SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang dijadualkan hari ini bakal menjadi sejarah kerana ia yang pertama diadakan setelah kerajaan perpaduan dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
Kedudukan kerusi DUN antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Pahang baru-baru ini seri selepas keputusan pusingan kedua Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DUN Tioman yang berpihak kepada BN.
Bagaimanapun, jumlah 17 kerusi DUN yang sama antara mereka memberi kelebihan kepada BN yang mempunyai kad penentu kerana masih menerajui kerajaan negeri bersama PH. Pada pusingan pertama PRU15, BN memperoleh 16 daripada 41 kerusi DUN, manakala PH lapan kerusi dan PN (17).
Sidang DUN Pahang kali ini juga begitu dinanti-nantikan khususnya untuk mengetahui siapa akan dipilih bagi mengisi lima slot Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan. Pada 20 November 2020, Persidangan DUN Pahang Ke-14 meluluskan Usul Pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi melantik ADUN secara lantikan.
Kerajaan negeri mencadangkan pindaan itu bertujuan mewujudkan ADUN dilantik tanpa melalui proses pilihan raya bagi menduduki dan menyertai DUN. Bilangan dicadangkan lima orang menjadikan keseluruhan ADUN tidak lebih 47 orang termasuk 42 wakil rakyat sedia ada menerusi proses PRU15 lalu.
Pelantikan ADUN tanpa pilihan raya bukan perkara baharu di negara ini kerana Sabah dan Terengganu sudah pun melaksanakannya. Bagaimanapun, pelantikan itu tentunya mempunyai had-had tertentu termasuk tidak boleh dilantik sebagai Menteri Besar.
Seperti dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ADUN dilantik terbabit akan dibuat dalam kalangan mereka yang berkaliber dan berkemahiran tertentu. Lantikan itu, kata Wan Rosdy, bagi membolehkan ADUN dilantik tersebut berganding bahu bersama wakil rakyat sedia ada untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat.
Cuma persoalannya, adakah sidang DUN pertama kerajaan BN-PH di Pahang akan terus melakukan lima lantikan ADUN dilantik tersebut? Jika ia menjadi antara agenda sidang DUN pertama itu, ramai mengharapkan supaya bakal ADUN dilantik berkenaan kelak biarlah mereka yang benar-benar layak bagi mengisi jawatan wakil rakyat tersebut.
Diharapkan, jawatan ADUN lantikan itu tidak dibuat secara semberono sebaliknya pilihlah individu yang boleh dan ikhlas bekerja demi rakyat.
NISBAH
Pertambahan wakil rakyat dilantik diharap mengurangkan kadar nisbah seorang ADUN dengan jumlah penduduk kerana Pahang merupakan sebuah negeri yang besar. Ia juga diharap saling melengkapi dan bukan pertindihan kepada perkhidmatan ADUN sedia ada.
Rakyat Pahang kini menantikan siapa individu yang bakal dilantik sebagai ADUN lantikan itu demi kestabilan dan kemakmuran negeri itu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Undang-Undang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, peruntukan yang perlu dilihat ialah di bawah Perkara 71 dan dibaca Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Beliau berkata, bahagian kedua Jadual Kelapan ada menyebut tentang boleh ada ADUN yang dilantik.
“Peruntukan Jadual Kelapan diwajibkan wujud dalam setiap perlembagaan negeri. Seksyen empat Jadual Kelapan juga menyebutkan DUN hendaklah terdiri daripada apa-apa bilangan ahli dipilih,” katanya.
Beliau menjelaskan, hakikatnya, tidak disebut DUN tidak boleh ada ahli dewan yang dilantik.
“Jadi kalau di Sabah dan Terengganu, boleh ada ADUN dilantik dan tidak dipersoalkan oleh Persekutuan. Isu ADUN lantikan sebenarnya tidak timbul kerana ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, jika diambil kira di Dewan Negara yang mana ia merupakan platform ahlinya dilantik mengikut kelompok golongan tertentu seperti seniman, Orang Asli dan golongan profesional.
“Jadi kita mengambil kira bahawa ADUN lantikan di Pahang akan ambil kira keperluan untuk dilantik wakil kaum termasuk Orang Asli, profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil belia untuk menjadi pelengkap dalam sistem demokrasi DUN Pahang.
“ADUN lantikan ini, keperluannya untuk mewakili kelompok atau kluster golongan tertentu sepertimana dinyatakan tersebut,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pahang.










