Sudah lama pilih Zul Ariffin – Alyah - Utusan Malaysia

Sudah lama pilih Zul Ariffin – Alyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI bualan ramai di media sosial, penglibatan aktor terkemuka tanah air, Zul Ariffin, dalam pembikinan video muzik (MV) terbaharu Alyah, kini bukan lagi rahsia.

Sebenarnya, dalam kalangan pengikut dan peminat, ramai dapat melihat bahawa Alyah merupakan antara penyanyi tempatan yang tidak suka bermain-main dengan sebarang hasil kerjanya.

Biarpun bukanlah sasarannya untuk memenangi sebarang anugerah atau pengiktirafan, sikap komited dan mahukan yang terbaik seakan sudah sebati dengan diri anak jati Johor ini. Lalu, ia menjadikan Alyah terlihat sangat selesa untuk bekerjasama dengan mana-mana anak seni hebat tanah air.

Pun begitu, benarkah Alyah cuma mahu bekerjasama dengan orang-orang yang hebat semata?

Tidak menolak bahawa perancangan untuk bekerjasama dengan Zul sebenarnya sudah lama, kata Alyah, dia menitik beratkan soal kualiti kerana faktor itu akan membuatkan sesebuah hasil kerja itu bertahan lama apalagi dalam sebuah penghasilan naskhah seperti muzik dan visual.

“Kalau orang kata saya ini all out atau sanggup berhabis untuk menghasilkan sesebuah kerja seni, ya, saya tak nafikan hal itu. Macam dalam MV Cinta Sahabiyah, ini adalah apa yang saya mahukan.

“Kalau nak tahu, masa single dan MV Engkau Milikku yang dihasilkan pada tahun 2016, ketika itu, memang saya mahukan Zul Ariffin untuk jadi hero dalam MV tersebut. Malah, memang dah rancang, nak bawa dia bersama untuk jalani penggambaran di India.

“Tetapi rezeki tak berpihak kepada saya waktu itu kerana Zul juga sudah ada komitmen lain. Ternyata, rezeki saya untuk dapatkan hero yang seorang ini adalah pada waktu sekarang,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai Zul, kata Alyah, antara sebab aktor itu menjadi pilihan terawalnya kerana baginya Zul sudah terlatih untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam hasil kerjanya.

“Caranya bekerja sama dengan saya iaitu memastikan hasil kerja itu berada pada tahap kualiti terbaik. Mungkin keserasian itu dapat dirasakan kerana kami ini bermula dari bawah. Orang yang lama bermula dari bawah ini, dia tahu kepayahan dan faham nilai kualiti itu bagaimana.

“Begitu juga dengan Remy Ishak sebelum ini sewaktu kami bekerjasama dalam MV berjudul Kisah Hati. Kebetulan pula, saya pun seorang yang suka bereskperimen dengan kerja seni.

“Walaupun saya bukan pelakon, tetapi saya sendiri percaya bahawa sesebuah lagu itu perlu ada suntikan visual seperti MV. Untuk MV Cinta Sahabiyah ini, saya puas hati kerana Zul juga sangat membantu,”katanya.

Banyak hati yang ‘dipatahkan’
Bercerita lanjut, kata penyanyi berusia 41 tahun ini, Cinta Sahabiyah, banyak membuka laluan kepadanya untuk mendalami erti sabar.

Malah, tidak dinafikan, kata Alyah, sejak dari awal pembikinannya, terlalu banyak dugaan dilalui sekali gus membuatkan dirinya percaya bahawa tidak mudah untuk mendidik pendengar dan orang ramai menerusi sebuah lagu yang sarat dengan mesej.

“Bagi mereka yang mengikuti perkembangan, pasti tahu yang kini antara usaha saya untuk mendidik pendengar dan peminat muzik adalah menerusi penghasilan karya berbentuk positif dan ada mesej yang baik.

“Contohnya macam lagu Thank You Allah sebelum ini. Namun, untuk lagu Cinta Sahabiyah, entah mengapa, dugaannya lain macam sikit. Ia betul-betul mengajar saya untuk jadi lebih sabar dan saya, terus-terang, bukanlah orang yang penyabar sangat.

“Daripada nak dapatkan komposer, hasilkan lagu, buat mv, pendek kata, memang dugaan. Sampaikan di pertengahan jalan, memang timbul rasa putus asa nak buat lagu ini. Tetapi saya kumpulkan semula semangat yang ada atas niat nak didik pendengar itu tadi, maka saya buat juga,” katanya.

Jelas Alyah, secara peribadi, dalam perjalanan menyiapkan lagu ini sehingga kepada penghasilan MV, dia juga seakan telah mematahkan banyak hati.

“Apa yang saya maksudkan, orang seni ini kan sensitif, termasuk saya. Kadangkala, kalau kita cakap nak ubah sikit itu dan ini, mungkin ada pihak yang tersinggung tanpa disedari. Sebab itu saya cakap, lagu ini banyak mengajar saya untuk bersabar.

“Kalau diteliti lagu ini, memang ia adalah sebuah naskhah tentang wanita yang nak jadi baik dan wanita yang baik. Mungkin ia juga memberikan ‘sesuatu’ untuk saya secara tak langsung dari sudut yang baik juga. Tak mengapalah, saya anggap semua ini sebagai satu proses pembelajaran dan pengalaman berharga buat diri,”katanya.

Dari hati ke hati
Cinta Sahabiyah yang liriknya ditulis olehnya sendiri, bukanlah disasarkan untuk menembusi mana-mana anugerah lagu.

Sebaliknya kata Alyah, ia bertujuan untuk dipersembahkan dalam bentuk sebuah karya seni sahaja yang boleh membumbusi hati orang ramai.

“Bagi saya, lebih baik buat lagu atau karya muzik yang boleh tembusi hati semua orang.

“Bukan merajuk atau apa, tapi ini menunjukkan kematangan kita. Menerusi semangat yang ada ini, saya nak salurkan segala energi positif itu kepada pendengar.

“Bagi saya, biarlah saya dapat memenangi hati semua dan itu adalah satu kejayaan buat saya. Allah SWT sudah kurniakan bakat seni ini buat saya, jadi di usia ini, biarlah saya gunakannya untuk hasilkan karya yang lebih bersifat dari hati ke hati,” katanya.

Cinta Sahabiyah mendapat sentuhan komposer terkemuka tanah air, Omar K dan diarahkan Ghaz Abu Bakar.

Ia boleh disaksikan di saluran Youtube pada penghujung bulan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×