Caknalah sifat ‘liar’ alam semula jadi

Caknalah sifat ‘liar’ alam semula jadi

ADA 61 tapak perkhemahan di Hulu Selangor dan para pengusahanya tidak mempunyai garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak berkuasa tempatan untuk dipatuhi. –JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH runtuh, kepala air, pokok tumbang dan binatang buas. Semua itu boleh dikatakan sebagai sifat semula jadi hutan yang ‘liarnya’ tak mampu dikawal sepenuhnya oleh manusia dan badainya kerap kali luar jangka.

Begitulah seharusnya difahami oleh masyarakat bertamadun yang berhierarki, pakarnya berguna, pemimpinnya cakna. Supaya kehidupan dan kebergantungan antara flora dan fauna atau haiwan dan tumbuhan lestari, tidak berlawan antara satu sama lain.

Bila melihat tragedi demi tragedi dan yang terkini tanah runtuh menimpa bumi bertuah ini, sedikit sebanyak mendedahkan kekurangan-kekurangan yang harus diperbaiki. Tetapi apa yang jadi adalah sifat alam semula jadi itu yang hendak disiasat dan diuar-uarkan.

Sedangkan ada kelemahan sebenar dalam diri yang enggan didedahkan. Baru-baru ini dalam sidang akhbar, seorang jurucakap tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm (FOF) yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands pada Jumaat minggu lepas, membuat kenyataan mengejutkan.

Kenyataan tersebut membalas dakwaan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengatakan FOF tidak mempunyai lesen untuk beroperasi. Jurucakap itu membalas, mereka pernah rujuk kepada kerajaan dan memohon lesen, tetapi tak diluluskan sebab lesen sedemikian tak wujud.

Dakwaan demikian dikuatkan lagi dengan makluman daripada Exco Selangor yang hendak mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) khas melalui undang-undang kecil untuk dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada kerajaan negeri.

Kalau kita membaca empat peringkat kenyataan di atas, bolehlah dikatakan sah memang tiada peruntukan undang-undang atau peraturan khusus bagi perusahaan yang menjalankan aktiviti perkhemahan.

Itu cuma persoalan sampingan, yang utama adalah dalam era Malaysia moden (diambil sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1981) sehingga hari ini, berapa banyak tapak perkhemahan atau tempat-tempat rekreasi wujud di Selangor? Kemudian, berapa banyak pula tapak perkhemahan di sepanjang Banjaran Titiwangsa dari Hulu Selangor sampailah ke Hulu Langat yang saban hari tumbuh macam cendawan selepas hujan kerana tarikan semula jadi hutan serta air terjun di sana?

B66

Lihat pada tempat lebih spesifik di sepanjang Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditanda sebagai B66, berapa banyak tapak perkhemahan dan rekreasi wujud dari kaki banjaran sampai ke garisan sempadan Selangor-Pahang?

Dalam tempoh tersebut, tiada SOP dan peraturan khusus daripada PBT untuk dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha tapak perkhemahan. SOP keselamatan setempat dan asas perkemahan mungkin mereka tahu.

Tetapi risiko-risiko luar kawasan yang boleh terimpak ke tempat mereka, adakah mereka tahu? Kalau cerun berbahaya sejauh dua kilometer dari kawasan tapak perkhemahan, adakah mereka tahu?

Justeru, dalam tempoh itulah pengusaha-pengusaha ini sebenarnya tanpa mereka dan pihak berkuasa sedar membiarkan pengunjung berkhemah tanpa jaminan keselamatan daripada liarnya sifat alam semula jadi.

Bagaimanapun, kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han memaklumkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor akan memanggil pemilik FOF dan tapak perkhemahan lain untuk bercakap tentang garis panduan keselamatan aktiviti rekreasi itu.

Katanya, ada 61 tapak perkhemahan di Hulu Selangor, harap garis panduan sama juga ditetapkan di tempat-tempat lain.

Ini bukan menuding jari, sebaliknya mengingatkan jika ada peraturan itu akan menjadi panduan keselamatan kepada semua orang termasuklah saya yang suka berkhemah supaya semua orang cakna sifat alam semula jadi sebenar.

Sehingga artikel ini ditulis, seramai 26 mangsa maut termasuk bayi serta kanak-kanak ditemui dalam kejadian tanah runtuh di sana, 61 selamat dan sebahagiannya masih menjalani rawatan sementara tiga mangsa belum ditemukan.

Pelbagai lapisan pemimpin masyarakat seperti Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hadir di tapak tragedi tanah runtuh untuk menzahirkan keprihatinan dan simpati terhadap mangsa.

Takziah pengunjung dan kakitangan FOF, takziah warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan takziah warga Selangor. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×