KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa enam pertuduhan telah dibuat lebih awal sedangkan siasatan masih belum dilengkapkan.
Sambil menyifatkan ‘pertuduhan terancang’, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata keputusan mendakwa beliau sebenarnya telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan.
“Semalam (kelmarin) saya diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa saya sedangkan keterangan belum dibuat lebih awal. Ini jelas keputusan (pendakwaan) dibuat lebih awal.
“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.
“Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang, katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima wang tersebut daripada sebuah syarikat di antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022 di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur yang mana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun parti.
Ditanya tentang kedudukannya sama ada kekal sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin berkata, perkara tersebut ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
“Saya akan bawa dalam MPT untuk mereka memutuskan kerana saya berbeza dengan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebab Presiden dipilih.
“Saya serahkan kepada mesyuarat MPT dalam masa terdekat. Apa juga keputusan, saya akan akur,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Muhyiddin telah didakwa atas perkara-perkara yang tidak munasabah.
“Walaupun hari ini (semalam) cerah dan baik, tetapi negara suram kerana seorang negarawan telah difitnah atas sebab yang tidak masuk akal.
“Kita harapkan agar pegawai-pegawai mahkamah dan pendakwaan, menjalankan tanggungjawab demi rakyat kerana Allah tanpa perlu takut kepada telunjuk mana-mana pihak.
“Kalau seorang negarawan boleh diperlakukan sebegini, apalah agaknya nasib kita senua rakyat. Insya-Allah kita sama-sama usaha mendoakan dan yakin percaya Allah akan permudahkan,” katanya. – UTUSAN










