PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli sebarang peranti al-Quran yang tiada perakuan sah pihak berwajib kerana dikhuatiri menyalahi ilmu tilawah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, peranti yang tidak diperakui pihak berkuasa amat terdedah kepada kesalahan serta ditakuti menyalahi ilmu tilawah atau bacaan al-Quran.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, beliau berkata, tilawah al-Quran merupakan bentuk ibadah yang mendapat ganjaran pahala di sisi Allah namun perlu mengikut panduan bacaan sebenar.
“Saya setuju sebarang bentuk penggunaan teknologi baharu untuk memudahkan umat Islam mendalami al-Quran tetapi perlu mematuhi peraturan,” jelasnya di sini semalam.
Beliau mengulas pendedahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini berhubung kes penyitaan sejumlah 1,332 peranti tersebut dari sebuah rumah teres di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Suspek wanita tempatan berusia 30-an turut ditahan kerana menjadikan premis itu sebagai gudang sebelum alat itu dijual bebas atas talian dan kedai-kedai buku.
Dalam pada itu, para peniaga juga diingatkan lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan atas permintaan tinggi umat Islam dengan menjual peranti tiada perakuan.
Gajet ini yang dijual murah daripada harga serendah RM30 sehingga RM400 didapati amat digemari sebagai alat bantuan bacaan selain ayat Ruqyah untuk melindungi kediaman. – UTUSAN










