“Seorang anak, seorang guru, sebuah buku, sebatang pen boleh mengubah dunia. Pendidikan hanya jalan penyelesaian. Pendidikan perlu diutamakan”.
Pendidikan sangat penting dalam mendorong pertumbuhan dan perkembangan individu serta memastikan kesamarataan.
Berbicara mengenai soal kesaksamaan dalam pendidikan, Malala Yousafzai adalah aktivis paling terkenal di seluruh dunia.
Malala adalah individu termuda yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan dan terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa menerusi buku penulisan kehidupan hariannya di bawah pemerintahan Taliban.
Tahun ini, Malala mencecah usia 24 tahun. Usia yang masih dianggap muda dan bebas menikmati proses tumbesaran sebagai golongan muda.
Namun tidak bagi sosok wanita ini yang sudah bergelut dengan isu kemanusiaan dan hak pendidikan sejak berusia lapan tahun.
Beliau yang lahir pada 12 Julai 1997 di Mingora, Swat Valley, Pakistan, dikenali sebagai aktivis negara itu semasa zaman remaja. Semuanya dek lantang bersuara menentang larangan pendidikan kepada kanak-kanak perempuan yang dikenakan oleh Tehrik Taliban Pakistan (TTP) ketika itu.
Anak perempuan kepada aktivis sosial dan pendidik ini merupakan seorang murid cemerlang.
Ayahnya merupakan pengetua di Sekolah Tinggi Perempuan Khushal dan Kolej di bandar Mingora.
Pada 2007, puak Taliban yang dipimpin oleh Maulana Fazlullah mengguna pakai undang-undang Islam yang ketat, menutup sekolah-sekolah perempuan, melarang wanita menjadi aktif dalam masyarakat serta menghalalkan pengeboman bunuh diri.
Beliau terpaksa melarikan diri dari wilayah itu demi keselamatan tetapi kembali semula ketika ketegangan dan keganasan mula reda.

KEBERANIAN MALALA
Pada 1 September 2008, semasa kanak-kanak perempuan itu berusia 11 tahun, ayahnya membawanya ke kelab media tempatan di Peshawar bagi memprotes tindakan penutupan sekolah.
Beliau membuat ucapan sulungnya iaitu: “Kenapa Taliban tergamak mencabul hak asasi saya untuk berpendidikan?” soalnya. Ucapan beraninya itu disiarkan di seluruh Pakistan.
Disebabkan itu, TTP membuat pengumuman menutup semula sekolah perempuan di Swat Valley berkuatkuasa pada 15 Januari 2009.
Lantaran itu, British Broadcasting Corporation (BBC) berusaha menjejak ayah Malala bagi mencari seseorang yang boleh menceritakan bagaimana kehidupan di bawah pemerintahan TTP.
Menggunakan nama pena Gul Makai, Malala mula menulis mengenai kehidupan hariannya untuk blog siaran bahasa Urdu, BBC Urdu.
Menjelang Februari 2009, Malala membuat kemunculan pertama di televisyen dan ditemu ramah oleh wartawan Pakistan serta hos rancangan bual biaca, Hamid Mir, menerusi rancangan Capital Talk.
Selepas kerap muncul dalam televisyen serta mendapat liputan media tempatan dan antarabangsa, beliau menerima pengiktirafan begitu meluas sebagai seorang aktivis.
Pada Oktober 2011, srikandi itu dicalonkan oleh aktivis hak asasi manusia, Desmond Tutu bagi Hadiah Keamanan Kanak-Kanak Antarabangsa.
Disember tahun sama, beliau menerima Hadiah Keamanan Remaja Kebangsaan Pakistan pertama yang kemudian dinamakan Hadiah Keamanan Malala Kebangsaan.
Pada 2014, Malala dan Kailash Satyarthi dianugerahkan Anugerah Nobel Keamanan berhubung usaha mereka membela hak pendidikan kanak-kanak.

CUBAAN BUNUH
Srikandi itu meraih perhatian dunia selepas terselamat daripada cubaan bunuh semasa berumur 15 tahun.
Pada 9 Oktober 2012, Malala ditembak di bahagian kepala oleh penembak TTP semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.
Bagaimanapun, nyawanya masih panjang dan diterbangkan segera dari Peshawar ke Birmingham, England, bagi urusan pembedahan. – AGENSI
PENCAPAIAN MALALA SEBELUM BERUMUR 21 TAHUN:
- 2008: Semasa berumur 8 tahun, beliau membuat ucapan sulungnya berikutan sekolah ditutup iaitu ‘Kenapa Taliban tergamak mencabul hak asasi saya untuk berpendidikan?”
- 2009: The New York Times menjadikan profil kehidupan Malala dalam mini dokumentari, Class Dismissed dan beliau menjadi perhatian dunia kerana aktiviti kemanusiaan yang dilakukan.
- 2011: Ketika 14 tahun, beliau dianugerahkan Hadiah Keamanan Remaja Kebangsaan Pakistan mengenai peranannya sebagai aktivis.
- 2014: Majalah Time menobatkan Malala salah seorang remaja paling berpengaruh pada 2014 dan 100 individu paling berpengaruh.
- 2015: Menerima Anugerah Grammy bagi album terbaik kanak-kanak.
- 2017: Terima pengiktirafan sebagai Utusan Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
» Memulakan sesi pembelajaran di Universiti Oxford.
» Terbitkan buku kanak-kanak pertama, Malala’s Magic Pencil.










