Selesa menduda - Utusan Malaysia

Selesa menduda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENOLAK dirinya tidak pernah dewasa, ketika ini gelaran ‘anak emak’ tidak pernah melambangkan kekurangan buat dirinya. Malah jika ada yang melihat panggilan itu cukup memalukan, berbeza pula bagi pelakon ini.
Pada usia 36 tahun, bukan sesuatu yang merugikan untuk Fizo Omar memilih terus berbakti buat wanita paling penting dalam hidupnya itu.
Menguatkan lagi kenyataannya itu, sama ada berstatus duda atau kembali bergelar suami suatu hari nanti, dia tidak akan sesekali melepaskan peluang untuk kekal tinggal sebumbung bersama ibunya Hasnah Jidin, 61.
“Memang saya anak emak, bukan memalukan mengakuinya di usia ini. Bagi saya, lebih rugi pada mereka yang malu menghargai ibu mereka sedangkan kita tahu bagaimana kasih sayang seorang ibu itu tidak akan berubah untuk anaknya.
“Sejak dahulu lagi saya letakkan ibu paling atas. Dalam agama sendiri meminta memuliakan ibu kita. Jadi apa salah untuk saya sentiasa mengutamakan ibu dahulu. Bagi saya cukup merugikan bagi orang yang ada peluang untuk berbakti kepada ibunya namun hanya kerana terlalu memikirkan pandangan orang lain membuatkan kita jauh daripada tanggungjawab itu.
“Namun ini tidaklah melambangkan saya ini suka menempel dengan ibu sepanjang masa. Ia lebih menjelaskan bagaimana saya mahu dia terus tinggal bersama untuk memudahkan menjaga dia. Itu lubuk pahala saya,”katanya berterus terang.

Membesar dalam keluarga yang penuh kasih sayang, tidak pernah terlintas untuk dia membelakangkan ibunya dalam apa-apa keputusan. Namun berbalik kepada keadaan dirinya, Fizo menjelaskan ibunya tidak pernah memainkan apa-apa peranan dalam menidakkan dirinya sebagai seorang lelaki dewasa.
“Soal perkahwinan dan percintaan ibu saya tidak ambil tahu. Bila ada yang kata dia campur tangan dalam perkahwinan dan sebagainya, perkara itu tidak pernah berlaku. Walaupun ibu tinggal bersama namun dalam keadaan ini saya kekal menjadi pembuat keputusan tunggal tiada campur tangan pihaknya.
“Ibu sudah berumur, fokusnya hanya untuk kehidupannya sahaja dalam keadaan sekarang. Saya sendiri tidak mahu bebankan dia dengan masalah hidup. Selepas apa yang ibu saya lakukan untuk besarkan kami adik beradik tiba waktunya untuk dia memiliki kehidupan yang lebih tenang,”katanya.
Hampir dua tahun meninggalkan gelaran suami, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, mengakui terbit rasa selesa dengan keadaan ini. Bagaimanapun tahu keperluan untuk dirinya berkeluarga kembali suatu hari nanti, jelasnya bukan sesuatu mengejutkan untuk ibunya kekal tinggal bersama.
“Saya letakkan begini, sejauh mana saya pergi atau berjaya adalah berkat doa ibu. Jadi tidak timbul untuk saya buat keputusan berbeza dalam apa-apa keadaan. Memang saya sudah berniat untuk terus menjaga ibu.
“Kalau ditakdirkan berkahwin sekali lagi selepas ini, saya akan tetap meminta ibu tinggal bersama. Bukanlah ibu saya tidak boleh tinggal di tempat lain dia juga mempunyai rumah sendiri selain rumah anak-anak lain. Cuma dia selesa tinggal bersama saya,” katanya panjang lebar.

