PETALING JAYA: Beberapa ‘taikun perniagaan’ terkemuka di negara ini akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung pendedahan Pandora Papers mengenai dakwaan memiliki akaun, syarikat atau firma pemegang amanah di luar pesisir di luar negara.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, keterangan kesemua mereka dalam proses untuk diambil selepas seorang bekas menteri yang juga usahawan terkemuka dipanggil SPRM kelmarin.
Kata sumber itu, kesemua mereka merupakan sebahagian ahli politik dan ahli perniagaan yang namanya disebut di dalam pendedahan Pandora Papers.
Jelas sumber itu, penelitian beberapa dokumen giat dilakukan SPRM bagi melihat sekiranya terdapat sebarang pelaburan dilakukan mengikut kesalahan di bawah kanun keseksaan atau lain-lain peruntukkan undang-undang di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau agensi kewangan yang lain.
“Penama-penama lain yang disebut di dalam Pandora Papers juga akan dipanggil SPRM. Pasukan siasatan SPRM kini masih berada peringkat awal untuk mengkaji setiap dokumen yang diperoleh.
“Beberapa bukti dan butiran kewangan daripada negara luar juga sedang dalam proses diperoleh SPRM sebelum maklumat itu diteliti sama ada terdapat kesalahan di Malaysia atau tidak,” katanya di sini semalam.
Ditanya adakah SPRM telah mengambil keterangan seorang anak kepada bekas Perdana Menteri hari ini, sumber itu berkata, proses berkenaan ditangguhkan.
“Siasatan melibatkan anak bekas Perdana Menteri itu lebih kepada pendedahan yang dibuat oleh ‘Panama Papers’ tapi isu yang sama dibangkitkan di dalam Pandora Papers,” jelas sumber itu.
Utusan Malaysia semalam melaporkan keterangan seorang bekas Menteri Kewangan telah diambil SPRM berhubung pendedahan Pandora Papers mengenai kekayaan yang disembunyikan di luar negara hasil daripada syarikat perkhidmatan ‘offshore’ milik beliau dan keluarganya.
Keterangan usahawan terkenal berusia 84 tahun itu diambil pagi semalam selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Keterangan membabitkan bekas pemimpin berkenaan disyaki diambil bagi menjelaskan aliran dan jejak kewangan membabitkan 12 syarikat offshore miliknya dan keluarga yang disyaki memiliki kekayaan luar biasa.
Siasatan SPRM memberi fokus pelbagai sudut termasuk mengesan aset-aset dan pelaburan yang dikaitkan pemimpin itu dan keluarganya di luar negara kemungkinan ia hasil daripada projek-projek kerajaan.
Setakat ini tiada pembekuan sebarang akaun dilakukan.
Untuk rekod, Pandora Papers adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia termasuk Malaysia yang menyembunyikan kekayaan masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’.
Offshore merujuk kepada syarikat berpangkalan di negara luar, mempunyai rangkaian dan struktur yang kompleks diwujudkan merentasi sempadan bagi menyembunyikan pemilikan kekayaan dalam bentuk wang dan aset.
Menerusi pendedahan sama, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini.
Menerusi laporan Utusan Malaysia kelmarin, timbul persoalan apa status siasatan berhubung laporan dokumen Pandora Papers yang dikaitkan dengan beberapa ahli politik dan tokoh perniagaan yang ‘menyembunyikan’ kekayaan mereka di luar negara?
Rakyat tertanya-tanya sejauh mana SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan siasatan kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) isu Pandora Papers seperti sudah ‘mati’.
Isu tersebut dijangka dibangkitkan dalam sidang Parlimen yang bermula kelmarin sehingga 30 Mac.
Rakyat berhak mengetahui dan sepatutnya siasatan berkaitan Kertas Pandora diumumkan dan bila diajukan persoalan agensi penyiasat wajar memberi jawapan. Contoh siasatan sudah ke tahap mana, siapa individu disiasat, ditahan dan apakah ada individu didakwa.
Ini kerana pendedahan Pandora Papers bukan membabitkan wang kecil tetapi berbilion wang negara dibawa keluar secara ‘tidak telus’ dan ia menjadi antara punca kerugian besar kepada negara sekali gus kepada rakyat. – UTUSAN










