HATAY, Turkiye: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah kematian ekoran dua gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud di Turkiye, kelmarin boleh mencapai lebih 20,000 orang.
Anggaran itu berdasarkan gegaran pada ukuran 7.8 magnitud yang terakhir berlaku di negara itu pada 1939 telah mengorbankan 33,000 orang.
Menurut WHO, jumlah itu akan terus meningkat lapan kali ganda apabila pasukan penyelamat menemukan lebih ramai mangsa dalam runtuhan ribuan bangunan.
Pegawai Kecemasan Kanan WHO untuk Eropah, Catherine Smallwood memberitahu AFP, usaha mencari dan menyelamat sangat sukar berikutan ramai terperangkap di bawah runtuhan bangunan selain keadaan salji tebal.
“Keadaan bersalji juga menyebabkan ramai orang tidak berani berteduh di bawah bangunan kerana bimbang bahaya sekiranya berlaku lagi gegaran,” katanya.
Semalam, kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gegaran di tenggara Turkiye berukuran 7.8 magnitud itu berlaku pada 4:17 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 17.9km berhampiran bandar Gaziantep.
Ahli seismologi berkata, gempa pertama adalah antara yang terbesar pernah direkodkan di Turkiye.
Mangsa yang terselamat ketika ditemui berkata, gegaran kelmarin berlaku selama dua minit.
Gempa kedua pula menyusul pada pukul 1.24 tengah hari berukuran 7.5 magnitud dan pusat gempanya di daerah Elbistan di wilayah Kahramanmaras.
Antara bangunan yang musnah ialah Istana Gaziantep, sebuah mercu tanda bersejarah yang telah berdiri selama lebih 2,000 tahun.
Wartawan BBC Asia Barat, Anna Foster yang melaporkan dari bandar Osmaniye di Turkiye turut menggambarkan kejadian dahsyat selepas kejadian gempa bumi berkenaan.
“Ia benar-benar sukar selain hujan dan salji yang menghalang usaha mencari dan menyelamat. Tiada tenaga elektrik langsung di bandar ini malam tadi.
“Kami masih lagi berasa gegaran susulan yang kerap… dan masih terdapat kebimbangan bahawa mungkin masih terdapat lebih banyak bangunan akan runtuh,” katanya.
Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan negara itu berkabung selama tujuh hari.
“Semua orang menyerahkan hati dan jiwa mereka, walaupun musim sejuk, cuaca sejuk dan gempa bumi yang berlaku pada waktu malam menjadikan keadaan lebih sukar,” kata Erdogan.
Dalam pada itu, saksi memberitahu, mereka bagaikan dikejutkan dari tidur apabila berlaku gegaran dan berlari ke kereta untuk menyelamatkan diri daripada bangunan yang runtuh.
“Saya tidak pernah merasakan apa-apa seperti itu dalam tempoh 40 tahun. Kami digoncang sekurang-kurangnya tiga kali dengan sangat kuat, seperti bayi dalam buaian,” kata Erdem, yang tinggal di bandar Gaziantep.
Seorang lagi penduduk tempatan, Veysel Servan memberitahu BBC ramai saudara maranya berada di bawah runtuhan bangunan.
“Saya hampir tidak dapat bergerak dan tidak boleh membawa keluarga keluar dari bangunan. Kami bagaimanapun keluar dari serpihan runtuhan apabila melihat seseorang menghulurkan tangan melalui celah-celah batu,” katanya.
Seorang penduduk Kahramanmaras, Melisa Salman, berkata, tinggal di zon gempa bermakna dia sudah biasa digegar, tetapi gegaran pada Isnin lalu adalah kali pertama mereka pernah mengalami perkara seperti itu.
“Kami fikir ia adalah kiamat,” katanya. – AGENSI/Utusan










