88,214 belia positif dadah sepanjang tahun lalu

88,214 belia positif dadah sepanjang tahun lalu

Akses kepada dadah yang dikatakan mudah menjadi punca ramai belia terbabit dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjualan peranti vape tidak berdaftar secara berleluasa dan kewujudan pelbagai dadah baharu yang sukar dikesan melalui ujian saringan air kencing antara punca peningkatan penagih dadah dalam kalangan belia sejak tahun lalu.

Statistik Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan sebanyak 88,214 belia berusia antara 15 hingga 39 tahun ditahan terlibat dalam penagihan dadah sepanjang 2022.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi berkata, peningkatan itu disebabkan penggunaan vape yang dicampur dadah dalam kalangan belia seawal 14 tahun yang senang didapati di pasaran sehingga mengakibatkan mereka terjebak dalam penagihan dadah.

Beliau berkata, keinginan melampau daripada perasaan suka-suka bermula daripada gejala rokok sehingga ke penagihan dadah turut menjadi faktor peningkatan tersebut.

“Perkara ini sangat membimbangkan terutamanya vape digunakan secara meluas sehingga tiada pemantauan atau tindakan tegas. Sekurang-kurangnya lima daripada 10 pelajar sekolah menghisap vape. Malah terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjualnya yang dicampur dengan ganja, heroin atau dadah perisa ‘mushroom’ terhadap golongan remaja.

“Selain itu, kira-kira 800 bahan terlarang jenis psikoaktif yang tidak diwartakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 apabila ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing hinggakan penagih terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebanyak 10,074 belia berusia 19 hingga 39 tahun yang ditahan tahun lalu positif pelbagai jenis dadah, meningkat berbanding 8,935 individu tahun sebelumnya dan penahanan berkenaan dilaksanakan melalui penguatkuasaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Beliau dilaporkan berkata, pelbagai pendekatan diambil kerajaan bagi mengurangkan permintaan dadah melalui program pendidikan pencegahan.

“AADK melaksanakan program pencegahan melalui model i-cegah, meliputi pelaksanaan aktiviti pendidikan pencegahan dengan pembabitan secara umum, selektif dan fokus yang menyasarkan keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti untuk mendekati golongan muda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Raja Azizan berkata, penggunaan ganja yang dihalalkan di Thailand antara penyebab peningkatan tersebut apabila golongan belia negara ini cenderung ke negara jiran demi melepaskan gian.

“Ada juga golongan remaja yang mendakwa tekanan hidup sebagai alasan hingga terjebak dalam penagihan dadah kononnya untuk menenangkan diri. Perkara ini perlu dikawal secepat mungkin sebelum ia menjadi barah yang merosakkan masa depan bakal pemimpin negara ini.

“Antaranya, mengawal penjualan vape dengan melantik syarikat besar yang berdaftar sebagai pengeluar vape bagi memastikan ia dijual mengikut undang-undang ditetapkan. Selain itu, akta sedia ada juga perlu diteliti semula agar ia lebih kepada pencegahan dan rawatan daripada menghukum penagih,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, seramai 69,380 belia berusia 25 hingga 39 tahun didapati positif dadah jenis sintetik dan merupakan paling ramai menagih iaitu kira-kira 66,540 manakala seramai 2,840 penagih bawah umur berusia 15 tahun hingga 19 tahun.

Jelas beliau, pihaknya mendapati seramai 14,497 penagih dikesan positif dadah tradisional antaranya heroin dan morfin manakala seramai 2,799 belia terlibat dengan penggunaan ganja.

“Dalam tempoh sama, seramai 581 belia positif dadah psikotropik serta 957 orang lain-lain antaranya ketum, gam dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×