TPM GPS patut jaga hal ehwal Sabah, Sarawak

TPM GPS patut jaga hal ehwal Sabah, Sarawak

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua jawatan Timbalan Perdana Menteri yang akan diwujudkan di bawah Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dimanfaatkan dalam usaha mengecilkan saiz Kabinet.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Timbalan Perdana Menteri untuk Sabah dan Sarawak patut dilantik bagi menjaga semua hal berhubung dua negeri itu.

“Timbalan Perdana Perdana Menteri untuk Sabah dan Sarawak patut menjaga semua perkara berhubung dengan dua negeri itu, baik perladangan, hutan, sumber asli, alam sekitar dan lain-lain yang ada di kedua-dua negeri itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan yang terkuat antara Sabah dan Sarawak adalah GPS.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, laporan akhbar ini menyenai kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim agar diwujudkan semula jawatan Setiausaha Parlimen sebagai usaha mengecilkan saiz kabinet, tidak tepat.

Menurutnya, ini kerana jawatan itu sudah ada dalam Perlembagaan, Perkara 43B malah Rais sendiri ada Setiausaha Parlimen Kementerian Belia pada tahun 1974 di bawah Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

“Kelebihan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen atau Setiausaha Politik ialah mereka bukan anggota kabinet. Saya ada sebut untuk mengecilkan Kabinet menteri, ini boleh dibantu oleh seorang atau dua timbalan menteri dan mungkin Setiausaha Parlimen.

“Sebagai contoh, portfolio Pendidikan disatukan, tidak perlu portfolio Pendidikan Tinggi. Begitu juga perdagangan, di bawahnya perdagangan domestik dan perdagangan antarabangsa.

“Sesetengah perkara hanya perlu Ketua Setiausaha yang bertanggung jawab terus kepada menteri. Sebab itu saya kata selain menggabung dan memansuh portfolio yang tidak perlu, Perdana Menteri boleh mengambil manfaat daripada saiz perkhidmatan awam yang besar,” katanya.

Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, hutang negara sudah mencecah RM1.2 trillion dan belanja mengurus perlu dikawal dengan bermula daripada pengecilan saiz Kabinet.

“Pada hakikatnya ini menguji kecekapan dan visi Perdana Menteri, beliau perlu berbeza dengan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×