SHAH ALAM: Pengalaman mengemudi UMNO Bahagian Sungai Besar selama 10 tahun akan menjadi kayu ukur kepada Datuk Seri Jamal Md. Yunos sama ada masih diterima akar umbi selepas dicabar bekas Menteri Besar Dr. Mohamad Khir Toyo.
Bagi Jamal, pengalaman 10 tahun menjadi salah satu penanda aras bagi beliau mengekalkan kedudukannya memimpin 114 cawangan dengan menyifatkan sumbangan jasa dan budi sebagai asas untuk terus memegang jawatan itu.
Beliau berkata, akar umbi memberikan keyakinan kepadanya untuk terus menjadi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan dalam masa yang sama mempunyai perancangan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada pertengahan tahun ini.
“Selama 10 tahun saya bersama akar umbi dan mereka lebih kenal hati budi saya. Walaupun berlaku perubahan politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, itu perlu dilihat secara keseluruhan.
“Tetapi, untuk PRN kita sudah ada perancangan dalam tempoh dua bulan sebelum PRN. Kalau tak berubah (kepimpinan), kita akan terus laksanakannya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sungai Besar iaitu Sungai Panjang dan Sekinchan,” katanya.
Pemilihan UMNO di Sungai Besar antara yang mencuri tumpuan berbanding 21 kawasan lain di Selangor apabila melibatkan pertembungan dua individu menyokong Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, malah mereka juga menawarkan diri merebut kerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Walaupun kedua-duanya pernah berdepan pertuduhan di mahkamah, namun tidak menganggap perkara itu sebagai penghalang untuk mereka meletakkan diri dalam pemilihan UMNO tahun ini.

Dalam pada itu, Dr. Mohamad Khir memberitahu, sudah sampai masa Jamal berundur diri dan memberi laluan kepada pemimpin lain selepas 10 tahun memimpin UMNO Sungai Besar, namun tidak membawa kemenangan dalam dua PRU sebelum ini.
“Dalam PRU14, UMNO tewas 714 undi dengan Datuk Muslimin Yahya ketika itu atas tiket PKR, kemudian dalam PRU15, UMNO tewas hampir 7,000 undi. Ini sangat teruk, kedudukan kita dari nombor dua jatuh nombor tiga.
“Dengan keadaan macam itu bagaimana hendak menghadapi PRN? Kalau dikekalkan Jamal, kekalahan lagi teruk nanti adalah, sebab orang muda sudah tak mahu Jamal. Sebab itulah saya masuk Sungai Besar, saya hendak betulkan UMNO Bahagian,” jelasnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan 127 daripada 191 Bahagian UMNO di seluruh negara dicabar dalam pemilihan parti bermula Mac ini.
Selangor menyaksikan 20 bahagian ditandingi dua hingga empat penjuru termasuk kawasan pengerusi perhubungannya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sementara dua lagi dianggap menang tanpa bertanding iaitu Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz. – UTUSAN










