Orang Melayu memilih kerja?

Orang Melayu memilih kerja?

BELIA Melayu dikatakan paling ramai menjadi penghantar makanan berbanding kaum-kaum lain. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG Melayu selalu dimomokkan dengan istilah ‘pemalas’ dan ‘memilih kerja.’ Lebih malang lagi apabila gelaran dan tuduhan tidak berasas ini datangnya daripada anak bangsa sendiri.

Siapa tidak kenal pemimpin kita yang begitu lantang mengkritik Orang Melayu? Kata-katanya seperti ‘Melayu mudah lupa’ sentiasa bermain dalam benak fikiran.

Saya sering mengajukan persoalan ini, kalau Melayu pemalas dan memilih kerja, siapa yang menjadi petani dan peladang di kampung-kampung?

Mereka sanggup bekerja di bawah terik matahari, bermandi hujan dan peluh. Itupun hasil tidak seberapa.

Siapa pula yang sanggup menerjah lautan bergelora semata-mata ingin memungut hasil laut? Bangsa apakah nelayan-nelayan tersebut?

Itu belum lagi melihat hasil keuntungan mereka. Kalau musim hujan, macam mana nak bercucuk tanam? Kalau hujan lebat pula, habis banjir memusnahkan tanaman dan sebagainya. Sudahlah untung sedikit, rugi pula puluhan malah ratusan ribu ringgit.

Bagaimana pula nasib golongan nelayan yang sentiasa perlu berwaspada dengan amukan ombak yang boleh datang tanpa diduga? Ramai yang hilang di tengah lautan tanpa khabar berita. Adakah ini dikatakan pemalas dan memilih kerja?

Bercakap dalam konteks hari ini, bangsa apakah yang mendominasi pekerjaan sebagai pemandu e-hailing dan penghantar makanan? Bukankah pekerjaan-pekerjaan ini memerlukan pengangkutan sendiri yang pada hakikatnya tidak semua berkemampuan? Ada yang sanggup berhutang dan meminjam kereta orang lain dan ada juga sanggup bekerja 24 jam sehingga sekadar tidur dalam kereta. Bagaimana pula dengan nasib golongan penghantar makanan yang terpaksa menunggang secara berbahaya hanya tidak mahu terlewat dan terlepas job (pesanan) seterusnya?

Pernahkah para pemimpin Melayu mempersoalkan bangsa lain? Mengapa begitu sukar untuk melihat bangsa lain bekerja dalam sektor buruh, pekerja pembersihan dan kelas pekerja lain? Mengapa mereka tidak dipersoalkan?

POLIS, TENTERA

Nak lagi? Boleh. Lihat pula kepayahan anggota-anggota polis dan tentera sehingga kini perlu merancang strategi dalam memikat bukan Melayu untuk turut serta dalam sektor pertahanan tersebut. Mengapa cukup sukar untuk kaum lain turut serta dalam sektor pertahanan meskipun semua pun sedia maklum bahawa sistem kuota tidak wujud dalam pengambilan anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)? Mengapakah pemimpin ini tidak pernah persoalkan kaum lain? Jaga hati mereka? Takut?

Kalau yang mengkritik itu orang Melayu dalam kalangan orang biasa seperti ahli akademik, pensyarah, pemerhati politik atau sebagainya, saya boleh terima kerana itulah tugas mereka – mengkritik dan memberi jalan penyelesaian. Tapi itu bukanlah tugas seorang ahli politik. Tugas mereka bukan lagi sibuk mengkritik tetapi merangka strategi dan polisi yang dapat membebaskan orang miskin daripada kemiskinan. Itulah tugasan yang hakiki.

Pemimpin yang terus menerus mentohmah orang Melayu sebenarnya malu untuk menerima hakikat bahawa dia sudah gagal mengubah nasib bangsa sendiri. Meskipun telah memerintah cukup lama, namun orang Melayu tetap miskin bahkan jatuh ke lembah papa kedana. Yang kaya siapa? Anak-anaknya? Para kroni Melayu? Ya, mungkin itulah antara kejayaan beliau.

Saya cukup marah dan sakit hati memikirkan nasib orang Melayu yang bukan sahaja dibelenggu dengan kemiskinan harta bahkan kemiskinan berfikir. Mereka tahu, ahli politik Melayu mereka sudah gagal untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, namun mereka tetap bersangka baik, tetap memberi undi dan tetap mencium tangan-tangan mereka.

Pandangan ini mungkin terlalu pedas bagi kebanyakan pihak tapi saya yakin, jauh di lubuk hati kalian, tetap bersetuju dan menerima hakikat ini. Antara sebab saya masuk politik ialah untuk membebaskan orang Melayu daripada kemiskinan mental dan cara berfikir terlebih dahulu.

Apabila orang Melayu sudah matang dalam berfikir, maka barulah kita boleh menuju ke peringkat seterusnya, iaitu merancang gerak kerja bagi membebaskan orang Melayu daripada kemiskinan dan kesusahan hidup.

Saya yakin mampu melakukannya kerana kebanyakan orang Melayu sudah sedar, sudah bangun daripada lena yang panjang dan mereka telah bersedia untuk berubah dan bertindak sebagai kaum majoriti yang kuat dari segala aspek. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu-isu isu tempatan & antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×