KUALA LUMPUR: Kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down, Bella akan diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 3 Mei ini.
Pada tarikh tersebut, Hakim Izralizam Sanusi akan membuat keputusan sama ada mensabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dengan pertuduhan tersebut atau melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan terbabit.
Mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf memaklumkan mahkamah pihaknya tidak lagi mempunyai saksi untuk dipanggil memberi keterangan.
“Pihak-pihak diarahkan untuk memfailkan hujahan bertulis dan menyerahkan kepada pihak lawan sebelum atau pada 7 April ini manakala hujahan balas perlu difailkan pada atau sebelum 14 April,” kata Izralizam.
Dalam prosiding semalam, pihak pembelaan memanggil dua saksi iaitu Pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan pensyarah kanan bidang psikotik perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai.
Secara keseluruhannya, pihak pendakwaan memanggil lapan orang saksi termasuk Siti Bainun sendiri yang mula membacakan penyataan saksinya pada 26 Januari lalu.
Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sekitar 2021 sebelum kes itu mula dibicarakan bermula 30 Mac 2022.
Pihak pendakwaan menutup kes pada 28 Oktober 2022 selepas memanggil 22 saksi memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. –UTUSAN










