SETIAP kali Mohd. Hashim Mustapa membawa masuk atau menerima bola dalam kotak penalti, seluruh peminat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan akan berdiri secara spontan sambil bersiap sedia untuk meraikan jaringan yang akan dihasilkan oleh pemain jersi nombor 10 itu. Bukan itu sahaja, situasi tersebut turut dirasai setiap kali ayam tambatan Skuad Kijang itu mengambil sepakan percuma yang merupakan antara kelebihan dimiliki pemain berkenaan selain ketenangan dalam menyudahkan penalti.
Situasi tersebut dirasai sendiri oleh saya semasa berusia 10 tahun apabila buat julung kalinya menjejakkan kaki ke gelanggang keramat pasukan Kelantan ketika dibawa oleh ayah untuk melihat secara lebih dekat kelibat pemain berkenaan. Walaupun usia saya ketika itu masih mentah, namun disebabkan terlalu meminati pemain tersebut, seluruh tumpuan diberikan untuk melihat larian pantas dan gaya gelecekan bola yang dilakukan olehnya.
Sungguhpun Kelantan dibarisi ramai pemain hebat ketika itu termasuklah tonggak import, namun fokus tetapi diberikan kepada penyerang berbisa berkenaan.
MELETUP
Nama Mohd. Hashim mula ‘meletup’ dan meniti di bibir peminat bola sepak Kelantan selepas kudratnya ditagih untuk membantu pasukan kebangsaan dalam Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada 1987. Kehadiran Mohd. Hashim ketika itu berjaya membantu negara meraih pingat perak selepas skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim kalah tipis 0-1 kepada Indonesia dalam aksi final di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Bakat Mohd. Hashim dalam arena bola sepak bermula semasa usia 16 tahun apabila terpilih untuk mewakili Kelantan dalam saingan Piala Emas Raja-Raja pada 1982. Ketika itu, dia merupakan pelajar tingkatan empat. Aksi cemerlang yang diperagakan oleh anak muda itu berjaya memikat hati pihak pengurusan apabila ditawarkan kontrak untuk beraksi dengan pasukan utama Kelantan.
Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1984, Mohd. Hashim kembali semula ke pangkuan pasukan Kelantan. Bintang anak muda itu terus menyinar di bawah kendalian M. Chandran apabila menjadi pemain utama yang dipilih untuk membarisi pasukan Kelantan.
Bintang Mohd. Hashim terus bersinar selepas itu apabila berjaya memenangi anugerah penjaring terbanyak Liga Divisyen II pada 1992 selepas meledak 15 gol, penjaring terbanyak Liga Perdana 1993 (13 gol) dan penjaring terbanyak Liga Perdana 1994 (30 gol). Kecemerlangan itu meletakkan Mohd. Hashim layak secara merit untuk menyarung jersi negara ke Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun.
SUKAR DITANDINGI
Jumlah 30 jaringan yang direkodkan oleh Mohd. Hashim Mustapa dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 1994 masih belum dapat ditandingi oleh penyerang tempatan atau import lain. Menariknya, ketika itu Mohd. Hashim diberikan tentangan sengit oleh penyerang import berbisa Sabah, iaitu Scott Ollerenshaw dari Australia.
Rekod itu wajar dijadikan sebagai pembakar semangat oleh semua penyerang yang beraksi dalam saingan Liga M untuk membuktikan ketajaman penyudah dengan meledakkan seberapa banyak jaringan untuk pasukan diwakili mereka.
Bagaimanapun, setakat ini hanya penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva yang dilihat paling hampir untuk menyamai rekod tersebut. Namun, sekadar mencetak 29 jaringan untuk musim 2022.
DISIPLIN, SOLAT
Bekas penjaga gol Kelantan, Mohamad Ausri Husin, 54, menceritakan, Mohd. Hashim merupakan seorang pemain bola sepak yang sangat berdisiplin dan komitmennya dapat dilihat apabila sentiasa turun awal ke padang latihan. Jika waktu latihan ditetapkan pukul 5 petang Mohd. Hashim sudah mula memanaskan badan dengan berlari mengelilingi padang seawal 4.45 petang.
Disiplin itulah yang menjadi kunci kepada Mohd. Hashim sehingga berjaya muncul penjaring terbanyak Liga M.
Pada masa sama, Mohd. Hashim meletakkan solat sebagai kunci disiplin utama dalam membentuk peribadi sehingga menjadi penyerang terbilang.
SUDAH TIADA
Tanggal 29 November lalu, arena bola sepak negara dikejutkan dengan pemergian penyerang profilik Kelantan era 1980-an dan 1990-an itu. Mohd. Hashim meninggal dunia pada pukul 10.25 malam. Bekas penjaring terbanyak Liga M pada 1992, 1993 dan 1994 itu menghembuskan nafas terakhirnya semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Sebelum itu, pada 26 November lalu, dia terpaksa ditidurkan selepas mengalami masalah komplikasi kencing manis.
Jenazah Mohd. Hashim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chapi, Kampung Baung Bayam, Kota Bharu pada 30 November lalu sekitar pukul 10.35 pagi. Lebih 1,000 ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat serta bekas tonggak pasukan Kelantan hadir ke Masjid Al-Husna, Kampung Baung Bayam untuk solat jenazah penyerang terbilang itu. – UTUSAN
Al-Fatihah.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










