PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya tiada kuasa membuat sebarang ketetapan berhubung sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), kerana itu jelas melanggar ketetapan UMNO dalam Perhimpunan Agung sebelum ini.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu Utusan Malaysia, ahli Parlimen BN tidak perlu khuatir kononnya akan digugurkan daripada kerusi Parlimen yang dimenangi akibat undang-undang lompat parti yang baru digubal.
Malah beliau berkata, Ahmad Zahid yang berisiko digugurkan daripada kerusi Parlimen Bagan Datuk kerana melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa ‘No Anwar, No DAP’.
“Menurut undang-undang pertubuhan, keputusan paling tinggi parti adalah keputusan ahli-ahli melalui Perhimpunan Agung Tertinggi UMNO (PAU). Katakan, Ahmad Zahid berkata saya ada surat pengesahan, saya yang buat keputusan untuk ahli Parlimen UMNO. Perlu diingat, keputusan Zahid tidak boleh melangkaui keputusan PAU.
“Maka, pada masa ini, bagi saya Perkara 49 (A) iaitu keguguran keahlian parti, tidak terpakai kepada Perkara 43 (2). Itu yang pertama dari sudut Perlembagaan. Kedua, katalah sepakat, tetapi soalan sekarang ini, apakah itu keputusan parti? Ini penting. Sebab UMNO merupakan sebuah parti, yang mana sebelum PRU15 sudah ada penetapan bahawa No Anwar, No DAP,” katanya di sini, semalam.
Katanya, tindakan Ahmad Zahid yang sebelum ini dilihat cubaan membawa BN menyokong Pakatan Harapan (PH), berisiko menggugurkan beliau daripada kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam PRU15.
“Jadi di situ kalau Ahmad Zahid tegaskan juga, bahawa dia mahu sokong Anwar bersama 29 ahli BN, maka Ahmad Zahid yang mungkin gugur kerusi Parlimennya,” katanya.
Beliau berkata, tiada masalah bagi ahli Parlimen BN menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, malah tindakan itu tidak melanggar Perkara 49 (A) Perlembagaan.
“Isunya adalah berkaitan dengan adakah UMNO itu menyokong Anwar atau Muhyiddin? Atau sebahagian UMNO menyokong Anwar, manakala sebahagian lagi menyokong Muhyiddin? Jadi itu isunya sekarang. Pokoknya di sini, boleh atau tidak sebahagian UMNO sokong Anwar, manakala sebahagian sokong Muhyiddin? Adakah ini dibenarkan? Itulah yang mereka sendiri sedang memikirkannya.
“Bagi saya tiada masalah, sebab undang-undang Anti Lompat Parti telah meminda Perlembagaan untuk memasukkan satu perkara baharu, iaitu Perkara 49 (A).
“Tetapi Perkara 49 (A) menyenaraikan butir-butir macam mana ahli Dewan Rakyat hilang kerusi dan sebagainya. Tetapi, pada masa sama, sebelum wujudnya Perkara 49 (A) pada Ogos lalu, kita sudah ada Peraturan 43 (2). Ini sejak merdeka, yang mengatakan bahawa untuk melantik seorang Perdana Menteri, Agong pada hemah Seri Paduka, perlu menentukan siapakah ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN










