KPJ Ipoh lancar Pusat Informasi di Cameron Highlands

KPJ Ipoh lancar Pusat Informasi di Cameron Highlands

ROSLAN Ahmad (tengah) memotong riben pada perasmian pusat informasi Hospital KPJ Ipoh di Cameron Highlands, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Hospital KPJ Ipoh melancarkan pusat informasi pertama di Cameron Highlands yang berfungsi sebagai hab pesakit di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KPJ Healthcare Berhad Wilayah Utara, Roslan Ahmad berkata, pusat informasi itu menawarkan perkhidmatan bantuan kepada pesakit tempatan termasuk menyediakan perkhidmatan penyelarasan temu janji perubatan dan pemeriksaan kesihatan, serta mengaturkan urusan perjalanan pesakit termasuk penginapan.

“Selain itu, kami juga ada menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara percuma jika ada pesakit yang memerlukan kenderaan untuk mendapatkan rawatan di KPJ Ipoh.

“Kami mendapati terdapat jurang pasaran yang ketara di Ca­meron Highlands dan pada masa sama terdapat peningkatan trend pesakit yang datang dari sini,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran Pusat Informasi KPJ Ipoh di sini, semalam.

Menurutnya, KPJ Ipoh sangat memahami kekangan dihadapi pesakit dari Cameron Highlands perlu dilalui untuk mendapatkan rawatan di KPJ Ipoh.

“Kami berharap pusat maklumat ini akan dapat membantu penduduk setempat dalam pada kita terus menyantuni masyarakat setempat,” katanya.

Katanya, pusat itu juga menyediakan akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada komuniti Ca­meron Highlands dan berharap mereka dapat memanfaatkan perkhidmatan itu , selaras dengan slogan Care for Life.

Menurut beliau, pihaknya juga dalam perancangan untuk membina beberapa buah Pusat Rawatan Harian (ACC) di seluruh negara dan Cameron Highlands adalah satu daripada tempat yang berpotensi.

“Kita akan lihat perkembangan di pusat informasi ini dan dalam perancangan untuk memperluaslan lagi perkhidmatan kami di sini yang akan lebih memudahkan pesakit dari Cameron Highlands,” katanya.

Mengulas lanjut, Roslan ber­kata, tidak mustahil jika suatu hari KPJ akan membangunkan sebuah hospital swasta di sini me­mandang­kan jumlah pesakit dari Cameron Highlands yang menda­patkan rawatan di Ipoh agak ramai.

Sementara itu, Setiausaha Mailis Daerah Cameron Highlands, Mazlan Mohamed Isa berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha KPJ Ipoh dan KPJ Healthcare dalam merapatkan jurang per­khidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti di sini.

“Kami berharap akan dapat mengadakan lebih banyak kerjasama dan inisiatif seperti ini dalam usaha kami untuk terus meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan untuk komuniti di sini pada masa hadapan.

“Secara tidak langsung, usaha ini juga dapat menawarkan perkhidmatan pelancongan kesihatan selaras dengan pembangunan pesat di Cameron Highlands,” katanya.

Pusat Informasi itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada cuti umum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×