Fokus bisnes

Kembali aktif berlakon, akui Fizo episod perceraian bukanlah penyebab dia kembali bergelar anak seni. Meyakinkan peminat ini adalah sesuatu yang tidak mungkin ditinggalkan dirinya, jelasnya lagi fokus utamanya kekal menjadi seorang ahli perniagaan.
“Saya berlakon bukan sebab kecewa bercerai atau apa, memang rindu untuk berlakon selain menghargai peluang yang ada. Kenyataan saya aktif berlakon sebab tidak mahu terlibat dalam perniagaan juga tidak benar.
“Sehingga kini saya masih sibuk menguruskan perniagaan dalam bidang penyiaran selain turut bergelar konsultan di Fizo Omar Channel. Perancangan jangka panjang saya kekal untuk menjadi seorang ahli perniagaan. Kini dunia lakonan dan perniagaan sesuatu yang saya sedang usahakan,”katanya.
Tidak sekadar berlakon ketika ini juga Fizo turut bergelar pencipta kandungan dalam laman sosial. Melihat ini sebagai satu cabaran baharu buat dirinya, namun ada prinsip yang diamalkan dalam memastikan pulangan yang diterima dirinya sentiasa diberkati.
“Bila mencipta content saya selalu ingatkan diri sediakan sesuatu yang manfaat untuk penonton. Kita bukan bercakap soal pulangan sahaja tetapi kemampuan mewujudkan sesuatu yang positif untuk masyarakat.
“Namun melihat keghairahan mereka dalam laman sosial kini yang hanya mengejar jumlah tontonan tanpa menghiraukan sensitiviti sangat mengecewakan. Jujurnya perkara seperti ini mampu memberi impak tidak baik yang sekali gus kita sebagai pencipta kandungan itu sendiri apakah layak untuk menyatakan rezeki yang kita terima itu berkat?”soalnya.

Tidak mahu bercinta

Mengakui bersedia untuk berkahwin, ketika ini kembali ke alam percintaan bukan lah mudah untuk dirinya. Mengambil keputusan untuk mencari seorang wanita yang memahami dirinya, ini adalah pelajaran penting daripada perkahwinan terdahulunya.
“Apa yang saya belajar daripada perkahwinan terdahulu bagaimana penting mencari seseorang yang memahami bukan sahaja diri kita tetapi keseluruhan termasuk kerjaya. Baik buruk letak tepi tetapi mencari yang sesuai dengan diri kita itu penting.
“Ikutkan memang ada berkawan tetapi ke arah bercinta itu belum lagi. Kalau boleh saya mahu abaikan bahagian percintaan dan terus memulakan kehidupan baharu sahaja kalau jumpa yang serasi. Pada umur ini saya tidak fikir perasaan teruja untuk fasa berkenalan dan bercinta bukan sesuatu yang perlu pun,” ujarnya.
Cuba mengusik sama ada kali ini dia lebih senang disatukan dengan orang dalam industri sahaja, kata Fizo bukan kuasanya untuk menentukan siapa jodohnya kelak. Namun tiada salahnya, jika dia mahu mengelak perkara itu daripada terjadi.
“Kita tidak tahu siapa jodoh kita, tetapi macam saya katakan mencari seseorang yang mampu memahami kehendak dan pilihan saya dalam kehidupan adalah pilihan utama.
“Dalam tempoh ini saya tidak berselindung sebenarnya mahu mengelak orang dalam industri. Saya lebih sukakan wanita yang mampu berkongsi misi dalam perniagaan,”katanya jujur.
Konflik yang berlaku dalam rumah tangganya sebelum ini tidak pernah memberi kesan kepada dia untuk meneruskan hubungan baik dengan bekas isterinya. Sebagai seorang ayah, kehadiran Wan Maryam yang kini berusia tiga tahun adalah amanah terbesarnya. Sentiasa melihat perkara ini dari sudut positif, bertolak ansur adalah kunci utama kepada kesepakatan mereka.
“Tujuan kami adalah untuk membesarkan anak. Jadi bila dalam keadaan ini bukanlah mahu cakap baik sangat hubungan terjalin. Cumanya lebih kepada toleransi, ada perkara yang boleh suarakan dan ada perkara yang perlu didiamkan sahaja.
“Berada pada tahap ini kami berdua lebih matang, Malah saya juga mendoakan dia bertemu seseorang yang boleh bahagiakan dia suatu hari nanti. Begitu juga saya yang mengharapkan dia mendoakan perkara yang sama,”jelasnya. – Pancaindera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×