35,000 hektar sawah di Kedah `hilang' - Utusan Malaysia

35,000 hektar sawah di Kedah `hilang’

Sebahagian kawasan sawah yang ditukar dengan projek perumahan di Alor Setar. - MINGGUAN?SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seluas kira-kira 35,000 hektar kawasan sawah padi di negeri ini `hilang’ selepas ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu.

Jumlah kawasan sawah padi yang ada di negeri ini sekarang dianggarkan seluas kira-kira 270,000 hektar tetapi dari tahun ke tahun ia akan terus berkurangan.

Berikutan kehilangan 35,000 hektar kawasan tanaman padi, pengeluaran padi Kedah dianggarkan mengalami penyusutan kira-kira 350,000 tan setahun yang bersamaan nilai RM420 juta.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin berkata, kepesatan pembangunan di negeri ini mengakibatkan kawasan sawah padi terkesan kerana banyak dibangun dengan aktiviti komersial.

AZMAN NASRUDIN

Menurut beliau, keadaan tersebut lebih buruk apabila semakin ramai generasi baharu tidak minat mengusahakan tanaman padi yang dianggap tidak menguntungkan.

Katanya, status Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi juga bakal tergugat jika tiada tindakan mengawal penjualan tanah sawah atau memberi semangat kepada anak muda mengusahakan sawah.

Selain itu, Azman memberitahu, kebanyakan kawasan sawah di Kedah banyak yang terletak di kawasan strategik iaitu di pinggir bandar yang sudah tentu harga yang ditawarkan pemaju tinggi.

“Semakin ramai tidak minat tanam padi, sawah yang ada pula di kawasan strategik jadi boleh dijual dengan harga tinggi.

“Semua ini mempengaruhi penyusutan pengeluaran padi dan Kedah akhirnya boleh hilang status Negeri Jelapang Padi,” kata beliau.

Kata beliau, tinjauan dalam tempoh 10 tahun ini, pihaknya mendapati sehingga 35 hektar tanah sawah berkenaan sudah bertukar untuk pembangunan dan perumahan.

“Untuk itu, kita akan mengambil beberapa inisiatif bagi membendung pengambilan tanah sawah padi untuk pembangunan, sekali gus mempertahankan Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi,” kata beliau.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati antara kawasan sawah yang `hilang’ ialah di sekitar Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang.

Tambah Azman, kerajaan negeri akan membuat penelitian berhubung isu tersebut untuk menyelamatkan kawasan sawah padi terutamanya milik persendirian.

“Sebagai contohnya, kita mungkin meletakkan kriteria sejumlah hektar tanah tidak boleh diganggu gugat demi memastikan kelangsungan sawah padi,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan kerajaan Pusat untuk mengambil langkah lebih komprehensif dalam usaha mengekalkan kawasan sawah. – MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×