MALAYSIA adalah negara persekutuan dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah ketua negaranya. Walak dan ketaatan rakyat ialah kepada Seri Paduka yang dilantik dalam kalangan sultan dan raja Melayu. Agama rasmi bagi negara pula ialah Islam malah YDPA bersumpah memeliharanya.
Dengan kata lain, YDPA adalah khalifah bagi negara ini. Dalam konteks sistem pemerintahan Islam, Seri Paduka yang mesti diberikan baiah ketaatan dan walak. Menentang Seri Paduka secara bersenjata adalah salah satu kesalahan jenayah hudud dalam Islam, iaitu pemberontakan dan dikenakan hukuman keras menurut undang-undang negara.
Seri Paduka merupakan simbol keutuhan perpaduan rakyat berbilang kaum. Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu wawancara menegaskan enggan menjadi simbol semata-mata, sebaliknya mahu menjadikannya realiti dan misi menyatukan rakyat dalam erti kata sebenar sejajar dengan peranannya menurut Perlembagaan Persekutuan.
Dalam soal Islam, Seri Paduka menegaskan, memartabatkan Islam adalah keutamaannya sebagai Raja Melayu. Seri Paduka menitahkan supaya agama tidak diperalatkan untuk membeza-bezakan rakyat. Seri Paduka amat memandang serius golongan yang gemar mempolitikkan agama kerana akan mencetuskan kemarahan kaum berbeza agama.
Oleh kerana itu, YDPA menitahkan diwujudkan kerajaan perpaduan untuk memerintah negara. Jabatan Penerangan melalui sebaran Soalan Lazim (FAQ) menyatakan bahawa kerajaan perpaduan dibentuk atas titah nasihat Seri Paduka selepas negara berhadapan keadaan Parlimen tergantung. Kerajaan perpaduan adalah kerajaan menggabungkan parti-parti yang menuntut semua pemimpin mengetepikan kepentingan politik dan ideologi masing-masing demi rakyat dan negara.
KEWAJIPAN PERPADUAN
Perpaduan adalah wajib sekalipun tidak dijenamakan dengan Islam. Perpaduan antara manusia dalam sebuah negara meskipun berbeza agama dan bangsa adalah satu perkara yang mesti dilakukan oleh pemerintah apatah lagi dalam Islam. Malah ia tidak perlu dijenamakan sebagai ‘perpaduan Islam’ kerana perpaduan itu sendiri adalah perintah Islam.
Oleh itu, Islam mengarahkan setiap umatnya memberi ketaatan dan walak kepada pemerintah semasa yang telah diabsahkan kewujudannya. Tiada pilihan lain, semua ini dilakukan semata-mata untuk menjaga perpaduan rakyat.
Kewujudan dua pemerintah atau dua khalifah dalam sebuah negara bakal memporak-perandakan dan memecah-belakan masyarakat Islam di samping meletakkan negara dalam bahaya. Oleh itu, datang perintah yang keras daripada Nabi Muhammad SAW, iaitu mesti dibunuh khalifah kedua. Bukan itu sahaja, hatta sekiranya pemerintah Islam itu fasik sekalipun, masih perlu diberikan ketaatan dan walak pada perkara makruf serta dicegah kemungkarannya dengan lidah, bukan dengan senjata kerana matlamatnya tidak lain tidak bukan hanyalah perpaduan rakyat.
Sebenarnya tanpa disedari, perpecahan dalam masyarakat berlaku kerana memberi makna yang salah terhadap konsep amar makruf nahi mungkar. Atas konsep ini, kerajaan dan pemerintah semasa diserang bertubi-tubi hingga membangkitkan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat. Lalu mereka berpecah atas nama penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang. Sedangkan sepatutnya amar makruf nahi mungkar itu hanya melibatkan isu-isu tertentu yang jelas bercanggah dengan Islam.
Perpecahan dalam kalangan rakyat juga berlaku apabila baiah atau aku janji ketaatan setiap rakyat yang sepatutnya diberikan kepada pemerintah semasa dipindahkan kepada pemimpin parti, lalu membawa kepada ketaasuban terhadap semua arahan kepimpinan parti atas nama perintah agama, kononnya untuk taat kepada jemaah.
JEMAAH ISLAM SEBENAR
Sedangkan makna sebenar jemaah Islam ialah masyarakat besar umat Islam yang dipimpin oleh pemerintah semasa dalam sesebuah negara. Jemaah inilah yang dimestikan setiap Muslim bersama dengannya dan tidak berpisah daripadanya dengan maksud tidak memeranginya. Nabi Muhammad SAW dalam hadis bermaksud: “Sesiapa yang berpisah dengan jemaah kadar sejengkal maka dia telah menanggalkan ikatan Islam di tengkuknya.”
Hadis ini merujuk kepada jemaah atau masyarakat Islam dalam sebuah negara dipimpin oleh seorang pemerintah. Inilah jemaah Muslimin yang dimaksudkan oleh puluhan hadis tentang makna jemaah. Setiap rakyat perlu bersama dengan jemaah Muslimin ini demi menjaga perpaduan rakyat. Tugasan amar makruf nahi mungkar dilaksanakan dalam konteks berjemaah dalam jemaah besar umat Islam ini.
Namun, apabila perkataan jemaah dalam hadis berkenaan ditafsirkan dengan salah dan mengelirukan dengan merujuk kepada jemaah dan kelompok parti tertentu sahaja, maka di sinilah punca kepada perpecahan. Walak kepada jemaah umat Islam dipindahkan kepada jemaah kecil sedangkan mereka hanya satu jemaah atau kumpulan atau kelompok daripada umat Islam di negara ini.
Begitu besar sekali erti perpaduan dalam jemaah umat Islam dan masyarakat yang perlu dipelihara sehingga Rasulullah SAW mengaitkannya dengan ‘terlerai’ ikatan Islam jika umat berpecah-belah. Ia tidak merujuk kepada jemaah-jemaah kecil yang dibentuk untuk kerja-kerja kebajikan, dakwah dan amar makruf nahi mungkar. Itu hanya satu kelompok daripada jemaah Muslimin besar yang dipimpin oleh seorang pemerintah Islam dalam sebuah negara.
Sekiranya pembentukan jemaah kecil ini menjadi sebab perpecahan umat Islam, maka penubuhannya perlu dinilai semula dan dibetulkan hala tuju agar kembali kepada matlamat asal, iaitu menyatukan umat serta melaksanakan kerja dakwah.
Justeru, marilah kita bersatu dalam jemaah besar umat Islam dipimpin oleh seorang pemimpin yang dilantik secara sah oleh rakyat. Itulah sebenar-benarnya jemaah Muslimin. Setiap Muslim berhak membentuk kelompok-kelompok kecil umat untuk bekerjasama bagi mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran. Namun, jangan sampai memecahkan jemaah Muslimin yang dipimpin oleh pemerintah yang sah kerana ia bakal merosakkan asas bernegara. Laksanakan tugasan namun jangan sampai umat berpecah.-UTUSAN
DATUK Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ialah bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus.











