Kolum Seram
Hari sudah menginjak Asar. Ini bermakna, sudah hampir setengah hari Rahayu meninggal dunia. Tetapi jenazahnya masih tidak diuruskan lagi dan hanya dibiarkan terbaring di ruang tamu.
Saya tanya suami Rahayu, Samad, yang mundar-mandir di anjung. Kenapa jenazah isterinya tidak diuruskan? Namun lelaki itu hanya menggeleng-gelengkan kepala. Sepatah perkataan pun tak keluar daripada mulutnya. Pelik, memang pelik!
Saya mula bingung. Dalam kepala mula berfikir, sampai bila jenazah Rahayu hendak dibiarkan? Takkanlah ahli kariah atau ahli jawatankuasa masjid tak tahu menahu tentang kematian di kampung ini?
Saya akui, sebenarnya saya sendiri tidak kenal dengan Rahayu mahupun Samad. Sejak berpindah ke kampung kami sekitar dua tahun lalu, mereka kurang bercampur dengan masyarakat setempat. Penduduk kampung hanya sekadar tahu nama mereka sahaja, latar belakang selebihnya tiada siapa tahu. Kalau berselisih tengah jalan, masing-masing hanya mengangkat tangan, tak lebih daripada itu.
Apabila diberitahu ada kematian, saya tergerak hati untuk menziarahi jenazah. Walaupun tidak berapa mengenali si mati, namun mereka tetap jiran sekampung dan saudara seagama dengan saya. Jadi, tak ada sebab untuk saya tidak pergi ziarah.
Menurut seorang jiran, dia ada menghubungi keluarga Rahayu di kampung halamannya di Selatan tanah air. Tetapi dimaklumkan mereka tidak mahu menerima jenazah dan minta kami uruskan. Saya tersentak. Kenapa pula begitu, bisik hati sendirian. Seolah ada sesuatu yang tidak kena.
Hari sudah hampir gelap, tetapi jenazah Rahayu masih lagi tidak diuruskan. Saya lihat jasadnya sudah semakin melebam di sana sini. Kalau dibiarkan sampai esok, sudah pasti jenazahnya akan membusuk.
Nampaknya tak ada jalan lain lagi. Saya dan beberapa orang jiran tetangga telah bersepakat, kalau dah tak ada sangat orang yang hendak uruskan jenazah, lebih baik kami serahkan kes ini kepada polis. Biar pihak berkuasa uruskan semua.
Sementara menunggu jenazah dibawa ke hospital, saya duduk di sebelah si mati dan berdoa supaya semua urusan dipermudahkan. Saya pandang jenazah Rahayu. Hati saya jadi sebak. Di hadapan saya, jasad Rahayu terbaring kaku dalam keadaan kaki terkangkang manakala tangannya mengepak.
Saya belek badannya. Kelihatan seluruh badan jenazah Rahayu dipenuhi kudis. Melalui kudis yang kemerah-merahan itu, mengalir keluar cecair berwarna kekuningan seperti nanah – melekit-lekit! Baunya sungguh busuk dan meloyakan. Tekak saya terasa kembang kecut, seperti hendak termuntah. Tapi saya tahan saja.
Bahagian dadanya pula membengkak dan kembang seperti belon, membonjol di sebalik kain batik jawa yang menutup tubuh arwah. Saya lihat sendiri, dadanya makin lama makin membesar, seperti hendak meletup.
Kalau melihat kepada saiz fizikal Rahayu, tak mungkin boleh sebesar itu, tak logik! Urat-urat dan saluran darah juga jelas kelihatan pada bahagian pangkal dadanya yang kemerah-merahan itu.
Ketika ini saya mula terfikir, apakah sebenarnya yang telah dilakukan oleh Rahayu sehingga dia menerima balasan sebegini? Adakah cakap-cakap orang kampung mengenai Rahayu selama ini betul, atau…
Kemudian, saya pandang pula muka jenazah yang cengkung tak berisi. Kulit wajahnya hitam seperti terbakar, berbirat-birat. Matanya terbeliak dan sedikit tenggelam, seperti dalam ketakutan. Raut wajah jenazah nampak sangat tua, seperti wanita yang berusia 70 tahun. Padahal usia usianya baru 30-an. Eh, takkan setua itu? Ah, mungkin fizikalnya berubah sebab menahan sakit yang ditanggung selama ini, fikir saya dalam hati.
