MUKADIMAH
DUNIA ‘bergegar’ seketika sebaik China mengumumkan pembukaan pintu sempadan dan membenarkan rakyatnya keluar negara.
Pelbagai negara mula melaksanakan pelbagai syarat ketat kepada pelancong dari negara tersebut selepas bimbang dengan peningkatan semula kes Covid-19.
Malaysia tidak terkecuali. Biarpun tidak menghalang kemasukan pelancong China, banyak pihak masih gusar dan memohon kerajaan mengenakan syarat ketat khusus untuk mereka.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. LEE BOON CHYE bagi mendapatkan perspektif beliau.
GELOMBANG BAHARU?
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah kemungkinan berlaku gelombang baharu penularan wabak Covid-19 terutama selepas varian XBB 1.5 dikesan di 25 negara berdasarkan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)?
BOON CHYE: Kalau kita lihat, varian Omicron telah tular di Malaysia sejak beberapa bulan lamanya. Bukannya baharu. Cuma tiada varian paling baharu dari China setakat ini. Varian XBB sekarang sudah ada di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain.
Bagaimanapun, kita tidak perlu bimbang dengan varian XBB 1.5. Walaupun nampak kadar jangkitan lebih tinggi berbanding Omicron atau varian lain, daripada segi kadar kematian dan penyakit serius ia tidak meningkat dan lebih kepada patogen yang tidak begitu serius.
Malah walaupun senang berjangkit dan boleh dikatakan tahan daripada vaksinasi, ia tidak menyebabkan kadar kematian tinggi. Cuma perlu diingat kita tetap perlukan tiga dos vaksin untuk tidak memudaratkan.
Adakah perlu diwajibkan semula pemakaian pelitup muka sebagai persediaan dengan kemungkinan kemunculan varian baharu lebih-lebih lagi apabila kemasukan pelancong China dibenarkan?
Saya rasa perkara ini harus diberi tanggungjawab dan ia merupakan satu keputusan yang bergantung kepada individu. Kalau individu itu sihat, orang muda, risiko penyakit atau jangkitan menjadi serius sangat rendah seperti selesema biasa sahaja.
Tapi kalau seseorang itu berusia dan juga ada penyakit lain seperti diabetes, obesiti, buah pinggang atau darah tinggi, mereka ada risiko tinggi dan perlu lindungi diri sendiri barulah diwajibkan pakai pelitup muka.
Kita sebenarnya perlu jadi realistik. Tiada seorang pun boleh elak daripada terdedah kepada jangkitan Omicron.
Saya boleh bagi satu contoh. Sejak April tahun lepas apabila pergi kenduri adakah kita pakai pelitup muka? Kita bersenam pun tak pakai (pelitup muka) dan hidup selama sembilan bulan bersama wabak dan tidak menunjukkan kadar kematian ketara.
Sampai satu tahap kita sendiri tidak tahu adakah kita dijangkiti atau sebaliknya. Kebanyakan kes pun tiada simptom. Yang sakit serius jarang kecuali berisiko tinggi.
MYSEJAHTERA DI TEMPAT AWAM
Adakah wajar diaktifkan semula sistem mySejahtera di tempat awam sebagai persediaan jika berlaku gelombang jangkitan Covid-19 sekali lagi?
Saya rasa tidak perlu. Sebab yang pertama adakah kita berupaya menghalang jangkitan Omicron itu sendiri? Pada saya kita sudah tidak mampu nak halang. Sebab ia (kadar jangkitan) begitu tinggi. Kemungkinan besar tahun lepas selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun wabak sudah menular dalam masyarakat.
Jadi kemungkinan kita semua memang terdedah kepada Omicron dan kita perlu syukur kerana kadar kematian tidak meningkat selepas vaksin berjaya menunjukkan keberkesanan. Rakyat sudah ada imuniti.
Lagipun, kalau mahu halang jangkitan memang susah kerana di China mereka gunakan polisi tiada Covid-19. Buat ujian swab besar-besaran dan PKP, namun gagal.
Jadi jelas jika mahu gunakan kaeadah lain kawal Omicron, ia tidak akan berjaya. Kesan kepada rakyat daripada segi ekonomi dan sosial pula yang akan bertambah.
Lebih baik lindungi rakyat melalui vaksinasi. Ini langkah terbaik. Apa yang jadi masalah sekarang ada dalam kalangan rakyat yang belum menerima suntikan dos penggalak.
WAJIBKAN DOS PENGGALAK
Jadi adakah kerajaan perlu wajibkan sahaja dos penggalak?
Sepatutnya dos penggalak pertama (dos ketiga) perlu wajib. Dua dos tidak cukup untuk melindungi daripada kematian dan sakit serius.Tiga dos paling minimum.
