LANDSKAP Pemilihan UMNO 2023 di Melaka berputar 180 darjah selepas parti itu dan Barisan Nasional (BN) tewas semua kerusi Parlimen, termasuk kubu kuat mereka iaitu Masjid Tanah dan Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ternyata kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setahun sebelum PRU15 diadakan, tidak boleh dijadikan kayu ukur atau penanda aras terhadap momentum kekuatan parti mahupun sokongan rakyat.
Mahu atau tidak, UMNO perlu melakukan satu anjakan paradigma yang belum pernah dilakukan, waima ketika kehilangan punca kuasa selepas tewas mengejut pada PRU14.
Maka kerana itu, fenomena ‘angin muda’ yang kini melanda sekurang-kurangnya tiga daripada enam bahagian UMNO di Melaka menunjukkan pimpinan Pemuda dan Puteri kian berani mengubah tradisi dan birokrasi.
Dua ketua bahagian dan seorang pemangku ketua bahagian bakal dicabar ketua pemuda bahagian masing-masing dalam pemilihan kali ini.
Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman dicabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh manakala Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula bakal ditentang ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman yang sedang memangku jawatan ketua bahagian setelah kematian penyandang, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan akibat Covid-19 pada 17 November 2022 difahamkan akan berdepan ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi dibuat Fairul Nizam untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah dan Ketua Pemuda UMNO Melaka itu juga enggan mengulas ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Apa yang pasti, Fairul Nizam tidak akan mempertahan kedudukannya dalam Pemuda memandangkan usianya kini sudah melebihi 40 tahun.
Berbeza pula percaturan dimainkan Muhamad Akmal dan Rais, keberanian mereka menawarkan diri berentap jawatan nombor satu di peringkat bahagian dalam usia Pemuda dilihat sebagai luar biasa.
Pastinya, kedua-dua pemimpin itu mempunyai strategi dan telahan masing-masing dengan disokong kekuatan serta pengaruh mereka selaku ADUN, merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk menewaskan ‘otai politik’ seperti Hasan dan Mohamad Ali.
Utusan Malaysia difahamkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dijangka menang tanpa bertanding memandangkan tiada calon lain menawarkan diri.
Begitu juga dengan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali. Dalam pada itu, kedudukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk bertanding sebarang jawatan peringkat bahagian masih samar setakat ini. – UTUSAN










