KUANTAN: Hampir 500 kontraktor kelas F terpaksa ‘merebut’ 10 kerja undi ditawarkan dan mencuba nasib setiap kali pendaftaran dibuka ekoran kekurangan kerja-kerja undian untuk projek di bawah RM200,000.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kontraktor kelas F, Nur Shuhada Afifah Sahari berkata, selain kekurangan projek, ia juga disebabkan lambakan kontraktor kumpulan itu iaitu kira-kira 40,000 seluruh negara dan hampir 7,000 di negeri ini.
“Jika ini berterusan, memang kami kontraktor kelas F susah cari makan dan tidak mustahil boleh gulung tikar.
“Saya sendiri sejak menjadi kontraktor kelas F bermula 2020, hanya dua projek diperoleh, itu pun projek yang diberi berdasarkan pendaftaran dibuat bukan melalui undian.
“Jika projek-projek undian, memang tipis untuk dapat kerana antara lapan ke 10 kerja undi ditawarkan dalam satu-satu masa tetapi hampir 500 kontraktor yang mencuba nasib,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Mohd. Yusof Mohd. Tahir berkata, jumlah kontraktor kelas F di setiap negeri perlu dihadkan antara 2,000 ke 2,500 orang bagi mengelak lambakan.
Nur Shuhada Afifah berkata, bagi kontraktor baru, memang tiada peluang untuk memperoleh projek kerana jabatan-jabatan kerajaan biasanya memilih kontraktor sedia ada.
“Jadi kerajaan perlu lihat perkara ini secara serius khususnya tentang kekurangan projek dan lambakan kontraktor kelas F,” katanya.
Seorang lagi kontraktor, Ahmad Salman Ahmad Jaafar berkata, sejak melibatkan diri pada 2018, tidak sampai 10 projek diperolehnya.
“Itu pun hanya projek-projek kecil seperti membaiki rumah yang rosak akibat banjir. Yang paling besar pun hanya bernilai RM30,000.
“Ini berlaku kerana lambakan kontrakror kelas F dan projek ditawarkan pula kurang,” katanya. – UTUSAN