Dos keempat lebih kepada untuk menangani masalah sistem imun lebih-lebih lagi kepada mereka yang ada penyakit serius seperti kanser. Jadi saya tidak hairan kalau satu atau dua peratus yang ambil dos keempat. Tapi saya hairan kenapa hanya 50 peratus sahaja yang mengambil dos ketiga. Sepatutnya, perlu mencecah sehingga 80 peratus atau 100 peratus.
Kalau saya menteri saya mahu dos ketiga paling minimum untuk rakyat. Bagaimanapun, ia perlu ada data dan berhati-hati sebab kita dalam keadaan untuk mengimbangi hak individu serta juga kuasa kerajaan.
Ada individu merasakan itu hak mereka untuk menerima dos ketiga atau tidak. Cadangan saya adalah lebih baik kita wujudkan insentif sebagai galakkan untuk orang ramai mengambil dos ketiga.
Dan mungkin dos ketiga sepatutnya diberi pilihan. Contohnya, orang yang terima dua dos Sinovac untuk dos ketiga biasanya dicadangkan Pfizer. Tetapi kalau dia mahu Sinovac, patut diberikan.
PELANCONG CHINA
Kemasukan pelancong China mencetuskan kegusaran banyak pihak. Adakah Dr. juga berpandangan sama?
Daripada segi prinsip saya rasa kita tidak boleh hendak halang mereka masuk. Kalau kita halang hanya sebab takutkan penularan Covid-19 ia tak masuk akal. Wabak Covid-19 ini boleh masuk dari Eropah, UK, AS atau dari mana-mana tempat sekalipun.
Kalau hendak elakkan import wabak ini kita harus tutup sempadan. Perlu diingat kalau tutup sempadan sekalipun, di negara kita tetap ada Covid-19.
Seandainya mahu kawal dalam negara kita sendiri, kita perlu ada PKP sekali lagi. Itupun kita sebenarnya tidak boleh juga hendak kawal. Jadi untuk apa? Tidak masuk akal.
Pada pandangan saya wajarlah pelaksanaan kerajaan untuk buka sempadan untuk semua. Tidak perlu pilih dari negara mana-mana dan buka saja (sempadan) untuk semua.
Paling penting kita perlu pastikan penduduk kita ada vaksin dan ada rawatan kepada mereka yang dijangkiti serta kepada mereka yang berisiko tinggi.
Dalam hal ini Kementerian Kesihatan sudah ada ubat dan beri rawatan terbaik. Cuma dos penggalak perlu ada sesuatu yang mendorong orang ramai. Dorongan itu ada dua cara. Umpama lobak merah dan penyepit. Kalau hendak makan perlu ada penyepit. Lobak merah pula dorongannya. Pada saya, orang yang tidak mengambil dos ketiga ini mereka yang duduk di kawasan desa atau mereka yang berpendapatan rendah
Jadi perlu ada inisiatiflah seperti pendaftaran automatik Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PEKA B40) atau program saringan kesihatan.
Ini daripada segi lobak. Untuk penyepit pula, kalau tidak terima dos ketiga, mungkin tidak dibenarkan ke luar negara atau ke tempat-tempat berisiko tinggi.
Atau mungkin juga ada satu larangan bagi mereka yang tidak terima dos ketiga. Namun perlu ada satu jawatankuasa untuk membincangkan perkara ini.
MESIN PENGIMBAS SUHU
Adakah menjadi keperluan meletakkan mesin pengimbas suhu di semua pintu masuk ke negara ini terutama di lapangan terbang di seluruh negara?
Saya rasa ini satu langkah baik. Sebab pertama, kita perlu pemantauan baharu. Jadi kalau kita mahu meneliti sama ada terdapat varian baharu, kita perlu buat sampel dari luar negara.
Kalau mahu buat sampel takkan nak ambil daripada semua (pelancong)? Patut kita ambil sampel yang demam dan kebarangkalian untuk dapat (sampel) daripada mereka yang positif tinggi. Selepas itu barulah buat penjujukan genom.
Maka saya rasa mesin pengimbas suhu ini sangat penting sebagai usaha bagi mengelakkan daripada jangkitan. Lagipun sekarang kos mesin pengimbas tidak mahal dan boleh sahaja imbas 200 sehingga 300 orang dalam satu-satu masa.
Kalau ada yang suhu badan bacaannya tinggi barulah diasingkan. Ini kaedah untuk mengelakkan Omicron masuk ke negara kita kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti Omicron tidak ada simptom.
