SEORANG tokoh pendidikan negara yang sangat disanjungi, Tun Dr. Arshad Ayub dipetik oleh Utusan Malaysia baru-baru ini sebagai berkata, sejumlah 2,500 profesor di Malaysia tidak berkualiti.
Saya tidak pasti apa sebenarnya yang ingin dimaksudkan oleh Arshad ketika memberikan komen ini. Rata-rata mereka yang terlibat dalam pendidikan terutama pendidikan peringkat tinggi mengenali tokoh besar ini.
Sekarang beliau masih lagi memberikan khidmat dan buah fikiran dalam membangunkan Universiti Islam Malaysia (UIM) di mana beliau ialah canselor universiti tersebut.
Sememangnya sumbangan dan jasa beliau sangat besar dalam pendidikan negara. Tidak keterlaluan juga kita menyatakan, beliau sebagai bapa atau datuk dalam melahirkan cerdik pandai dalam kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera. Melihat kepada sumbangan yang sangat besar ini, saya berpendapat beliau berhak mengeluarkan pandangannya.
Namun, kali ini komentar beliau dilihat sedikit memanaskan keadaan apabila mengeluarkan kenyataan tanpa memberi penjelasan terhadap apa yang dimaksudkannya.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah terdapat para profesor yang tidak bersetuju dengan pandangan tokoh ini. Saya mendapati beberapa profesor tanah air memberikan ulasan mereka. Antaranya, Prof Dr. Omar Yaakob dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
INDUSTRI
Terdapat juga komen-komen dalam aplikasi WhatsApp yang juga cuba memberikan reaksi terhadap perkara ini. Dalam meneliti komen-komen tersebut, didapati ramai yang menunjukkan tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat secara umum ini.
Saya lihat komen Arshad adalah untuk melibatkan pihak industri bagi diberi peluang mengajar di universiti. Pada masa ini, sebenarnya sudah terdapat universiti yang telah mengadakan engagement dengan pihak industri dalam hal ini.
Sebagai contoh, ada universiti menganjurkan program CEO@fakulti dengan menjemput para ketua pegawai eksekutif untuk berkongsi pengalaman dengan mahasiswa. Ada juga yang melantik pihak industri sebagai profesor adjung malah ada yang menamakannya sebagai profesor industri. Ini seperti juga yang dipetik oleh Utusan Malaysia merujuk apa yang dimaklumkan oleh Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Jika ditinjau dengan kriteria pengukuran untuk mendapat jawatan profesor sekarang, ia bukan suatu perkara mudah. Walaupun terdapat perbezaan kriteria kenaikan pangkat ke jawatan profesor bagi setiap universiti, beberapa asas utama pertimbangan adalah hampir sama antara satu sama lain.
BERSARA
Antara asas-asas pertimbangan ke arah kenaikan pangkat tersebut adalah pengajaran, penyelidikan, penerbitan, penyeliaan, penglibatan peringkat antarabangsa, khidmat masyarakat dan konsultasi. Jika melihat kepada kriteria ini, seseorang yang dilantik sebagai profesor sebenarnya telah mempunyai kualiti tersendiri. Mereka perlu menunjukkan sumbangan menyeluruh dalam kriteria-kriteria yang dinilai.
Terdapat juga profesor dalam negara kita yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Mereka dilantik menjadi penasihat, felow, terlibat dalam penyelidikan dan sebagainya yang mana kepakaran mereka itu diperlukan.
Apapun, tidak dinafikan mungkin terdapat sebilangan kecil profesor tidak lagi produktif dalam kerja-kerja akademik. Ini perlu dilihat secara kes khas, kerana mungkin mereka hanya menunggu masa untuk bersara wajib.
Tetapi masih ramai lagi profesor yang rajin menjalankan tugas mereka dan begitu suka mendidik serta menyelia calon yang boleh menggantikan kepakaran mereka pada masa hadapan.
Kritikan Arshad ini pada saya tidak harus dilihat secara negatif. Kadangkala ada juga perkara baik di sebalik kritikan tersebut, seperti dapat membentuk profesor yang bertekad untuk menyatakan hipotesis kritikan tersebut adalah salah dengan cara membuktikan kesungguhan dari aspek kualiti berkenaan.
Saya yakin profesor yang ada di Malaysia dalam apa jua bidang kepakaran, sama ada dalam bidang sains, perubatan, kejuruteraan, sains sosial, kemanusiaan hatta pengajian Islam sekalipun, mereka tidak pernah terlintas untuk berkompromi dalam soal kualiti.
RANKING
Mereka ialah barisan hadapan yang membawa amanah obor ilmu universiti dan turut menyumbang kepada penarafan universiti di peringkat antarabangsa. Malah ada dalam kalangan mereka yang diiktiraf sebagai golongan paling tinggi mendapat citation, yakni hasil penerbitan mereka dirujuk oleh pihak lain dari serata dunia.
Hasil usaha para profesor ini dan ahli-ahli akademik lain di universiti masing-masing telah melonjakkan penarafan universiti kita di peringkat dunia. Seperti Universiti Malaya (UM) yang berjaya mencapai kedudukan ke-59 universiti terbaik dunia, Universiti Putra Malaysia di kedudukan 132, UKM (141), Universiti Sains Malaysia (142) dan UTM (187) berdasarkan QS World University Ranking 2021.
Oleh itu, apa yang disebutkan oleh Arshad sebenarnya boleh dilihat sebagai galakan untuk para profesor dan pihak universiti bekerjasama lebih erat dengan pihak industri. Pengalaman industri itu penting bagi memberikan pengalaman kepada mahasiswa tentang realiti sebenar alam pekerjaan kelak.
Justeru, hikmah dan kepakaran para profesor dengan sulaman pengalaman industri akan dapat melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan bertepatan dengan pasaran kerja yang ada di luar sana.
PROFESOR Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya ialah Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).










