Budak pandai kena pilih sains?

Budak pandai kena pilih sains?

TIMBUL persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa pelajar yang mengambil jurusan lain adalah kurang pandai dan tidak sehebat pelajar aliran sains. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAJAR cerdik harus memilih aliran sains. Sama ada kita sedar atau tidak, tanggapan ini sudah seakan sebati dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat kita. Lazimnya, apabila seorang pelajar mendapat keputusan cemerlang, mereka disarankan malah kadangkala dipaksa menyambung pelajaran dalam aliran tersebut. Harapannya agar mereka dapat memajukan negara serta menyumbang kepada keperluan tenaga kerja dalam sektor ini.

Ia seolah-olah memberi persepsi pelajar yang mengambil jurusan lain adalah kurang pandai dan tidak sehebat pelajar aliran sains. Hal ini sering diperkatakan dalam perbualan sesama rakan-rakan saya di universiti.

Ramai pelajar memilih jurusan sains bukan kerana mempunyai minat dan kecenderungan di bidang ini tetapi kerana ia dirasakan lebih berprestij dan menjanjikan peluang pekerjaan lebih luas serta gaji tinggi.

Berkat ketekunan dan tunjuk ajar para guru, pada umumnya mereka tidak menghadapi banyak masalah ketika di bangku sekolah. Walaupun tidak memahami sesuatu mata pelajaran secara terperinci, mereka dapat menerima apa yang diajar dan boleh menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik.

Bagi pelajar yang rajin menghafal serta dibantu dengan teknik menjawab yang betul, hal ini tidak membebankan. Malah, ramai daripada mereka berjaya memperoleh markah tinggi untuk subjek-subjek berkaitan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada saat itu, tentu terasa berbaloi di atas segala usaha keras serta pengorbanan yang telah dilakukan.

Namun, keadaan mungkin berubah apabila mereka menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi. Melangkah ke alam universiti, kita akan memasuki fasa pendidikan yang amat berbeza berbanding di sekolah hinggakan ada yang seumpama berdepan kejutan budaya. Di universiti, pelajar mesti berusaha sendiri dan berdikari ketika belajar. Tiada lagi istilah spoonfeeding sebagai mana lazimnya di peringkat sekolah. Tidak dapat dinafikan ramai juga yang terkapai-kapai dan bergelut untuk menyesuaikan diri. Apatah lagi jika mereka tidak berminat dan sukar untuk memahami pelajaran yang diajar. Maka, di sinilah mula timbul masalah walaupun pelajar tersebut dahulunya amat cemerlang dalam pelajaran.

Memandangkan bidang seperti kejuruteraan, perubatan dan pengaturcaraan komputer diperlukan dan dipandang hebat, maka ramai melihat itulah jalan ideal bagi semua pelajar yang hebat, agar kita dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional. Tidak salah kerajaan memberi penekanan serius kepada bidang teknologi, namun negara akan rugi sekiranya kita gagal melahirkan inovator hebat dalam bidang-bidang lain yang sebenarnya amat kita perlukan. Jangan dilonggokkan semua aset negara hanya dalam satu aliran.

Dalam usaha membina masyarakat madani, kita tidak boleh hanya memberi tumpuan pada satu bidang. Benar, kemajuan teknologi adalah penting tetapi jangan jadikan ia sebagai peraturan hidup. Matlamat dan hala tuju negara harus seimbang dalam segala segi. Itu barulah namanya madani. Kemajuan yang tidak seimbang akan menyebabkan berlaku pelbagai masalah. Aspek kerohanian juga harus diberi penekanan sejak dari awal. Maka sistem pendidikan harus dirangka agar bersifat menyeluruh.

IMAGINATIF

Kita akan ketinggalan jika hanya fokus kepada usaha untuk melahirkan tenaga kerja mahir tanpa melatih para pelajar agar menjadi lebih kreatif dan berani untuk menginovasi. Ini penting bagi memastikan kita berjaya melangkah jauh serta dapat mendepani saingan pada masa hadapan. Dunia sering berubah dengan cepat. Apa yang penting pada hari ini, mungkin tidak lagi diperlukan dalam hanya sekelip mata. Jadi, kita harus melatih para pelajar agar membuka minda bagi menerokai dimensi baharu.

Konsep dimensi yang belum diterokai kadangkala dianggap hanya bersifat imaginatif semata-mata, namun itulah sebenarnya perkara yang membuka ruang kepada perkembangan ilmu selama ini. Tenaga kerja pada zaman dahulu tidak terfikir untuk belajar membina pesawat kerana kita diajar manusia tidak boleh terbang; hanya burung yang terbang. Tetapi cendekiawan Islam, Abbas ibn Firnas membuka mindanya melangkaui imaginasi umum, lantas menjadi manusia pertama untuk ‘terbang,’ meluncur di udara selama lebih 10 minit.

Negara memerlukan tokoh pemikir dan pembuat dasar yang mampu berfikir dan merancang jauh ke hadapan. Banyak perkara harus dikaji semula dan ditambah baik demi mengangkat martabat negara bangsa. Contohnya, kita memerlukan pakar dalam bidang pendidikan untuk menstrukturkan semula sistem pendidikan agar dapat melahirkan pelajar yang boleh berfikir secara kritis serta berupaya menerokai bidang baharu.

Sistem peperiksaan pula harus dirangka agar tidak mengehadkan pelajar kepada menjawab soalan mengikut format yang ditetapkan secara tegar.

Apa yang penting ialah para pelajar mesti membuktikan bahawa mereka memahami konsep, bukannya sekadar menghafal apa yang diajar. Minat serta kebolehan para pelajar harus diambil kira dalam menentukan bidang yang akan mereka ceburi kelak.

Negara tidak akan menjadi hebat kerana kekayaan dan kejayaan material sahaja. Malah struktur negara akan menuju kehancuran di saat kita mula mengabaikan soal melahirkan pakar-pakar dalam bidang kenegaraan, bahasa, budaya bangsa serta sejarah tanah air. Akibatnya, rakyat hidup dalam kekeliruan, mengangkat ideologi luar dan gagal melihat atau menyelesaikan sesuatu isu berdasarkan perspektif bangsa dan budaya kita sendiri. Hilang bahasa, lenyap bangsa.

Jangan kita cuma memperkasakan aliran sains dan teknologi dan mengumpul para pelajar yang bijak hanya di bidang ini. Negara memerlukan inovator dalam semua bidang. Dunia ini tidak statik, luaskan minda dan pandangan kerana kita tidak akan kekal berada pada detik yang sama. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×