MEMASUKI tahun baharu 2023 yang berbaki beberapa hari sahaja lagi, barangkali tidak keterlaluan untuk menyatakan antara harapan majoriti penduduk Pulau Pinang adalah untuk melihat masalah kesesakan jalan raya berjaya diatasi sepenuhnya. Isu kesesakan jalan raya ketika ini menjadi keluhan terbesar penduduk negeri ini yang terpaksa menghadapinya hampir setiap masa khususnya di jalan-jalan utama sama ada di bahagian pulau atau di tanah besar.
Situasi kesesakan itu sudah menjadi perkara biasa di Pulau Pinang setiap kali waktu puncak dan hujung minggu serta bertambah buruk ketika cuti umum dan musim perayaan atau cuti sekolah seperti sekarang. Menjadi lumrah juga bagi mereka yang bekerja dan berulang-alik melalui Jambatan Pulau Pinang untuk mengharungi kesesakan yang panjang sehingga berjam-jam lamanya khususnya pada awal pagi dan lewat petang.
Tidak boleh dinafikan situasi kesesakan jalan raya semakin meruncing selepas perkhidmatan feri untuk kereta yang menghubungkan antara pulau di George Town dan tanah besar di Butterworth ditamatkan pada 1 Januari tahun lalu. Ekoran keputusan itu, pengguna jalan raya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jambatan khususnya jambatan pertama untuk berulang-alik tanpa mempunyai alternatif lain.
Jambatan kedua atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pula kekal tidak menjadi pilihan majoriti penduduk, barangkali kerana faktor lokasi menghubungkan kedua-dua kawasan di bahagian pulau dan tanah besar yang agak jauh. Lebih malang, penduduk Pulau Pinang juga tidak mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan awam sama ada untuk ke tempat kerja atau ke mana-mana lokasi di seluruh negeri ini dengan mudah dan cepat.
Satu-satunya pengangkutan awam yang ada ketika ini hanyalah perkhidmatan bas, namun faktor tidak mesra pengguna seperti tempoh menunggu yang lama dan laluan perjalanan terhad menyebabkan perkhidmatan itu lebih banyak dinikmati warga asing berbanding penduduk tempatan. Disebabkan itu, ketika ini penduduk Pulau Pinang lebih banyak bergantung kepada perkhidmatan e-hailing sebagai medium pengangkutan awam utama.
Namun, mod pengangkutan awam itu langsung tidak membantu mengurangkan masalah kesesakan sebaliknya semakin menyumbang kepada kesesakan berikutan pertambahan kenderaan di jalan raya.
Permintaan yang tinggi kepada perkhidmatan e-hailing khususnya pada hujung minggu atau ketika cuti umum seperti musim perayaan dan cuti sekolah juga menyebabkan harga tambang meningkat.
NOSTALGIA
Situasi ini sudah semestinya membebankan pengguna dan menjadi alasan lain yang boleh menjejaskan imej negeri ini khususnya bandar raya George Town dalam kalangan pelancong pada jangka masa panjang.
Sebagai sebuah negeri yang sentiasa menjadi tarikan pelancong sama ada tempatan atau antarabangsa, isu kesesakan jalan raya sepatutnya menjadi keutamaan untuk diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Pelbagai tarikan pelancongan sama ada dari segi makanan, kebudayaan, bangunan warisan atau alam semula jadi tidak akan kekal dalam ingatan pelancong sekiranya mereka terpaksa menempuh kesesakan berjam-jam lamanya untuk menikmati keistimewaan yang dimiliki di Pulau Mutiara ini.
Dalam kalangan penduduk tempatan pula, isu kesesakan berkait rapat dengan kesejahteraan kehidupan yang diharapkan untuk dinikmati mereka.
Elemen ketenangan dan kehidupan yang bebas daripada kesesakan juga menjadi faktor mengapa ramai penduduk luar termasuk masyarakat antarabangsa memilih untuk berhijrah dan menetap di negeri itu sebelum ini. Namun, jika situasi kesesakan yang semakin memburuk seperti ketika ini gagal ditangani, Pulau Pinang mungkin tidak lagi akan menjadi pilihan sebagai rumah kedua kepada penduduk luar sekali gus merugikan negeri itu sendiri khususnya dari aspek ekonomi.
Sebab itu kerajaan negeri perlu menjadikan 2023 sebagai tahun kritikal dalam menyelesaikan sepenuhnya isu kesesakan jalan raya di Pulau Pinang. Segala perancangan untuk mengurangkan kesesakan khususnya dari aspek penambahbaikan pengangkutan awam perlu dijadikan keutamaan.
Perkhidmatan feri untuk kenderaan beroda yang menghubungkan antara bahagian pulau dan tanah besar perlu dihidupkan semula dengan segera.
Selain sebagai medium pengangkutan yang dapat mengurangkan kebergantungan pengguna jalan raya terhadap jambatan, feri juga dapat mengembalikan nostalgia dan ikon pelancongan utama yang pernah dimiliki Pulau Pinang.
Begitu juga perkhidmatan teksi air yang dirancang diperkenalkan bagi menghubungkan beberapa lokasi pelancongan khususnya di bahagian pulau yang perlu segera dilaksanakan. Meskipun teksi air itu lebih kepada produk pelancongan, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan pelancong kepada kenderaan di atas jalan raya untuk mengunjungi lokasi-lokasi pelancongan yang dihubungkan oleh teksi air tersebut.
Paling penting adalah projek transit aliran ringan (LRT), iaitu rancangan jaringan pengangkutan awam utama yang bakal menghubungkan hampir ke seluruh kawasan di bahagian pulau. Projek LRT barangkali adalah penyelesaian sebenar kepada masalah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang sekiranya dapat dilaksanakan seperti dirancang.
Kelangsungan projek itu pernah menjadi tanda tanya selepas beberapa kali permohonan pembiayaan daripada kerajaan negeri ditolak oleh kerajaan Pusat sebelum ini. Namun, dengan perubahan landskap politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan kerajaan negeri ketika ini adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) di peringkat kerajaan Pusat, maka boleh dianggap isu permohonan peruntukan bagi pelaksanaan projek LRT tersebut tidak lagi akan menjadi isu pada masa depan dan projek terbabit boleh dilaksanakan secepat mungkin. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










