PETALING JAYA: Jawatankuasa Bebas berkaitan darurat yang akan ditubuhkan bakal dianggotai ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, pasukan keselamatan, wakil Kementerian Kesihatan dan golongan profesional.
Utusan Malaysia difahamkan, jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan di bawah suatu ordinan akan diketuai bekas pesara kehakiman.
Setakat ini, rujukan (term of reference) jawatankuasa itu sedang digubal.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang dihubungi akhbar ini menjelaskan, Jawatankuasa Bebas tersebut diharap dapat memberi impak yang baik kerana kumpulan tersebut terdiri daripada golongan berpengetahuan.
Rais bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu mendahului sebarang pendapat kerana jawatankuasa tersebut belum ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang.
“Apa yang saya boleh katakan selain membincangkan perihal Covid-19 dan bencana banjir, jawatankuasa itu juga diharap dapat membincangkan secara terperinci mengenai keperluan membatal persidangan Parlimen.
“Ordinan yang bakal ditubuh itu adalah di bawah titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Billah Al-Mustafa Billah Shah, diwakili Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendaklah ordinan yang dibuat di bawah Parlimen,” kata Rais.
Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong menyatakan perkenan terhadap pembentukan Jawatankuasa Bebas melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang semasa tempoh darurat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berkenan terhadap cadangan kerajaan yang turut melibatkan pakar kesihatan. – UTUSAN











