Malaysia mungkin dapat tambahan kuota haji

Malaysia mungkin dapat tambahan kuota haji

MALAYSIA dijangka mendapat kuota tambahan jemaah haji musim ini susulan perbincangan antara kedua-dua negara, baru-baru ini. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia berkemungkinan menerima kuota tambahan jemaah haji pada musim ini susulan pertemuan dan perbincangan antara Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan semalam.

Zambry berkata, berita gembira diterima pada hari kedua lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi bagi menyampaikan penghargaan kerajaan Malaysia atas keutamaan dan layanan istimewa diberikan negara itu untuk urusan haji dan umrah.

“Insya-Allah, kuota (bilangan jemaah) kepada Malaysia tidak akan dipotong malahan ada kemungkinan besar akan (dapat) ditambah lagi,” jelas beliau di sini semalam.

Pada 10 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengumumkan Malaysia mendapat balik kuota asal jemaah haji berjumlah 31,600 hasil pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika sesi sela Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah.

Tahun lepas, kuota itu dipotong 45 peratus kepada hanya 14,306 orang susulan tindakan Arab Saudi mengehadkan bilangan jemaah seluruh dunia daripada isu wabak Covid-19, namun membenarkan warga asing yang menetap di negara itu menunaikan ibadah dengan cuma 263 rakyat Malaysia diberikan peluang.

Malaysia pernah mendapat kuota tembahan sebelum musim 2018 lalu malahan Agensi Berita Saudi (SPA) mengesahkan kehadiran lebih 40,000 orang jemaah negara ini di tanah suci.

Ia susulan hubungan akrab kedua-dua negara dan memperlihatkan Raja Arab Saudi, Raja Abdulaziz Al-Saud melawat Malaysia pada 2017 dengan membawa pelaburan besar.

Malaysia tahun lepas memperoleh kuota 14,306 jemaah daripada asalnya 31,600 orang yang ditetapkan tiga tahun lalu sebelum pintu sempadan Arab Saudi ditutup pada awal 2020.

Mengulas lanjut, Zambry percaya pertemuan dengan Putera Faisal membuka lembaran baharu hubungan istimewa antara dua negara kepada tahap yang lebih tinggi selepas ini.

“Pihak kerajaan Arab Saudi juga menyatakan bahawa mereka amat mengalu-alukan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×