MEMANG menarik politik Cina di negara ini sejak merdeka. Jika dibandingkan dengan politik Melayu berikutan perpecahan bermula dengan UMNO dan Pas. Kemudian selepas 1999, politik Melayu berpecah kepada tiga iaitu UMNO, Pas dan PKR. Tetapi sejak 2018, perpecahan politik Melayu semakin parah sehingga akhirnya membawa kepada ketidakstabilan politk negara.
Sinonim dengan apa berlaku ke atas politik Melayu, begitu juga politik Cina. Dalam pengertian politik Cina, penyatuan adalah sesuatu yang mustahil tanpa ada teras yang menyokong untuk persetujuan bersama dalam satu aliran. Sejak merdeka, politik Cina tidak surut daripada perpecahan di antara pelbagai kumpulan yang wujud hasil daripada legasi politik Tanah Besar China. Bermula dengan pertembungan dua aliran kumpulan iaitu antara demokrasi dan komunis sehinggalah tercetus gerakan pendemokrasian selepas 13 Mei 1969.
Gerakan pendemokrasian ini akhirnya mewarnai perkembangan politik Cina yang berlaku di era 1990-an yang bercirikan kewatanan acuan Cina Malaysia. Tetapi perpecahan antara yang menyokong MCA, DAP dan Gerakan telah membahagikan aliran politik Cina kepada aliran kanan dan aliran tengah. Pertembungan tiga parti terbesar dalam politik Cina bermula 1970 sehingga kini melambangkan satu kisah paling menarik dalam sejarah ketamadunan kerajaan China lama iaitu kisah tiga kerajaan Wei, Shu dan Wu.
Dalam kisah tersebut, setiap kerajaan cuba menguasai China dengan matlamat dan produk politik yang sama tetapi akhirnya jatuh kerana sebab tertentu. Perpecahan berlaku menyebabkan malapetaka dan kesengsaraan kepada rakyat China selama 300 tahun. Mungkinkah sudah tiba satu dialog perlu dibuat antara MCA dan DAP dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada tahun depan?
Walaupun MCA dan DAP mempunyai sejarah perbezaan dan pertembungan sejak 1990, tetapi perlu diingatkan MCA pernah bersama dengan Gerakan sejak 1970 sehingga berlaku pemisahan Gerakan daripada Barisan Nasional (BN) selepas 2018 apabila BN kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Mungkinkah akan berulang satu titik persamaan atau merapatkan perbezaan untuk menghadapi satu matlamat sama antara MCA dan DAP yang membentuk kerajaan perpaduan? Seperti mana kerajaan perpaduan hari ini adalah gabungan Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Jadi, perlu melihat kembali aliran gerakan anak watan dalam pempolitikan agar kelangsungan politik Cina mampu bertahan dan berasimilasi dengan politik Melayu yang merupakan teras utama identiti negara ini. Walaupun politik Cina terbahagi kepada pelbagai kumpulan antara yang memperjuangkan pendidikan dan budaya Cina, kumpulan elit dan kapitalis, kumpulan persatuan Hua Zhong serta kumpulan anak watan.
KRITIKAL
Apa yang penting adalah mengasimilasikan dengan politik teras negara ini supaya kelangsungan identiti politik Cina dapat diterima oleh masyarakat etnik lain. Malahan politik anak watan Cina perlu meletakkan asas kepada demokrasi dalam pempolitikkan negara ini iaitu wujudnya satu kumpulan pemerintah dan satu kumpulan pembangkang. Realiti penyatuan politik anak watan Cina ada kalanya mengalami naik dan turun tetapi situasi hari ini lebih kritikal daripada sebelum 2018 disebabkan isu nilai kesederhanaan di negara ini.
Politik hari ini telah jauh berubah dengan perkembangan sosioekonomi dan teknologi. Mahu tidak mahu, MCA dan DAP perlu duduk semeja untuk memikirkan cara terbaik yang mampu memberikan manfaat kepada anak-anak watan supaya tidak lagi berlaku terasingan daripada politik semasa.
Politik Cina tidak boleh lagi berkiblatkan apa yang berlaku di China mahupun Barat bagi menentukan nasib anak watan dalam kehidupan kenegaraan di negara ini. Isu yang berlegar dalam masyarakat Cina perlu diselesaikan dan diambil penyelesaian. Ini amat penting agar golongan B40 dan gelandangan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sosioekonomi.
Pada hari ini, ramai anak muda Cina kurang mampu membeli rumah di kawasan bandar dan sering kali menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan disebabkan polemik pendidikan. Tambahan pula, golongan gelandangan semakin meningkat di Pulau Pinang dan bandar-bandar besar lain dalam kalangan masyarakat Cina. Isu kemiskinan, pengangguran, keciciran dalam persekolahan, kegiatan tidak sihat dan pelbagai masalah gejala sosial dalam masyarakat Cina tidak sebegitu umum mengetahuinya berbanding yang berlaku dalam masyarakat Melayu.
Apa yang umum mengetahui, masyarakat Cina menguasai ekonomi perlu diperbetulkan. Ini amat penting dalam soal integrasi dan perpaduan kaum. Selagi wujudnya jurang pembahagian kek ekonomi sesama kaum anak watan Cina, ia akan membawa kepada jurang nilai kesederhanaan dan kewatanan politik. Ini menyebabkan wujudnya golongan tertentu yang akan mengambil kesempatan dan sentiasa cuba memecahkan perpaduan kaum di negara ini.
MCA perlu mempelajari apa yang telah berlaku semasa bersama dengan Gerakan dan memperbaikinya agar masih kekal relevan dalam masyarakat Cina. Di sini, MCA perlu membawa satu naratif politik baharu dalam produk pemasarannya supaya dapat membantu BN dan kerajaan perpaduan lebih stabil dan berwajah politik kewatanan. Normalisasi politik MCA dan DAP perlu dilihat dalam konteks kewatanan politik negara ini walaupun berlaku fenomena penolakan dalam PRU Parlimen Padang Serai. Adakah kerana titik perbezaan antara MCA dan DAP akhirnya menguntungkan pihak lain seperti mana kisah dalam Romance Of Three Kingdoms?-UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










