Kestabilan politik penting untuk tarik pelabur - DPMM

Kestabilan politik penting untuk tarik pelabur – DPMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berharap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat membentuk kestabilan politik dalam negara yang penting untuk membawa masuk pelaburan asing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, kestabilan politik penting untuk ekonomi negara kerana ia dapat mewujudkan keyakinan kepada pelabur.

Sebaliknya kata beliau, pelabur akan berpendapat bahawa tiada jaminan pelaburan mereka di negara ini sekiranya tidak ada kestabilan politik.

“Kami berharap agar kestabilan ini dapat dikembalikan dalam politik di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Abdul Halim berkata, DPMM berharap PRU15 dapat memilih pemimpin yang berintegriti dan boleh menaikkan ekonomi secara berkesan dalam menghadapi tekanan kenaikan harga inflasi dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) yang tinggi berbanding ringgit.

Dalam laporan suku ketiga (S3) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa nilai ringgit menurun sebanyak 4.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku berkenaan.

Bagi tempoah sejak awal tahun hingga 9 November lalu, nilai mata wang negara itu telah susut sebanyak 11.2 peratus berbanding dolar AS. Pun begitu, BNM menjelaskan, penyusutan tersebut sejajar dengan penurunan nilai mata wang serantau sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga atau -9.5 sejak awal tahun sehingga kini.

Sementara itu, Abdul Halim berpendapat, kemungkinan tidak ada parti yang akan mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan pada kali ini.

“Oleh itu, mereka akan membentuk dasar dan polisi semasa mereka. Saya berharap dasar yang akan diadakan nanti dapat memberi jaminan kepada perniaga Muslim dan Melayu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×