteras keganasan dan sebarang bentuk ancaman lain menuntut kerjasama, tanggungjawab dan sokongan semua pihak termasuk orang awam dan setiap lapisan kerajaan dan badan swasta. Ia tidak hanya berpusar sekitar arena badan penguat kuasa dan barisan antikeganasan semata-mata, dan ini memerlukan kesedaran sivik dan tanggungjawab tinggi dalam berganding bahu untuk memelihara kestabilan, keselamatan, keamanan dan keharmonian awam dan negara.
Kita telah meraih pulangan berganda dan komprehensif sejak sekian lama hasil daripada titik peluh dan pengorbanan golongan profesional dan barisan antiterorisme kita, dalam menikmati dividen keamanan dan harmoni dalam negara yang bebas daripada ancaman endemik keganasan atau ketidakstabilan ketenteraman.
Ini perlu dikekalkan dan dipelihara dengan gandingan kesepakatan usaha dan sumber bersama dalam memastikan tahap keselamatan dan kepentingan negara terus dilindungi. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.











