PETALING JAYA: PLUS Malaysia berhad (PLUS) akan menggunakan data dan statistik yang lebih strategik bagi mengurangkan jumlah kematian dan kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan pada 2023.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, data dan statistik tersebut akan dikongsikan bersama Rakan Keselamatan PLUS iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terutamanya dalam
mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan-kenderaan berat dan motosikal.
Kata beliau, menerusi data-data tersebut, termasuklah kolaborasi serta penguatkuasaan oleh JPJ dan PDRM, PLUS menyasarkan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan yang melibatkan semua jenis kenderaan di lebuh raya kendaliannya sebanyak 7 peratus pada tahun depan.
Katanya, ia adalah selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
“Bagi mencapai matlamat ini, PLUS dengan kerjasama JPJ dan PDRM menyasarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat, motosikal, kemalangan di lorong kecemasan dan kemalangan yang disebabkan oleh objek atau halangan di lebuh raya pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan.
Zakaria berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan dan Penetapan Petunjuk Prestasi Utama (PPU) JPJ dan PLUS di Akademi JPJ di Melaka, baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan JPJ serta Bahagian Operasi PLUS.
Zakaria berkata, PLUS akan memberi fokus terhadap isu keselamatan yang membabitkan penunggang motosikal yang menjadi penyumbang terbesar kepada statistik tersebut.
Statistik di lebuh raya kendalian PLUS menunjukkan terdapat pengurangan jumlah kemalangan pada 2022 berbanding 2019.
Walau bagaimanapun, kemalangan melibatkan kenderaan berat meningkat sebanyak dua peratus. Kemalangan di lorong kecemasan membabitkan kenderaan yang rosak juga meningkat sebanyak lima peratus berbanding 2019. – UTUSAN










