KJ nilai tambah kepada Sungai Buloh – Ramanan

KJ nilai tambah kepada Sungai Buloh – Ramanan

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan Khairy Jamaluddin dalam UM­NO Bahagian Sungai Buloh menjadi petanda baik buat rak­yat setempat dan bukan ancaman kepada penyandang kerusi Parlimen kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan berkata, beliau tidak menganggap penyertaan Timbalan Ketua Bahagian Rembau itu sebagai cabaran kepadanya kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah berakhir dan kini adalah masa untuk bekerja.

Menurutnya, beliau me­nyambut baik kedatangan bekas Men­teri Kesihatan ke kawasan Parlimen Sungai Buloh dan ti­dak sabar untuk berganding bahu memberi khidmat kepada masyarakat di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang kita adalah Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) jadi saya tidak anggap dia (Khairy Jamaluddin) sebagai pesaing atau cabaran.

“Sebaliknya, saya gembira dengan kedatangan Khairy kera­na berharap dia dapat memberi manfaat lebih banyak kepada penduduk-penduduk di sini. Saya sentiasa mengalu-alukan sesiapa pun termasuk orang-orang Perikatan Nasional (PN).

“PRU15 sudah habis, jadi kita kena berbaik kerana ini adalah Kerajaan Perpaduan, bersama-sama bekerja untuk kebaikan rakyat bukannya diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin mengumumkan beliau kini sudah menjadi ahli UMNO Bahagian Sungai Buloh dengan matlamat ingin menjadikan kawasan Parlimen tersebut sebagai kubu kuat BN.

Khairy sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai ahli Parlimen Rembau mengejutkan pengundi apabila bertanding di Su­ngai Buloh untuk PRU15 sedangkan kawasan tersebut adalah kubu kuat PKR sejak 2008.

Walaupun tewas, Khairy berjaya mengurangkan majoriti PH kepada 2,693 undi sahaja.

Dalam perkembangan lain, Ramanan memaklumkan bahawa pasukannya sedang giat menunaikan manifesto kepada rakyat Sungai Buloh.

“Jentera saya memang sedang giat menjalankan tugas. Seperti aplikasi yang saya maklumkan dalam manifesto tempoh hari juga sudah hampir siap untuk digunakan.

“Kemungkinan dalam minggu pertama Januari, kita akan lancarkan aplikasi yang membolehkan rakyat membuat aduan dan lihat apa sedang berlaku, status mahupun tindakan diambil oleh kami di dalam aplikasi tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×