MELIHAT keserasian yang timbul, ada yang bertanya mungkin ada cinta antara mereka. Malah dengan kehadiran lagu indah bersama seakan memberi petanda ada hati yang sedang berbunga.
Menolak persepsi sesetengah pihak mengenai hubungan yang terjalin antara dua penyanyi remaja ini, balas mereka bukan cinta yang membuatkan serasi tetapi bagaimana impian yang dikongsi .
Akui Khai Bahar dan Aina Abdul siapa sangka kehadiran Nafas Cinta membuktikan ada keserasian yang timbul antara mereka. Menghargai kerjasama yang berlaku ini, tambah Khai dan Aina sendiri, ini adalah permulaan yang baik untuk tahun 2021.
“Mungkin bila peminat melihat keserasian yang timbul antara kami membolehkan mereka membayangkan perkara yang berbeza. Jujurnya saya dan Aina lebih senang bekerja sebagai rakan dalam industri sahaja. Melalui lagu Nafas Cinta juga membuktikan apa yang kami berdua impikan selama ini tercapai.
“Ikutkan perancangan untuk berduet ini sudah muncul sejak awal tahun ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Jadi bila Aina sendiri menghantar melodi lagu ini, saya teruskan kerjasama ini sehingga terhasilnya Nafas Cinta,” katanya.
Tidak melihat gimik sebagai sesuatu yang salah untuk melariskan produk mereka, ketika ini ada prinsip yang mahu dipegang Khai sendiri.
“Memang ada terfikir membuat gimik untuk lagu ini, tetapi tak tahu macam mana. Sebab publisiti boleh berlaku melalui pelbagai cara.
“Cuma dalam keadaan sekarang saya tidak mahu gimik yang akan memberi kesan kepada kerjaya kami pula. Lebih penting bagaimana gimik ini sendiri mampu diterima dengan baik peminat secara keseluruhan,” tambahnya lagi.
Sementara itu bercakap mengenai kerjasamanya kali ini, Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menyifatkan dia cukup bertuah diberi peluang menyiapkan lagu ini dengan Aina.
Bagaimanapun berkongsi perbezaan dengan penyanyi wanita yang pernah berduet bersama, katanya, setiap daripada mereka mempunyai kelebihan sendiri.
“Memang sangat bertuah untuk diberi peluang bekerjasama dengan Aina yang kita tahu kemampuannya sebagai anak seni.
“Jujurnya Nafas Cinta juga boleh dianggap sebagai hadiah buat peminat yang selama ini tertanya-tanya siapa rakan duet terbaharu saya.
“Saya memang sangat bersyukur bila perancangan lagu ini juga dipermudahkan walaupun dalam tempoh pandemik. Bercakap mengenai rakan duet, semuanya mempunyai keistimewaan dan aura masing-masing. Saya melihat setiap tawaran yang datang adalah kesempatan terbaik untuk memajukan diri.
“Tiada apa yang saya harapkan selain lagu ini dapat diterima baik dan boleh pergi lebih jauh.
“Tentunya ucapan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” katanya berkongsi harapan.

AINA TOLAK PROVOKASI
Ketika ada yang mempertikaikan gandingannya dengan Khai, Aina lebih senang untuk terus menghargai peluang yang hadir. Dia akui turut terkesan dengan komen-komen yang mampu meranapkan semangatnya. Namun sebagai seorang penyanyi, dia yakin untuk terus memperjuangkan bakat yang dimiliki.
“Sebagai manusia memang kita akan terkesan dengan komen-komen seperti itu. Malah secara automatik kita akan bertanya kembali kemampuan diri sendiri. Tetapi pada suatu tahap saya juga tidak mahu komen-komen seperti ini membuatkan diri tidak berani untuk lakukan sesuatu yang berbeza untuk karier.
“Untuk Nafas Cinta, lagu ini sendiri adalah sesuatu yang cukup positif. Maksud lirik lagu ini juga sangat indah. Jadi saya mahu lagu ini sampai dengan baik kepada pendengar. Saya juga amat menghargai peluang ini.
“Saya enggan membiarkan pihak yang memulakan ini merasakan dia menang apabila melihat saya sedih. Sebaliknya saya dan Khai akan membuat sesuatu yang kami rasakan terbaik,” katanya.
AJL 35
Mengulas beberapa pertanyaan mengenai persiapan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 27, ketika ini juga sedang menunggu tarikh baharu untuk program tersebut. Jelasnya, sama seperti finalis lain dia juga bakal memberikan persembahan yang terbaik pada malam itu.
Pernah menimbulkan kontroversi di pentas AJL tahun lalu, ternyata kali ini ada pengajaran yang perlu diambil kira pihaknya.
Bagaimanapun kata Aina, walaupun pihaknya sudah menandatangi aku janji, namun itu bukan bermakna kreativitinya terbatas dalam persembahan untuk lagu Semalam.
“Aku janji yang ditandatangani itu sama sekali tidak menyekat kreativiti malah kami akan tetap melakukan yang terbaik. Jujurnya melalui lagu Sumpah tahun lalu bukan niat kami untuk menimbulkan apa-apa kontroversi. Malah kami juga melalui beberapa perbincangan sebelum melakukan apa-apa.
“Ikutkan apa yang berlaku memang memberi pengajaran, namun saya tidak menyesal dan tetap sayang dengan persembahan tersebut. Cuma pendapat orang berbeza-beza dan saya tidak mampu menutup mulut mereka.
“Bagi persembahan AJL 35, kami masih dalam proses perbincangan dan setakat ini, semestinya kami tidak boleh dedahkan apa juga idea. Cuma kami akan patuhi setiap garis panduan yang sudah ditetapkan namun dalam masa yang saya akan tetap bereksperimen,” katanya jujur.










