Dari korporat ke ‘medan perang’

Dari korporat ke ‘medan perang’

MOHAMAD Hasan (dua dari kiri) baru-baru ini menyatakan komitmen beliau untuk melaksanakan sebaik mungkin tujuh teras utama yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan. – UTUSAN/SHIDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Seri Mohamad Hasan semenangnya dikenali sebagai tokoh korporat yang berpengalaman luas dalam bidang ekonomi. Malah beliau disebut-sebut sebagai figura yang mampu membantu memulihkan semula ekonomi negara pasca Covid-19.

Dengan latar belakang dan pengalaman di Bank Negara, Malayan Banking Berhad, Arab Malaysian Merchant Bank Berhad dan Bank Bumiputra Malaysia Berhad, selain pendedahan korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad serta Pengarah Urusan Cycle & Carriage Bintang Berhad menjadikan beliau ‘emas’ yang dicari-cari dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lihat sahajalah ‘kad laporan’ beliau yang cemerlang ketika mentadbir Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar dari 25 Mac 2004 sehingga 9 Mei 2018.

Dalam tempoh itu, Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan sosioekonomi pesat dan kesan positifnya dinikmati seluruh penduduk berasaskan pembuatan melalui pengwujudan beberapa taman industri.

Malah, ketika itu banyak peluang pekerjaan diwujudkan kepada penduduk tempatan apabila dasar mesra perniagaan dan pelabur berjaya menarik minat banyak syarikat multinasional seperti Coca-Cola, Daihatsu Motor dan Hino Motors.

Inisiatif Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang diperkenalkan pula berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar kepada hanya 0.2 peratus pada 2016 serta pembinaan banyak lebuh raya mengatasi kesesakan lalu lintas.

Tidak berhenti di situ, Mohamad atau mesra disapa Tok Mat terus mengubah landskap Negeri Sembilan dengan membina pelbagai infrastruktur seperti Hospital Rembau, Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Empangan Sungai Triang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Sendayan Tech Valley.

Bahkan ramai boleh melihat bagaimana Rantau, sebuah tempat yang dahulunya sunyi, daripada ladang dibangunkan menjadi perbandaran, pembangunan serta mencipta kehidupan baharu dengan lebih maju dan lebih teratur di bawah pimpinan beliau.

Kejayaan Tok Mat menukar wajah ladang Sendayan menjadi Seremban 2 harus menjadi contoh bagaimana kejayaan seorang Menteri Besar mengubah kehidupan rakyatnya sekali gus bukti beliau tidak bercakap kosong dalam meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Tok Mat tidak asing dalam arena politik malah kelantangan beliau melontar pandangan didengar oleh kerajaan dan rakyat. Beliau kerap menyatakan pendapat tentang ekonomi negara.

Beliau dalam Twitter pada 20 Julai lalu menyatakan perubahan dasar ekonomi mesti kena pada waktunya. Dalam apa-apa dasar yang hendak dilakukan, baik atau buruk, timing atau waktu tepat adalah kritikal.

“Tok Mat ni senang orangnya. Jika ada masalah, boleh terus ke pejabatnya di Rantau (Mohamad wakil rakyat di situ). Dia sentiasa ada.

“Ceritalah masalah dan apa jua bantuan yang diperlukan, Dia sedia bantu. Tak pernah lokek dengan bantuan.” Itulah yang diceritakan oleh seorang kenalan yang tinggal di sana.

Ketika rakyat bimbang dan risau apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengawal penularan Covid-19, Tok Mat bersetuju memberi semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi membantu masyarakat di kawasan itu yang terkesan akibat sekatan PKP fasa pertama.

360 DARJAH

Tok Mat merupakan figura politik amat disenangi kerana perwatakannya yang mesra rakyat dan mudah didekati.

Walaupun nampak mesra, tapi bagi mereka yang sering berurusan dengannya beranggapan Timbalan Presiden UMNO itu merupakan seorang yang tegas. Sebab itu beliau dihormati oleh kawan serta lawan.

Ini sekali gus memberikan pemimpin itu satu lagi faktor ‘wow’ yang melayakkan dirinya memegang portfolio penting sebagai Menteri Pertahanan.

Kini, karier politik Tok Mat bertukar 360 darjah dan sifat tegas yang ada dalam dirinya dilihat sebagai titik tolak dalam menyumbang kepakaran sekali gus dilihat sebagai sosok paling sesuai mengemudi sebuah kementerian yang berperanan memelihara kedaulatan, kepentingan dan hak strategik negara ke arah mewujudkan keadaan serantau yang aman dan makmur.

Selain itu, Kementerian Pertahanan yang ditubuhkan untuk melaksanakan Dasar Pertahanan Negara dan segala pengurusan hal ehwal pertahanan serta sumber-sumber diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan negara semenangnya memerlukan seorang pemimpin berpengalaman luas.

Tok Mat berdepan pelbagai cabaran dalam beberapa isu pertahanan mendesak seperti projek pembinaan enam buah kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang tergendala, sikap agresif Beijing di Laut China Selatan, aset ATM usang dan lain-lain lagi.

Ekoran itu, bukan calang-calang orang boleh diberi kepercayaan menerajui Kementerian Pertahanan. Yakin dengan kewibawaan beliau, Anwar percaya Tok Mat mampu menyelesaikan isu-isu sedia ada dan berdepan cabaran baharu.

Tok Mat baru-baru ini menyatakan komitmen beliau untuk melaksanakan sebaik mungkin tujuh teras utama terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan yang diluluskan di Parlimen pada 2019 dan dibentangkan buat pertama kali oleh Mohamad Sabu (bekas Menteri Pertahanan).

Dalam masa sama, beliau akan terus menjadikan keselamatan dan kedaulatan negara sebagai agenda utama.

Antara pencapaian yang membanggakan apabila Tok Mat merupakan sosok penting dalam pembangunan Pangkalan Udara Sendayan seluas 303.5 hektar yang menempatkan markas dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 2018.

Markas itu bukan hanya sekadar berpindah dari pangkalan sebelum ini, tetapi merupakan pangkalan yang paling canggih, moden dan selesa.

“Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk menyertai barisan jemaah menteri beliau.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk kita pastikan urusan pentadbiran negara akan dibuat dengan yang terbaik mungkin, insya-Allah,” katanya selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sabtu lalu.

Sifatnya tegas melontarkan pandangan bernas menunjukkan beliau memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang berkemampuan mengambil peranan mempengaruhi orang lain ke arah kebaikan.

Ini bermakna beliau yang tidak asing lagi dalam arena politik mempunyai personaliti yang mampu mempengaruhi orang lain serta bersedia ditegur atau dikritik oleh orang lain.

Harapan kami sebagai rakyat, mahu melihat Kementerian Pertahanan terus ditambah baik serta usaha memodenkan ATM amat diperlukan termasuk melengkapkan anggota dengan aset baharu dan terkini demi keselamatan serta kedaulatan negara.

Selamat maju jaya Tok Mat! – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×