Anwar inspirasi anak muda

Anwar inspirasi anak muda

SIDANG akhbar oleh Dr. Mahathir Mohamad mengenai penyertaan Anwar Ibrahim (kiri) dalam UMNO pada 29 Mac 1982. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, ramai pemuda dan pemimpin muda PKR atau Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta saya mencetak kembali buku Bersama Anwar Ke Penjara. Saya hanya menyatakan bahawa ia akan diulang cetak bila sampai waktunya. Kini hasrat anak-anak muda itu saya penuhi. Cetakan kedua dengan penambahan tiga bab, iaitu Penangkapan dan Tahanan ISA, Kelab Sosialis UM dan Anwar Dari Penjara ke Putrajaya. Insya-Allah, buku cetakan kedua ini akan diluncurkan pada 4 Februari ini dalam majlis Malam Gala Anugerah Telenovela kelapan.

Saya percaya anak-anak muda PKR mahu diulang cetak kerana termuat di dalam buku tersebut, tajuk-tajuk Anwar ditangkap, Anwar jadi Imam, Anwar digari, Anwar Wira Mahasiswa, Anwar diseksa, Anwar Presiden di Penjara dan Anwar Sarjana di Penjara.

Tentu sekali keinginan anak-anak muda tersebut bukan semata-mata kerana tajuk bab-bab atas nama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya isi yang tersirat dan tersurat pada kekuatan, ketahanan, kegigihan, ketabahan, keyakinan Anwar dalam menghadapi segala bentuk cabaran. Sama ada semasa berjuang bersama mahasiswa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), penangkapan dan menjadi warga ‘Universiti Kamunting.’

Saya percaya, bertolak dari premis itulah, mereka mahu buku ini kembali mendekati anak-anak muda. Bukan sahaja untuk dibedah, diselami, dihadam, dicungkil serta digali, malah mengutip nilai-nilai perjuangan murni daripada sosok bernama Anwar Ibrahim. Bermakna anak-anak muda dapat menyusur sungai sejarah perjuangan Anwar. Ia bermula, berkembang, menghadapi segala liku sebelum menuju puncak kejayaan. Ia persis titik-titik air yang bermula dari puncak gunung yang mengalir turun untuk mencecah laut kuasa.

Sebagai air yang mengalir, sudah tentu terpaksa menghadapi permukaan bumi yang pelbagai. Ada di antaranya tersangkut di akar-akar pokok, terlencong ke longkang-longkang kotor. Ada yang terhenti di tasik atau danau. Terdapat yang cekal lagi gigih, akhirnya sampai ke laut.

Begitulah sejarah perjuangan Anwar, sentiasa menggenggam kejap perjuangan serta keyakinannya. Beliau tidak tunduk mengalah dengan segala sekatan, tekanan, ancaman dan penindasan. Bangkit dengan penuh berani melawan segala bentuk ancaman.

Saya percaya inilah nilai-nilai perjuangan yang mahu dikutip, diambil lalu dianyam dengan kemampuan anak-anak muda. Kekentalan semangat bersulam keyakinan. Tentulah mereka mahu belajar daripada kegigihan Anwar dalam perjuangan sekali gus mengejar kejayaan.

Selepas keluar dari ‘Universiti Kedua’ (istilah Kassim Ahmad), iaitu Kamunting, Anwar kembali aktif dalam ABIM. Kemudian dengan segala perhitungan serta keberanian, beliau meninggalkan ABIM di samping rakan-rakan Pas. Muncul di kaca TV mengumumkan beliau menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Tiada siapa menjangkakan sosok yang kritikal terhadap kerajaan, akhirnya menyertai UMNO. Menjadi calon UMNO pada pilihan raya umum (PRU) 1982 di Permatang Pauh.

Anwar seperti melangkah mudah di dalam UMNO hingga ke jawatan Timbalan Presiden. Bermula dengan menunjal Datuk Suhaimi Kamaruddin untuk jawatan Ketua Pemuda (1982), kemudian memanjat jawatan Naib Presiden (1987). Akhirnya menjadi Timbalan Presiden mengalahkan penyandang, Tun Ghafar Baba (1993).

LAWAN TETAP LAWAN

Selepas memenangi kerusi Permatang Pauh, Anwar dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada 1983 menjadi Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pelajaran, Menteri Kewangan serta Timbalan Perdana Menteri.

Bila kedudukannya semakin kukuh lagi berpengaruh di dalam UMNO dan kerajaan, beliau menjadi ancaman kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada 2 September 1998, Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Esoknya, beliau dipecat dari UMNO.

Anwar terus bangkit melawan. Mengadakan rapat di Masjid Negara yang dihadiri ratusan ribu penyokong dan simpatetik dari situ bermulalah tiupan slogan Reformasi dan Lawan Tetap Lawan.

Akhirnya, Anwar terpenjara. Semangat dan perjuangannya lalu dianyam, diolah oleh pendukung untuk menjadi senjata seperti keris bersepuh. Mereka menterjemahkannya dengan melahirkan Parti Keadilan Nasional. Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diangkat menjadi Presiden.

Slogan Reformasi dan Lawan Tetap Lawan terus bergema dari kota ke penjuru desa. Anak-anak muda secara bergerombolan menyertai parti tersebut. Ramai dalam kalangan UMNO turut berhijrah ke parti yang menjunjung semangat perjuangan Anwar.

Gelombang Reformasi membedal UMNO-BN (Barisan Nasional) pada PRU 1999. Kemenangan UMNO-BN berpapah pada undi bukan Melayu. Undi Melayu berpihak kepada pembangkang. BN hilang Terengganu.

Anwar dibebaskan pada 2004 oleh Mahkamah Persekutuan. Pada PRU 2008, Anwar bertanding dan kembali memenangi kerusi Permatang Pauh lalu menjadi Ketua Pembangkang. Sekali lagi Anwar diseret ke mahkamah pada 2015.

Natijahnya, beliau terpaksa meringkuk di penjara buat kali ketiga. Pada 16 Mei 2018, Anwar menerima pengampunan. Ini membolehkan beliau bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson. Beliau menang besar.

Beliau terus memimpin Pakatan Harapan (PH) dengan segala upaya. Segala taktik dan strategi digunakan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 24 November 2022, Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10. Sosok Anwar yang telah mencatat sejarah sebagai tokoh politik Malaysia pertama dan mungkin terakhir yang terpaksa tiga kali meringkuk di penjara, sebelum berjaya menjadi Perdana Menteri.

Liku-liku perjuangan beliau perlu dihayati oleh anak-anak muda. Anwar perlu dijadikan inspirasi oleh anak muda bila mereka terjun ke kancah politik. Jadi, untuk mengenal semangat awal sosok bernama Anwar Ibrahim, bolehlah dikutip daripada buku Bersama Anwar Ke Penjara. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×