Banyak lagi dugaan besar lain - Utusan Malaysia

Banyak lagi dugaan besar lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
JATUH bangun dalam dunia perniagaan sudah menjadi lumrah kepada mereka yang lama dalam bidang ini. Tidak terkecuali Kumpulan Jakel yang mengalami kerugian lebih RM100 juta ekoran kebakaran baru-baru ini.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Pengarah Urusannya, DATUK SERI MOHAMED FAROZ MOHAMED JAKEL bagi mendapatkan perkembangan terbaru. Turut dibantu jurugambar SHIDDIQIN ZON.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana rentak perniagaan selepas kejadian kebakaran tempoh hari?
MOHAMED FAROZ: Selepas terbakar, pekerja saya ada yang ditempatkan di cawangan kami di ibu negara, Bangi dan beberapa cawangan lain. Dengan kerugian RM100 juta, saya rasa ini ujian besar pada kami lebih-lebih lagi kejadian berlaku pada waktu puncak dan hujung tahun di saat-saat orang membeli. Namun kita juga yakin ini qada dan qadar daripada Allah SWT. Ada hikmah di sebaliknya. Namun begitu, kita akan sedaya upaya untuk bangunkan perniagaan yang musnah secepat mungkin. Ini termasuk dengan proses baik pulih membabitkan kos RM20 juta. Tapak untuk kedai sementara pun sudah dikenal pasti. Kita jangkakan sekurang-kurangnya dua tahun untuk membaik pulih.

Adakah ini dugaan paling teruk sepanjang menjalankan perniagaan?
Tidak. Banyak lagi dugaan sebenarnya. Ada macam-macam. Ini semua sebahagian resam dalam dunia perniagaan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Bagaimana dengan tuduhan cubaan tipu insurans dan punca-punca kebakaran?
Tidak ada kena-mengena dengan cubaan tipu insurans. Begitu juga dengan punca kebakaran yang mendakwa ada pengkhianatan.
Kita telah pun teliti dari kamera litar tertutup (CCTV) memang ia disebabkan litar pintas. Mungkin ada pekerja yang menggunakan plug yang berkapasiti tinggi. Lagipun kain mudah terbakar dan merebak dengan pantas. Perkara ini sudah pun saya jelaskan dalam sidang akhbar sebelum ini.

Apakah jangkaan terhadap jualan pada tahun ini dengan situasi 

ekonomi yang berdepan kesukaran?
Alhamdulilah sambutan sangat baik pada tahun lalu dan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus. Malah, saya boleh katakan hasil jualan hampir sama seperti tahun 2018. Untuk tahun ini pun, kami yakin keadaan (jualan) kembali kepada asal kerana masyarakat yakin untuk membeli. Kita boleh lihat semua aktiviti sudah kembali beroperasi seperti perkahwinan dan perayaan.
Dengan pelbagai promosi berterusan dan pengenalan pelbagai produk baharu, hasil jualan kami akan terus meningkat. Insya-Allah.

Jakel boleh dikatakan menjadi tumpuan setiap kali tiba musim perayaan. Bagaimana untuk tahun 2023?
Untuk sambutan musim perayaan tahun ini, kita banyak produk baharu dengan corak kain abstrak dan kepelbagaian warna. Malah kami juga banyak menyediakan baju kurung siap selepas melihat kenaikan upah tukang jahit tahun ini selain memperkenalkan pelbagai baju kurung moden dan jubah rekaan terbaharu.

Adakah Jakel akan memberi fokus kepada pembeli daripada golongan 

berpendapatan rendah tahun ini berikutan ketidaktentuan ekonomi?
Tidak. Kita tidak fokus kepada golongan B40 semata-mata. Golongan sasaran kita meliputi semua. Now everyone can buy (kini semua orang mampu beli). Kita tidak pernah pilih darjat pelanggan dan kita juga ada kain yang berharga semeter RM2 sehinggalah ribuan ringgit.
Jenis kain kita juga pelbagai. Ada French Lace, Korea Lace, India Lace dan pelbagai lagi.

Datuk antara ahli perniagaan berjaya yang mempunyai banyak pengalaman. Apakah nasihat Datuk kepada mereka di luar sana?
Apa yang saya boleh sarankan jika ada pendapatan lebih jangan terlalu cepat untuk kembangkan sayap ke perniagaan lain. Simpan dahulu wang dan perkukuhkan perniagaan sedia ada. Kita dulu pun mengambil masa 30 tahun sebelum dapat berkembang.
Jakel mula mempelbagaikan perniagaan pada 2012 sebelum melabur dalam bidang baharu. Sekarang ini saya lihat segelintir usahawan, baru ada keuntungan sikit sudah mahu buka bidang perniagaan yang bukan pun kepakaran dia.
Perlu diingat, perniagaan ini bukan hanya kerana minat sahaja. Kita perlu faham selok-belok dalam satu-satu perniagaan itu. Selain itu, dalam aspek akaun dan kewangan juga amat dititk beratkan.
Sentiasa sematkan dalam diri untuk terus belajar. Kalau tidak 100 peratus pun, cukup kita menguasai 50 peratus dahulu. Lagi satu jangan hutang lama-lama. Kalau ada masalah terus terang dan tunjukkan komited.
Akhir sekali urus jual beli dan costing. Orang Melayu banyak gagal sebab costing. Tiada usaha hendak cuba dapatkan harga terbaik apabila membeli satu-satu barang. Mereka lebih suka runding menerusi telefon sahaja. Sepatutnya datang berjumpa depan-depan. – Mingguan Malaysia

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×