Perkuburan Al-Baqi’ idaman para perindu - Utusan Malaysia

Perkuburan Al-Baqi’ idaman para perindu

Perkuburan al-Baqi’ adalah tempat disemadikan isteri-isteri Nabi SAW selain Khadijah dan Maimunah yang dikebumikan di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkuburan al-Baqi‘ adalah perkuburan lama yang wujud sejak zaman Rasulullah SAW. Sahabat Rasulullah SAW yang mula-mula dikebumikan di perkuburan ini adalah Saidina As’ad bin Zuroroh yang meninggal dunia pada tahun 1 hijrah. Beliau adalah orang Ansar yang mula-mula menjadi penduduk perkuburan al-Baqi’.

Orang Muhajirin yang mula-mula dikebumikan di sini pula adalah Saidina Uthman bin Maz‘un yang wafat pada tahun 2 hijrah selepas peristiwa peperangan Badar.

Para sejarawan menyatakan para sahabat Rasulullah SAW yang telah dikebumikan di perkuburan al-Baqi’ adalah melebihi 10,000 orang.

Walaupun jumlah ini adalah besar, yang menyedihkan kita pada hari ini tidak mengetahui secara tepat lokasi pusara mereka kecuali beberapa orang sahabat dan tokoh-tokoh Islam yang turut dikebumikan di perkuburan ini.

Menurut Saidatina Aishah; apabila tiba giliran Rasulullah SAW bermalam di rumah beliau, baginda setiap akhir malam akan keluar dari rumah Saidatina Aishah menuju ke perkuburan al-Baqi’.

Lantas baginda akan memberi salam kepada para sahabat baginda yang dikebumikan di perkuburan ini dengan bersabda: “Kesejahteraan buat kalian (wahai penduduk) perumahan kaum mukmin.

Apa yang kalian semua dijanjikan esok (berupa pahala) telah mendatangi kalian. (Kalian adalah) orang yang dilewatkan (menerima ganjaran kerana syurga hanya akan diberikan di akhirat nanti).

Sesungguhnya kami sekiranya Allah telah berkehendak adalah orang-orang yang menyusul kalian. Ya Allah. Ampunkanlah buat ahli Baqi’ al-Ghorqod”.

Kelebihan Perkuburan Al-Baqi’

Al-Imam Al-Hakim al-Naysaburiyy di dalam kitab beliau; al-Mustadrok ‘Ala al-Sohihayn meriwayatkan daripada Saidatina Ummu Qoys bahawa Nabi SAW pernah menyatakan ada 70,000 orang yang dikebumikan di perkuburan al-Baqi’ yang akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam rupa yang berseri-seri. Seumpama bulan purnama yang mereka akan masuk ke syurga tanpa dihisab.

Selain itu al-Imam al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar bahawa Nabi SAW juga menyatakan bahawa orang yang mula-mula dibangkitkan selepas kematian adalah baginda sendiri. Kemudian dibangkitkan Saidina Abu Bakar lalu dituruti pula dengan kebangkitan Saidina Umar.

Setelah itu Rasulullah SAW akan mendatangi perkuburan al-Baqi’ lalu mereka yang dikebumikan di perkuburan ini pula yang akan dibangkitkan dari kubur untuk bersama-sama dengan Rasulullah SAW ke padang mahsyar.

Antara kubur yang dapat dikenal pasti di al-Baqi’ adalah kubur ibu saudara Rasulullah SAW dari sebelah ayah yang bernama Saidatina Sofiyyah binti Abdul Muttalib. Beliau adalah ibu kepada Saidina al-Zubair bin al-Awwam yang wafat pada tahun 20 hijrah.

Kubur beliau terletak di sebelah kiri al-Baqi’ apabila seseorang memasuki kawasan perkuburan al-Baqi’. Ada dua orang lagi ibu saudara Rasulullah SAW yang berlaku perselisihan para ulama adakah mereka berdua memeluk agama Islam atau tidak iaitu ‘Atikah bin Abdul Muttalib dan Arwa binti Abdul Muttalib.

Maka ada pandangan yang mengatakan dua ibu saudara Rasulullah SAW ini turut dikebumikan di kawasan kubur Saidatina Sofiyyah binti Abdul Muttalib. Sebagai tambahan ada tiga orang ibu saudara Rasulullah SAW yang berbaki yang tidak memeluk agama Islam. Ia sebagaimana disepakati oleh para ulama.

Mereka bertiga adalah Ummu Hakim binti Abdul Muttalib, Barroh binti Abdul Muttalib dan Umaymah binti Abdul Muttalib.

Perkuburan 3 Puteri Nabi SAW

Rasulullah SAW mempunyai empat anak perempuan. Mereka semuanya dikebumikan di perkuburan al-Baqi’ kecuali Saidatina Fatimah al-Zahra yang dikebumikan di perkuburan Ahlul Bayt.

Perkuburan tiga puteri Rasulullah SAW adalah kawasan perkuburan yang akan mula-mula ditemui oleh penziarah apabila mereka masuk ke perkuburan al-Baqi’.

Puteri Rasulullah SAW yang disemadikan di kawasan yang sama mengikut urutan tarikh kewafatan adalah Saidatina Ruqoyyah (wafat pada Ramadan tahun 2 hijrah) iaitu isteri pertama Saidina Uthman bin Affan, Saidatina Zainab (wafat pada tahun 8 hijrah) iaitu isteri Saidina Abu al-‘As bin al-Robi’ bin Abdul ‘Uzza dan Saidatina Ummu Kulthum (wafat tahun 9 hijrah) yang juga isteri kedua kepada Saidina Uthman bin Affan selepas kewafatan Saidatina Ruqoyyah.

Seramai sembilan daripada 11 isteri Rasulullah SAW yang dikebumikan di al-Baqi’ manakala dua lagi iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid (wafat pada Ramadan tahun 10 Kenabian) dan Saidatina Maimunah binti al-Harith bin Hazn (meninggal dunia pada 51 hijrah) dikebumikan di Mekah.

Saidatina Khadijah, isteri pertama Rasululllah SAW telah disemadikan di perkuburan al-Hajun atau lebih dikenali pada hari ini dengan perkuburan al-Ma’la manakala Saidatina Maymunah binti al-Harith iaitu isteri terakhir baginda disemadikan di Sarif yang pada hari ini tempat tersebut telah dikenali dengan nama al-Nawwariyyah.

Perkuburan Ahlul Bayt

Kawasan yang dikenali dengan panggilan perkuburan Ahlul Bayt ini terletak berhampiran kawasan perkuburan tiga puteri Rasulullah SAW iaitu berada di arah sebelah kanan perkuburan isteri-isteri Rasulullah SAW.

Mereka yang disemadikan di perkuburan Ahlul Bayt adalah Saidatina Fatimah binti Asad; ibu Saidina Ali bin Abu Talib (wafat pada tahun 4 hijrah), Saidatina Fatimah binti Rasulullah SAW (wafat pada 3 Ramadan tahun 11 hijrah), Saidina al-Abbas bin Abdul Muttalib (wafat pada tahun 32 hijrah), al-Imam ‘Aliyy Zayn al-‘Abidin bin al-Husayn bin Aliyy bin Abu Talib (wafat pada tahun 94 hijrah), al-Imam Muhammad al-Baqir bin ‘Aliyy Zayn al-Abidin (wafat pada tahun 118 hijrah) dan al-Imam Ja’far al-Sodiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Aliyy Zayn al-Abidin (wafat pada tahun 148 hijrah).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×