Karya perkasa wanita Yura Yunita - Utusan Malaysia

Karya perkasa wanita Yura Yunita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI bidang seni seawal usia remaja memberikan cabaran hebat buat penyanyi, Yura Yunita apabila kekurangan fizikalnya pernah dipersenda.

Yura dikatakan tidak memenuhi piawaian standard untuk muncul sebagai penyanyi disebabkan penampilan fizikalnya, selain dikatakan tidak cukup tinggi.

Disebabkan itu, penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia ini pernah diselubungi perasaan kurang keyakinan diri sehingga mengalami kemurungan ketika mula-mula menceburi bidang seni.

“Ketika memasuki industri hiburan, saya baru 15 tahun dan orang di sekeliling selalu bercakap, fizikal saya kurang menarik. Saya juga dikatakan terlalu pendek untuk berdiri di pentas sebagai penyanyi.

“Sedangkan ketinggian saya sudah ditentukan Tuhan dan tidak boleh diubah. Disebabkan itu, saya pernah murung seketika dalam hidup,” katanya yang tampil menjayakan konsert sulung di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yura yang pernah menyertai program realiti, The Voice akhirnya menemui kekuatan dalam hidup apabila dikelilingi individu yang positif.

Tegasnya, dia tidak pernah patah semangat dan perlu menjadi wanita cekal serta tidak mudah mengalah dengan pandangan yang boleh merosakkan hidupnya.

“Saya dikelilingi wanita luar biasa, termasuk ahli keluarga dan kawan-kawan. Mereka sentiasa memberikan dorongan supaya jangan mudah mengalah dengan kata-kata orang lain.

“Saya perlu berani mengambil keputusan terbaik untuk diri sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi? Hal yang menyakitkan hati dahulu akhirnya membentuk saya menjadi manusia yang lebih kuat hari ini,” jelasnya.

Penyanyi berusia 31 tahun itu mendendangkan 17 lagu ketika menjayakan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur selepas dua tahun menyimpan impian untuk beraksi secara langsung di negara ini.

Katanya, dia membawakan lagu terbaik sepanjang konsert tersebut antaranya Tutur Batin dan Dunia Tipu-Tipu.

“Menjadi impian terbesar saya untuk mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Ini adalah antara impian yang berjaya direalisasikan, membuatkan saya sangat bersyukur dengan komitmen diberikan semua pihak.

“Paling indah, Kuala Lumpur merupakan lokasi pertama konsert sebelum ke tempat lain. Semoga penghargaan kecil ini dapat melunaskan hutang saya kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.

Menjadikan curahan jiwa sebagai bekal dalam karyanya, Yura memberitahu, konsert itu turut menjadi pentas terbaik untuk dia berkongsi segala yang dilaluinya bukan sahaja sebagai anak seni, tetapi juga wanita dan isteri.

“Sejak album pertama, Yura sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang saya kongsikan bersama peminat menerusi karya.

“Konsert ini menjadi pentas buat saya dan peminat berkongsi rasa. Setiap kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti apa yang saya lalui,” katanya.

Yura merupakan rakan duet mendiang Glenn Fredly dalam lagu, Cinta Dan Rahasia, selain pernah menerima pengiktirafan Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Muzik Indonesia 2017 (AMI 2017) dan Penyanyi Solo Wanita Terbaik (AMI 2018).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×