Saya belek lagi. Kali ini saya perhatikan pula kepalanya yang hampir botak. Rambutnya jarang-jarang, manakala bulu keningnya sudah hampir gugur keseluruhan. Jelas kelihatan ada kudis-kudis yang menempek pada kepalanya.
Tapak tangan dan kakinya juga berkudis. Semua jarinya terbuka luas, dan sukar dirapatkan. Keseluruhan kuku kaki dan tangannya nampak kekuning-kuningan, menunjukkan isinya yang dipenuhi nanah. Mengerikan.
Tak cukup dengan itu, saya perhatikan ada cecair nanah yang likat keluar melalui kemaluannya. Walaupun Rahayu sudah lama meninggal, tetapi cecair itu masih tak henti-henti mengalir. Bukan sedikit, tetapi banyak sehingga basah kain yang menyelaputi jasad Rahayu. Baunya pula amat busuk, macam bangkai.
Sementara kedua-dua belah kakinya pula masih dalam keadaan terkangkang. Saya cuba luruskan, namun sendinya sudah mengeras kerana telah dibiarkan terlalu lama. Saya mengurut sendi arwah supaya lembut, tetapi keadaannya masih sama. Kaki jenazah masih tak boleh diluruskan. Bila lepas, ia terkangkang balik.
Melihat keadaan jenazah Rahayu itu, beberapa kali saya beristighfar. Saya mengucap panjang. Muncul perasaan kasihan, hiba dan sedih. Seksa sangat jenazah Rahayu. Saya tak sangka, sampai begini sekali Rahayu terpaksa menanggung azabnya. Astaghfirullahalazim…
Selepas Isyak, jenazah Rahayu telah dibawa ke hospital. Biarlah pihak berwajib yang uruskan, mungkin itu yang terbaik untuknya. Saya hanya mampu berdoa supaya segala urusan dipermudahkan.
Malam itu, saya tidak dapat tidur lena. Fikiran saya merewang jauh, mengenangkan tentang Rahayu.
Sebelum ini memang saya pernah dengar cakap-cakap buruk mengenai Rahayu, tapi saya susah hendak percaya. Lagipun saya tidak kenal rapat dengan Rahayu, jadi tak perlulah saya nak menyibuk dengan urusannya.
Namun, selepas melihat sendiri keadaan jenazah Rahayu, hati saya mula terdetik sesuatu. Mungkin betul cerita orang kampung yang mengatakan Rahayu menuntut ilmu songsang dan memakai susuk untuk menundukkan suami. Rahayu pasang susuk di dada dan kemaluan! Dia tidak mahu suaminya makan luar. Bila memikirkan perkara itu, sekali lagi saya beristighfar.
Suaminya, Samad selama ini dikatakan jadi bodoh dan dungu. Dengar saja suara Rahayu, Samad jadi takut. Apa yang Rahayu arahkan, suaminya ikut tanpa membantah. Kalau Rahayu minta belikan apa-apa barang, suaminya akan beli. Samad dah jadi macam lembu dicucuk hidung. Rahayu boleh heret ke sana ke mari.
Ah, cukuplah! Saya tidak mahu lagi memikirkannya. Jika Rahayu bersalah sekalipun, itu adalah urusannya dengan Tuhan. Cukuplah ia menjadi pedoman untuk saya sendiri. Sebagai seorang Islam dan jiran sekampung, saya hanya mampu berdoa semoga Allah ampunkan dosa-dosa Rahayu yang telah lalu.
Cuma satu pesan saya untuk para isteri, kalau hendak menuntut ilmu, biarlah boleh membawa ke jalan yang benar. Kalau hendak mendapat kasih sayang pula, biarlah ikhlas. Ikut cara yang betul. Ia lebih nikmat dan kebahagiaan akan menjadi lebih berkekalan.
Kisah ini berlaku di salah sebuah daerah di Pantai Timur Semenanjung. Diceritakan semula oleh bekas wartawan Mohd. Hafiz Mohamed Sakmi kepada penulis. – Mingguan Malaysia