Jadi, bila gunakan mesin pengimbas suhu kita boleh periksa. Paling penting jangan terlalu khuatir sebab saya rasa Malaysia sudah terdedah kepada Omicron sejak sembilan bulan lalu.
BANGUNKAN VAKSIN SENDIRI
Sebelum ini, Malaysia dikatakan sedang membangunkan vaksin sendiri bagi melawan pandemik Covid-19, melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM). Adakah wajar kerajaan sekarang meneliti semula program berkenaan?
Kalau ada sesiapa yang mahu bangunkan vaksin Covid-19 ini sepatutnya tidak melibatkan dana kerajaan.
Biar pihak swasta sahaja terlibat dan mereka akan ambil risiko sendiri berdasarkan pertimbangan mereka terutama dalam aspek pelaburan. Kerana apa? Sebab saya lihat untuk buat vaksin bukan sesuatu perkara mudah. Sebab vaksin diberikan untuk mereka yang sihat. Kecuali kita boleh buktikan vaksin bukan setakat selamat tapi dapat melindungi daripada jangkitan.
Dan tahap ini agak susah dan melibatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang besar serta mengambil masa panjang.
Vaksin Covid-19 yang ada sekarang ini adalah perkara yang tidak dijangka di mana vaksin boleh dibangunkan dalam masa setahun dan ia sesuatu yang luar biasa dengan melibatkan pelbagai agensi seluruh dunia.
Sebab itu, sepatutnya biar pihak swasta yang buat. Lebih-lebih lagi ia melibatkan pelaburan tinggi. Hasilnya pun belum ada kepastian lagi terutama dalam aspek pulangan return investment (pulangan pelaburan).
Lebih baik duit disalurkan untuk kajian penyakit lain seperti malaria atau denggi. Kajian penyakit tempatan ini lebih baik kerana tidak perlu bersaing dengan negara luar.
Tambahan pula, kita ada kelebihan sebab ia memang sudah ada di negara kita. Sepatutnya tumpu kepada keupayaan kita. Ini tidak. Kita masuk dalam arena yang pemain-pemain industri sudah pergi lebih jauh dalam bidang ini. Jadi, kerajaan perlu lihat balik perkara ini dan kita tidak sepatutnya melabur dalam pembuatan vaksin Covid-19.
Seandainya berlaku kemasukan pelancong China besar-besaran dan berlaku peningkatan kes, adakah perlu Kementerian Kesihatan mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF) dalam usaha memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi sebagai menghadapi kemungkinan?
Tidak semestinya. Kementerian Kesihatan sudah ada kemampuan untuk mengurus masalah ini. Saya juga pasti kita juga ada jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19.
Apabila kita katakan Covid-19 task force , ia melibatkan pelbagai kementerian lain. Sebab itulah saya rasa tidak perlu. Di peringkat dalam Kementerian Kesihatan pun memang sudah ada satu jawatankuasa khas uruskan Covid-19. Lagipun ia pada masa pandemik sahaja.
KENAIKAN CAJ
Sekiranya ada kenaikan caj di hospital kerajaan bagi tujuan pembangunan kesihatan, adakah Dr. bersetuju?
Apa yang boleh saya katakan, cara kita kendalikan kewangan pengurusan untuk Kementerian Kesihatan sudah tidak lestari sejak dulu lagi.
Kita sepatutnya perlu fikirkan cara lain sama ada dengan insurans perubatan atau sebagainya bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat termasuk di kemudahan kesihatan milik kerajaan.
Akan tetapi saya juga tahu dalam keadaan ekonomi yang tidak baik keputusan menaikkan kadar caj perkhidmatan bukan sesuatu yang mudah. Kerajaan perlu cari alternatif bagaimana mahu galakkan rakyat membeli insurans.
HOSPITAL DAIF
Difahamkan terdapat lebih 46 hospital daif berusia lebih 50 tahun di seluruh negara. Adakah perlu penambahan peruntukan kewangan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti?
Saya rasa daripada peruntukan kewangan kerajaan sekarang pun bersetuju untuk meningkatkan belanjawan kesihatan untuk 2023 ini.
Cuma tidak pasti sama ada pelaksanaan akan bermula di peringkat mana atau adakah ia akan dimulakan dalam bajet yang akan datang ini. Apa yang saya harapkan ada penambahan dan tiap-tiap tahun pun seperti kita tahu ada penyelenggaraan sama ada untuk hospital lama yang perlu dinaik taraf atau pembangunan berterusan.
Jika ia perlu dipercepatkan lagi baik. Sebagai contoh, Hospital Kampar yang terletak di kawasan berbukit dan tidak sesuai serta perlukan tempat baharu. – MINGGUAN MALAYSIA










