Ee Yi terima biarpun terkilan

Ee Yi terima biarpun terkilan

Teo Ee Yi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi berharap kesilapan itu tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Terdahulu, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh akui terkilan dengan kecuaian pegawainya yang tersilap mendaftarkan nama pemain bagi menyertai Kejohanan Masters Indonesia yang dijadualkan berlangsung 24 hingga 29 Januari depan.

Kata Ee Yi, insiden tersebut semestinya memberi kesan kepada rankingnya dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF), ditambah pula dengan hasratnya untuk memenuhi kepadatan jadual sepanjang 2023 bagi mendapatkan slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Ujar pemain berusia 29 tahun itu, susulan insiden tersebut, pihak BAM masih berbincang dengannya mengenai beberapa perkara sehinggalah satu keputusan di capai dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai penerimaannya terhadap kesilapan itu, Ee Yi mengakui yang dia terkejut namanya tidak didaftarkan kerana telah menghantar nama bagi menyertai empat kejohanan dan kejadian itu sudah tentu menggusarkannya.

“Saya sebenarnya tak tahu, saya cuma tahu perkara ini daripada peminat. Memang terkejut, kenapa nama saya tiada sebab kita mendaftar empat kejohanan semua sekali jadi kenapa tiba-tiba Terbuka Malaysia dan Terbuka India ada tetapi Indonesia sahaja yang salah (pendaftaran).

“Memang rasa peliklah. Saya dah tanya dengan beberapa orang dan ini mungkin salah BAM.

“BAM pun dah mengaku yang pegawai mereka ada melakukan kesalahan dalam pendaftaran. Kita dah jumpa Datuk Kenny dan masih dalam perbincangan lagi. Keputusan akhir mungkin BAM sendiri yang akan umumkan kelak.

“Kesilapan ini memang tak sepatutnya berlaku. Bagi saya, tak kiralah pemain bebas atau bawah BAM, memang tak patutlah ada kesalahan. Di pihak saya, saya sudah terima keadaan ini walaupun saya tak tahu apa isu yang menyebabkan mereka buat kesilapan,” katanya.

Mengulas mengenai saingan di Petronas Terbuka Malaysia 2023 (10 hingga 15 Januari), Ee Yi mengakui semua peserta yang bertanding memiliki kekuatan masing-masing.

“Bagi saya, dalam beregu lelaki memang cabaran sangat sukar kerana pemain-pemain bertanding sangat bagus. Jadi saya akan buat yang terbaik,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×