KENYATAAN dibuat oleh Profesor Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah (Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu) yang mendesak kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memujuk bukan bumiputera supaya bersetuju dengan pelaksanaan sistem pendidikan satu aliran menarik minat saya untuk menulis artikel ini.
Pemikiran begini juga pernah dicetuskan oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid (bekas Menteri Pendidikan) suatu ketika dahulu yang merungut mengenai kesukaran sekolah kebangsaan (SK) menarik minat bukan bumiputera memandangkan wujudnya sekolah vernakular menyediakan pendidikan dalam bahasa Cina dan Tamil. Oleh itu, beliau mencadangkan modul Bina Bangsa sebagai program wajib bagi memaksa murid sekolah vernakular untuk bergaul dan beramah mesra dengan rakan mereka dari SK.
Saya amatlah bersetuju dengan kewujudan sekolah satu aliran di negara kita. Sungguhpun idea menggalakkan penglibatan silang budaya wajar dipuji, namun pelaksanaannya haruslah diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam.
Hal ini kerana ia melibatkan banyak isu berkaitan. Mari letakkan diri kita di tempat ibu bapa pelajar bersekolah vernakular. Apabila mereka mahu menghantar anak-anak ke sekolah, sudah pasti ada beberapa perkara harus dipertimbangkan. Sebahagian ibu bapa beragama Islam pastinya merasakan pendidikan sekolah aliran kebangsaan tidak memadai dalam mendidik hal ehwal agama, lalu mereka menghantar anak-anak ke sekolah agama.
Begitu juga halnya dengan ibu bapa pelajar bukan bumiputera. Sebagai contoh, mereka berketurunan Cina mungkin merasakan SK tidak mampu untuk mendidik anak-anak mereka terutama dalam menguasai kemahiran berbahasa Mandarin. Justeru, mereka membuat keputusan menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Persoalan penting, mampukah sekolah aliran kebangsaan memenuhi keperluan ini jika sistem pendidikan satu aliran dilaksanakan? Berkemungkinan masyarakat akan berhujah, mengapa perlunya kerajaan menyediakan kemahiran bahasa Mandarin dalam sistem pendidikan kebangsaan?
Bagi masyarakat Melayu dan bumiputera, hujah ini sememangnya kukuh dan kuat. Tetapi bagi pelajar bukan bumiputera, hal ini akan meletakkan mereka dalam keadaan sukar kerana peluang diterima ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) agak tipis memandangkan kuota yang telah ditetapkan.
Oleh demikian, mereka mungkin terpaksa memilih untuk melanjutkan pelajaran peringkat tinggi di luar negara seperti Taiwan, Hong Kong, China dan seumpamanya. Sekiranya mereka yakin sistem pendidikan vernakular mampu menyediakan peluang tersebut, maka sukarlah untuk kerajaan memujuk mereka untuk menerima sistem pendidikan satu aliran.
Seandainya paksaan digunakan terhadap mereka, berkemungkinan bukan bumiputera menuntut agar kuota bagi kemasukan ke IPTA dirombak. Selain memberi peluang lebih besar atau sama kepada anak-anak mereka supaya diterima masuk ke dalam IPTA Justeru, bersediakan kita menerimanya?
PBB
Hal ini belum lagi mengambil kira impak kepada kewangan kerajaan. Hari ini, pendidikan percuma disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pendidikan rendah dan menengah aliran kebangsaan. Kerajaan membelanjakan sekitar RM5,000 setahun bagi setiap murid dalam bentuk gaji guru, bil dan utiliti, bantuan buku teks, pemuliharaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah, keselamatan dan sebagainya.
Seandainya kesemua murid dalam aliran vernakular ingin dibawa masuk ke aliran kebangsaan, maka tambahan kos bakal ditanggung oleh kerajaan. Ratusan juta ringgit lagi berkemungkinan terpaksa diperuntukkan oleh kerajaan bagi menampung penambahan pelajar. Penambahbaikan juga perlu dijalankan di premis-premis aliran kebangsaan bagi menampung pertambahan murid secara mendadak sedangkan sekolah beraliran kebangsaan sedia ada akan menghadapi kesesakan teruk. Impak kewangan juga agak prohibitif. Kerajaan berkemungkinan sukar untuk menyerap peningkatan kos.
Menurut laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pendaftaran bukan berketurunan Cina di SJKC meningkat 12 peratus dan terus meningkat. Ini menggambarkan sekolah Cina hari ini bercirikan kepelbagaian kaum sama seperti SK. Malah ada sekolah Cina yang enrolmen bukan Cina berjumlah besar.
Sebagai contoh, SJKC Tiong Hua Kok Bin, Klang yang memiliki sekitar 45 peratus murid bukan Cina. Hakikat kurangnya ibu bapa bukan bumiputera memilih menghantar anak mereka ke SK manakala lebih ramai ibu bapa bumiputera kini memilih SJKC, lantas meleburkan mitos bahawa sekolah vernakular adalah punca perpecahan kaum dan membuktikan ibu bapa lebih mementingkan kualiti pendidikan dan daya saing sebagai pertimbangan utama dalam pemilihan sekolah.
Selain itu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan kebebasan tanpa sempadan kepada rakyat untuk mempelajari bahasa yang diinginkan. Lebih penting lagi, pengiktirafan secara positif tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang ingin memelihara dan mendukung penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda dalam komuniti. Walhal, mempelajari bahasa ibunda merupakan hak yang diiktiraf dan dipromosikan sepenuhnya oleh Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB).
Maka tidak logik seandainya perpaduan dapat dikecapi dengan usaha penghapusan bahasa dan budaya serta pendidikan komuniti lain di negara kita. Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil, malah akan menemukan kegagalan kerana bakal menjadi sumber penindasan dan merancakkan lagi perpecahan perpaduan.
Justeru, bagi menangani isu perpaduan ini, para pemimpin dan ahli akademik seharusnya meneliti kembali akar sebenar yang menjadi penyumbang. Yakni, ‘politik pecah dan perintah’ yang mempolitikkan isu-isu keagamaan dan perkauman bagi memperoleh sokongan dan mengekalkan kedudukan kuasa masing-masing.
Menuduh sekolah vernakular sebagai punca perpecahan perpaduan adalah tidak ikhlas dan ia usaha bagi mengalih tumpuan masyarakat. Maka perpaduan nasional hanya akan terbentuk dan dapat diperkukuhkan menerusi dialog dan kerjasama antara kaum dan agama yang memupuk nilai perkongsian bersama demi semua pihak. – UTUSAN
DR. MOHD. AMMYRUL ASHRAF SAIRAN ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun & Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










