Mampukah dasar peduli rakyat sekat gelombang hijau?

Mampukah dasar peduli rakyat sekat gelombang hijau?

KELANTAN, Terengganu dan Kedah yang diperintah oleh Pas masih dikategorikan sebagai negeri termiskin di Semenanjung. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANTAN, Terengganu dan Kedah diperintah oleh Pas. Antara tiga negeri ini, Kelantan diperintah oleh Pas sejak 1990, iaitu lebih tiga dekad. Namun, masih dikategorikan sebagai negeri termiskin di Semenanjung. Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diketuai oleh Pakatan Harapan (PH).

Enam negeri ini masih belum mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) atas alasan banjir dan dijangka mengadakannya selewat-selewat Julai 2023.
Melaka dan Johor telah mengadakan PRN15 lebih awal, masing-masing pada November 2021 dan Mac 2022 dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar. Ini mendorong PRU15 disegerakan dan diadakan pada November lalu dalam musim tengkujuh dan banjir.

Sebagaimana bentuk kerajaan Pusat, Perak dan Pahang yang mengadakan PRN15 serentak dengan Parlimen kini diperintah oleh kerajaan perpaduan BN-PH dengan Menteri Besar (MB) dari BN. Perlis pula yang selama ini diperintah BN, kini dikuasai Perikatan Nasional (PN) berikutan kejutan gelombang hijau. MB Perlis adalah dari Pas.

Sistem federalisme di Malaysia telah mewujudkan kebolehlaksanaan PRU yang berbeza masa di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat (Parlimen). Ia boleh dibuat serentak dengan Parlimen atau selepasnya. Namun, antara Mei 2018 sehingga November 2022, negara mempunyai tiga PM.

Bagi menamatkan perangkap politiking yang sia-sia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PM10) telah mengusul undi percaya pada dirinya sendiri di Dewan Rakyat untuk keabsahan autoritinya. Dengan keabsahan dipersetujui di Dewan Rakyat, beliau boleh melaksanakan dasar pemulihan ekonomi dengan segera dan efektif bagi menangani isu ekonomi berbangkit supaya tidak menjadi lebih kronik dan berlarutan. Pada masa sama, pembangkang sepatutnya berperanan periksa dan imbang yang efektif, bukan lagi dengan pandangan retorik dan hujah tanpa fakta.

Kerajaan Pusat pada pentadbiran lampau mengamalkan federalisme bersifat mendiskriminasi ke atas negeri-negeri pembangkang. Apabila Pas berjaya menguasai Terengganu daripada BN pada PRU10 (1999), royalti petroleum diubah ke status wang ihsan. Perubahan dasar ini memberi implikasi kewangan kepada negeri-negeri diperintah Pas untuk membiayai projek pembangunannya.

Buat masa ini, respons dan kepedulian kerajaan ke atas rakyat adalah cepat dengan pentadbiran Anwar menghulur bantuan kewangan kepada mangsa bencana alam seawal mungkin, juga Bantuan Tunai Rakyat serta Bantuan Awal Persekolahan diawalkan pemberiannya.

HUTANG

Selain itu, langkah berjimat cermat sumber kewangan negara yang terhad juga dijadikan agenda pembangunan terpenting. Negara kini menanggung hutang RM1 trillion dan dijangkakan ekonomi negara meleset pada tahun depan. Langkah berjimat cermat diteladani Anwar pada hari pertama menjadi PM dan nilai ini digarap di peringkat kementerian yang majlis berbelanja besar dan tidak menyasarkan golongan berpendapatan rendah diberhentikan.

Saiz Kabinet dikecilkan, gaji menteri dikurangkan. Cukai taksiran perumahan di Putrajaya dikurangkan, begitu juga amalan projek runding terus dan terpilih dihentikan untuk mengelak ketirisan sumber kewangan negara. Dasar lantikan politik ke agensi berkaitan kerajaan (GLC) diperiksa semula. Semua penjimataan kewangan kerajaan perlu disalur semula untuk kebajikan rakyat.

Adakah dasar kepedulian rakyat dan berjimat cermat sumber kewangan negara boleh menyekat kejutan gelombang hijau di negeri-negeri yang belum mengadakan PRN15?

Mengikut laporan Rancangan Malaysia Ke-12, pada 2019, kadar kemiskinan mutlak dalam kalangan kluster empat negeri Pas menunjukkan Kelantan mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di Semenanjung (12.4%). Ini bererti setiap 100 orang di Kelantan, hampir 13 adalah miskin. Ini diikuti Kedah (8.8%), Terengganu keempat tertinggi (6.1%) walaupun mempunyai sumber petroleum. Perlis yang kesembilan tertinggi (3.9%). Kadar kemiskinan Perlis yang rendah berpunca daripada saiz penduduknya yang kecil.

Walaupun banyak faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi, profil kemiskinan menunjukkan isi rumah yang lebih miskin di negeri dominan Melayu-Islam berkecenderungan untuk mengundi parti pembangkang berbanding dengan isi rumah kurang miskin (yang komposisi Melayu dan bukan Melayu adalah berimbang) akan bias menyokong parti pemerintah.

Kesan lelehan dasar negara berkebajikan ini yang dinikmati oleh golongan sasaran akan meningkatkan pendapatan dan keterjaminan kebajikan mereka sebagai justifikasi untuk menilai dengan lebih adil ke atas kerajaan pimpinaan PH-BN diketuai Anwar. Beliau kini cuba mentransformasikan ekonomi ke arah negara berkebajikan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan menerapkan nilai-nilai Islam. Nilai-nilai Islam adalah juga murni kepada bukan Islam.

Oleh itu, keutamaan rakyat dan pembangunan negeri dijadikan prioriti walaupun wujud perbezaan pendekatan dalam dasar dan strategi pembangunan antara kerajaan Pusat dan negeri. Ini bererti permuafakatan antara dua peringkat kerajaan itu adalah kritikal bagi membentuk strategi pembangunan terbaik yang menghasilkan situasi menang-menang untuk semua pemegang taruh dalam pembangunan negara dan negeri. – UTUSAN

PROFESOR Madya Abdul Rahim Anuar ialah Felow Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand & Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×