PETALING JAYA: Mahu bunuh diri adalah antara tindakan yang mahu diambil oleh individu yang sudah tidak tertanggung dengan tekanan kenaikan kos sara hidup dan berdepan masalah kewangan kritikal termasuk menanggung hutang.
Perkara itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif dengan memberitahu antara dua hingga lima kes seumpama itu diterima oleh pihaknya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 60 aduan diterima setiap daripada mereka yang mengadu untuk mendapatkan bantuan ekoran masalah kewangan yang dihadapi.
TEKANAN
Katanya, rakyat negara ini masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan ia bertambah teruk berikutan kenaikan kos yang dihadapi mereka termasuk tekanan pihak bank yang menuntut penyelesaian hutang.
“Terlalu ramai yang terkesan sejak dua tahun lalu. Orang lain tidak nampak dan tidak tahu tetapi kami hari-hari menerima panggilan di mana ramai yang cakap ‘macam ini susah, saya bunuh diri lagi bagus’,’’ katanya.
Rosland menceritakan, dalam satu kes yang diterimanya, ada satu keluarga tertekan disebabkan hidup susah dan ibunya memberitahu kami bahawa dia terfikir untuk membunuh diri dan keluarga melalui makanan disediakan.
“Wanita berkenaan tertekan kerana rumahnya bakal dilelong, selain dia menjaga bapanya serta suaminya yang mempunyai penyakit dan tidak boleh bekerja di samping terdapat dua anak yang perlu disara.
“Dia nak buat masakan sedap dan hendak bunuh diri. Kejadian ini berlaku namun kami berjaya selesaikan masalahnya dan rumah beliau tidak dilelong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rosland berkata, setiap kali kakitangannya menerima aduan berkaitan hasrat membunuh diri, mereka akan menenangkan individu berkenaan dan menasihati pengadu bahawa ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada mereka.
HALANG
“Alhamdulillah hasrat yang diluahkan pemanggil berjaya dihalang oleh kami melalui khidmat nasihat yang diberi serta membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kenaikan kos sara hidup dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun hadapan yang dijangka meningkat bakal menambahkan tekanan kepada rakyat, Rosland berkata, ia sudah semestinya.
Jelas beliau, kerajaan perlu mengambil langkah segera meringankan beban rakyat di samping memastikan keadaan terkawal.
Menurut beliau, kenaikan harga barang yang berlaku tahun ini juga masih tidak menunjukkan penurunan dan sudah pasti ia membebankan rakyat terutamanya mereka yang kurang berkemampuan. – UTUSAN










