SHARIFAH Sakinah bukan nama asing dalam dunia seni tempatan. Bakat lakonan dan kecantikan dimiliki menjadikan dia antara pelakon yang dan dikenali.
Kemunculannya menjadi penghias sampul hadapan Pancaindera kali ini, dinantikan. Sesi wawancara serta fotografi berlangsung mudah. Sakinah memberi kerjasama dan amat menyenangkan.
Pengalaman berdepan gangguan mental menjadi fokus utama perbualan.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berbagi perasaan, lebih-lebih lagi tentang penerimaan terhadap pandangan sinis dan tuduhan dirinya gila serta tidak waras.
Luah Sakinah, tidak terasa hati bukan ayat yang menggambarkan perasaannya.
Dari perspektif berbeza, dia memahami keadaan netizen yang tidak memahami situasi.
“Konsep memaafkan itu tidak ada. Apa yang boleh saya katakan, saya okey sahaja.
“Dalam hal ini, saya tidak terasa hati dengan pandangan masyarakat. Jadi, tidak ada sebab untuk saya memaafkan mereka,” katanya.
Sakinah menyifatkan pendedahan tentang masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) yang dihadapinya sebagai tindakan betul dan tepat. Dia lega pengalaman yang dikongsikan membantu mereka yang berdepan masalah sama.
“Alhamdulillah, pendedahan itu telah membuka mata masyarakat tentang ADHD dan masalah mental.
“Kita semua ada pengalaman (hidup) dan kesusahan yang kita lalui. Jadi jangan mudah jatuh hukum.
“Kita kena jumpa ramai orang untuk faham dan terima kelemahan masing-masing. Kekurangan yang ada kita ubah menjadi perkara positif,” kongsinya.
HEALING TIGA TAHUN
SAKINAH berkongsi perkara bermanfaat. Antaranya tentang proses penyembuhan dan perubahan untuk menjadi manusia yang lebih baik, sihat akal fizikal.
“Tiga tahun lalu adalah proses penyembuhan, jalani terapi bersama pakar dari Indonesia.
“Ubatnya dalam diri kita. Tak perlu pergi ke mana-mana. Saya jaga kesihatan, bersenam, fizikal dan minda.
“Minda boleh diperbetulkan dengan terapi. Ia proses yang sangat memenatkan, tetapi, berbaloi,” kongsinya.
Tambahnya, syukur adalah amalan yang mujarab untuk mendapatkan ketenangan diri, sekali gus mengubat masalah mental yang dihadapi.
Kata Sakinah, setiap hari, dia bersyukur atas nikmat dan kurniaan Allah SWT.
“Proses penyembuhan adalah mendekatkan diri kepada Tuhan. Setiap hari saya bersyukur atas kurniaannya.
“Sentiasa bersangka baik kepada Allah dan memandang kebaikan daripada pelbagai segi,” ujarnya.
Tambah Sakinah, fokusnya sekarang adalah membantu mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi yang berdepan tekanan minda.
“Sebagai contoh, ramai isteri yang bekerja mengalami tekanan perasaan yang teruk. Fokus saya nak bantu mereka, beri kebaikan kepada komuniti,” katanya.
BERPISAH DEMI ANAK
SAKINAH tidak menyalahkan takdir meskipun diuji dengan kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali.
Dia akui sedar, ada yang berprasangka, berpersepsi negatif terhadapnya disebabkan perkahwinan yang tidak bertahan lama.
“Kegagalan perkahwinan dengan suami kedua, Michael Hansen bukan kerana persengketaan. Namun demi pengorbanan untuk anak-anak kami. Saya tidak dapat membawa anak saya, Anais Adha untuk berhijrah ke Sweden kerana tidak mahu dia berjauhan dengan bapanya yang juga bekas suami, Aliff Adha. Begitu juga Michael, yang tidak boleh meninggalkan anaknya dan berpindah ke sini.
“Tiga tahun kami terpaksa berjauhan untuk memastikan kami dapat bersama anak-anak kami. Dan tiga tahun jugalah saya terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Sweden untuk bertemu dia. Banyak yang terpaksa saya
korbankan, termasuk perbelanjaan tiket penerbangan yang mencecah RM200,000 semata-mata untuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Sweden.
“Akhirnya, kami memutuskan untuk tidak lagi bersama. Itu sebab perpisahan kami yang ramai tidak tahu mengenainya,” kongsinya.
Namun, kata Sakinah tiada istilah sengketa atau bermasam muka dengan kedua bekas suaminya.
Katanya, mereka masih baik dan berkawan sehingga ke hari ini.
“Saya mengalami kegagalan perkahwinan sebanyak dua kali dalam masa tujuh tahun. Namun saya dan bekas suami masih boleh bersahabat baik dan hormat antara satu sama lain,” tambahnya. – MINGGUAN MALAYSIA












