Mana satu regu terbaik Anwar?

Mana satu regu terbaik Anwar?

(Dari kiri) MOHAMAD HASAN, FADILLAH YUSOF, RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Rafizi Ramli merupakan tiga individu yang layak untuk menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga-tiga nama ini bukan sahaja merupakan orang kanan parti masing-masing, tetapi mereka mempunyai potensi dan sudah lama terlibat dalam arena politik, sekali gus berpengalaman dilihat layak sesuai bergandingan bersama Anwar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, Mohamad dan Fadillah dilihat dua calon paling sesuai berdasarkan pengalaman luas mereka dan perwatakan yang sederhana, selain senioriti dalam parti masing-ma­sing.

Mohamad adalah Timbalan Presiden UMNO manakala Fadillah pula adalah Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Tok Mat pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan seorang yang menonjol dalam kalangan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional serta diyakini rakyat khususnya dalam kalangan akar umbi UMNO sendiri.

“Fadillah pula pernah meme­gang jawatan Menteri Kanan Kerja Raya dan pernah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri dan juga paling pemimpin senior berbanding 23 ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Wakil GPS wajar diberikan ruang menduduki jawatan nombor dua tersebut memandangkan gabungan itu adalah blok ketiga terbesar dalam kerajaan perpa­duan pimpinan Anwar berban­ding parti-parti lain dari Sarawak dan Sabah,” katanya.

Dalam sidang akhbar pertama sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri kerajaan perpaduan masing-masing akan diisi wakil Barisan Nasional (BN) dan GPS selaku parti terbesar selepas PH.

Setakat ini, kerajaan perpaduan disertai PH yang mempunyai 82 kerusi dan diikuti BN (30), GPS (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) dengan ke­seluruhan kekuatan mencecah hampir dua pertiga ahli Parlimen.

Mengenai Rafizi, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tidak dina­fikan Timbalan Presi­den PKR itu seorang pemimpin berkaliber, tetapi orang nombor dua dalam kerajaan wajar dalam kalangan individu berpengalaman.

Katanya, ini kerana Timbalan Perdana Menteri juga amat mencabar kerana perlu menggalas tugas memimpin kerajaan sekiranya Perdana Menteri mempunyai urusan di luar negara dan ini memerlukan seseorang yang memiliki pelbagai kebolehan dan tahu selok-belok pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail memberitahu, secara kebiasaan, jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat sahaja kerana individu itu bertindak memangku Perdana Menteri sekiranya Anwar mempunyai urusan di luar negara.

Katanya, meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak mempuntukkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun pada kebiasaannya individu dipilih dalam kalangan ahli Kabinet dan secara kelaziman mengetuai kementerian utama.

“Lantikan Timbalan Perdana Menteri dibuat oleh Perdana Menteri, namun beliau perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong memandangkan individu sama adalah menteri Kabinet. Jadi perlu mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sebagai seorang menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×