KUALA LUMPUR: Tindakan 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan bersumpah menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 adalah naratif yang dianggap sesuai sejurus berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu) yang turut menandatangani SD tersebut menegaskan, mereka bukan membelakangkan atau mengkhianati parti ketika itu.
“Khianat kepada parti ialah kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi PRU15. Itu khianat kepada parti.
“Ketika kita menghadapi PRU15, kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan BN. Saya bertanding atas BN. Apabila parti buat keputusan, kita akur,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam..
Selain beliau, turut menandatangani SD itu ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri M. Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) dan Datuk Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).
Lima lagi wakil rakyat ialah Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (Tampin) dan Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah).
Menerusi sepucuk dokumen yang diterima Utusan Malaysia, satu surat rasmi PN telah dikemukakan kepada Istana Negara yang dilampirkan bersama 115 SD bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai cukup sokongan sebagai Perdana Menteri.
Dokumen itu menunjukkan SD ditandatangani semua ahli Parlimen BN yang terlibat pada 20 November 2022 iaitu sehari PRU15 yang menyaksikan keputusan Parlimen tergantung iaitu tiada parti meraih majoriti mudah membentuk kerajaan.
Pada PRU15, BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen iaitu 26 UMNO, dua MCA, satu MIC dan satu Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 ahli Parlimen termasuk daripada UMNO yang menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup kelmarin.
Bagaimanapun mereka telah diminta untuk membatalkan SD ditandatangani untuk menyokong Muhyiddin dan semuanya akur dengan arahan itu kerana parti tidak membuat sebarang keputusan untuk menyokong sama ada PN atau Pakatan Harapan.
Ahmad Zahid juga memaafkan semua wakil rakyat yang dianggap belot itu dan mahu mereka kembali ke pangkuan parti. – UTUSAN










